suria

“Kalau gol, saya terus sokong dia” - Penyokong tegar Ronaldo tunai janji, jadi peminat Messi selepas jaring gol sepakan percuma

Lelaki ini secara drastik menukar pendiriannya untuk menyokong Messi.

IBARAT lalang ditiup angin!

Begitulah gambaran sesuai apabila seorang pempengaruh media sosial, IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Watkins Jr. bertukar pendirian untuk menyokong Lionel Messi.

Buat peminat bola sepak, nama IShowSpeed sudah tidak asing lagi kerana kesetiaan dan fanatiknya terhadap bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang juga merupakan seteru utama kepada Messi.

Bagaimanapun, dalam satu video tular, IShowSpeed dilihat menghadiri perlawanan melibatkan Inter Miami bagi menyaksikan penampilan sulung Messi menyarung jersi kelab Amerika Syarikat itu.

Messi dalam perlawanan Piala Liga menentang Cruz Azul pada Sabtu, dimasukkan selaku pemain gantian pada minit ke-54 ketika pasukannya sedang mendahului 1-0.

Azul bagaimanapun berjaya mengikat perlawanan 1-1 apabila menjaringkan gol pada minit ke-65.

Mengejutkan ramai apabila IShowSpeed secara mengejut mengisytiharkan dia akan menjadi penyokong Messi sekiranya bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu menjaringkan gol daripada sepakan percuma yang diberikan pengadil pada masa kecederaan.

Tindakan IShowSpeed mengundang kecaman ramai.

"Kalau Messi berjaya menjaringkan gol dari sepakan percuma ni, saya akan terus jadi penyokong Messi, Wallahi," kata IShowSpeed bersumpah.

Messi tidak mengecewakan peminat apabila berjaya meledak gol dari sepakan percuma yang disempurnakan sekali gus menutup perlawanan dengan keputusan 2-1 berpihak kepada pasukannya.

Terikat dengan janji, IShowSpeed lantas menanggalkan jersi pasukan Portugal yang dipakainya yang juga ada tertera nama Ronaldo di belakang.

Ternyata di bawah jersi Portugal itu, IShowSpeed sudah mengenakan kit pasukan Inter Miami dengan nama Messi tertulis di atasnya yang diibaratkan ramai sebagai satu pengkhianatan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya yang juga merupakan penyokong Ronaldo menyelar tindakan IShowSpeed.

"Jadi kita boleh tahu dari sini yang Speed bukannya ikhlas berada di belakang Ronaldo, semuanya hanya demi content.

"Boleh teruskan menyokong Messi, seorang pemain yang sudah tamat kariernya, Ronaldo akan tetap di hati.

"Sedih apabila pemain segemilang Messi mengakhiri perjalanannya di Major League Soccer (MLS)," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain