suria

[V] Pemain Maghribi sujud syukur, penyokong alunkan nasyid selepas berjaya jinakkan Portugal

Pemain Maghribi membuat sujud syukur selepas tamat perlawanan.

SAINGAN Piala Dunia 2022 penuh kejutan!

Bola itu bulat dan ternyata pasukan yang berkaliber di atas kertas juga boleh kecundang kepada skuad yang hanya dipandang sebelah mata oleh penganalisis sukan.

Portugal yang dibarisi pemain berprestij seperti Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Bernardo Silva tidak menjadi penghalang untuk Maghribi mara ke pusingan separuh akhir Piala Dunia 2022.

Gol tunggal Maghribi hasil sumbangan Yousseff En-Nesyri cukup untuk meranapkan impian Portugal bagi membawa pulang trofi Piala Dunia.

Detik bersejarah itu bertambah manis apabila Maghribi merupakan pasukan Afrika pertama yang berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.

Walaupun keajaiban berjaya dibuktikan oleh Maghribi, sambutan pemain dan penyokongnya yang bersederhana membuatkan ramai kagum.

Sejurus wisel penamat ditiup, pemain Maghribi pergi ke kumpulan penyokong mereka untuk bersama-sama meraikan kejayaan penuh bermakna itu.

Seperti kata pepata 'ikut resmi padi, semakin berisis semakin tunduk'.

Bukannya sambutan dengan minuman keras, bunga api atau nyalaan suar tetapi mereka bersujud di atas padang untuk berterima kasih kepada yang di langit di atas kurniaan kejayaan tersebut.

Seterusnya melalui satu video tular di TikTok, dapat dilihat sekumpulan penyokong Maghribi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengalunkan nasyid dan nyanyian Tala‘ al-Badru ‘Alaynā sebagai tanda kesyukuran.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tersentuh hati dengan sambutan penyokong pasukan Maghribi yang disulami unsur keagamaan.

"Tahniah, begini la sambut kemenangan.

"Mudah-mudahan Maghribi menang Piala Dunia.

"Semoga Maghribi jumpa dengan Argentina di pentas akhir Piala Dunia," kata sebilangan warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain