BIARPUN sudah beberapa hari berlalu, aksi Cristiano Ronaldo yang membuat sujud syukur selepas meledak gol buat pasukannya Al Nassr, masih menjadi bualan para peminat arena bola sepak. Penyerang berusia 38 tahun itu membuat sujud syukur selepas meledak gol ketiga pasukan pada minit ke 59, ketika aksi Al Nassr menentang Al Shabab, Rabu lalu. Al Nassr mencatatkan kemenangan ke atas Al Shabab dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan Liga Arab Saudi. Aksi Ronaldo dianggap sangat luar biasa kerana dia begitu sinonim melakukan aksi ikonik 'siu' setiap kali selepas menjaringkan gol sebelum ini. Ia menjadi tular di media sosial, sekaligus mengundang kebanjiran komen daripada peminat di seluruh dunia. "Kegembiraan Cristiano Ronaldo meraikan gol ketiga dan sujudnya kepada Tuhan dalam kesyukuran," tweet Ali Alabdallah, wartawan sukan Saudi, kepada 411,000 pengikutnya. "Semoga Tuhan membuka hatinya kepada Islam," katanya dalam kapsyen video itu. Selain itu, peminat yang turut gembira dengan kemenangan pasukannya juga mendoakan kejayaan masa depan pemain bintang itu. - CNN Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube