suria

De Gea sah 'angkat kaki', 12 tahun tabur bakti bersama Man United

David de Gea meninggalkan Manchester United selepas 12 tahun menyarung jersi Red Devils.

SELAMAT tinggal David de Gea!

David de Gea semalam mengumumkan dia meninggalkan Manchester United selepas 12 tahun berkhidmat dan berkata 'ia masa yang tepat untuk mencari cabaran baharu'.

Penjaga gol Sepanyol itu yang memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dikritik susulan melakukan beberapa kesilapan besar dalam tempoh beberapa minggu terakhir kempen.

Kontraknya dengan United berakhir hujung bulan lalu tanpa perjanjian baharu walaupun rundingan di antara kedua-dua pihak berlangsung beberapa kali sepanjang musim.

United dikaitkan dengan perpindahan penjaga gol Inter Milan Andre Onana.

Dalam mesejnya di media sosial, De Gea, 32, berterima kasih kepada penyokong United tetapi berkata: "Kini masa yang tepat untuk mencari cabaran baharu, mencabar diri saya dengan persekitaran baharu.

"Manchester akan selalu di hati saya. Manchester banyak membentuk saya dan tidak akan pernah meninggalkan saya," kata De Gea.

Pengurus United Erik ten Hag dalam kenyataannya berterima kasih di atas khidmat De Gea bersama kelab.

"Ia memerlukan kualiti dan karakter hebat untuk bersama Manchester United walaupun satu perlawanan.

"Melakukannya 545 kali sepanjang 12 tahun adalah pencapaian istimewa terutama bagi penjaga gol yang pada setiap perlawanan pasti menjadi tumpuan.

"Memenangi anugerah pemain terbaik tahunan daripada penyokong dan rakan sepasukan sebanyak empat kali menunjukkan tahap prestasinya dan akan selalu dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik dalam sejarah United," katanya. - ESPN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain