suria

FIFA sekat Al-Nassr daftar pemain baru kerana hutang

Al Nassr disekat mendaftar pemain baharu sehingga hutang diselesaikan.

KELAB Al-Nassr dari Arab Saudi yang disertai Cristiano Ronaldo telah dilarang mendaftarkan pemain baharu sehingga hutang yang belum dibayar, diselesaikan.

"Saat ini (Al Nassr) dilarang mendaftarkan pemain baharu kerana hutang yang belum dibayar," kata jurucakap Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu tidak mendedahkan jumlah hutang Al Nassr.

Ia juga tidak menyatakan sama ada perpindahan terbaharu pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic dari Inter Milan baru-baru ini akan terjejas oleh sekatan tersebut.

Namun ia menyatakan, sekatan tersebut akan ditarik balik serta-merta selepas penyelesaian hutang disahkan oleh pemiutang berkenaan.

Pada Oktober 2021, Al-Nassr diarahkan oleh seorang hakim yang ditugaskan oleh FIFA untuk membayar AS$514,000 (RM2,326,364) ditambah faedah kepada Leicester City dalam pertikaian mengenai perpindahan pemain antarabangsa Nigeria, Ahmed Musa.

Musa menyertai Al-Nassr pada tahun 2018. Dia meninggalkan kelab tersebut dua tahun kemudian dan bermain untuk Sivasspor di Turkiye musim lalu.

Menurut keputusan pada waktu itu, jika tidak dibayar, Al-Nassr boleh dilarang merekrut pemain untuk 'tiga tempoh pendaftaran keseluruhan berturut-turut'. -ESPN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain