suria

Sultan Selangor murka... MFL, Presiden FAM tidak serius kezaliman terhadap kes Faisal Halim

Sultan Selangor (kanan) murka terhadap MFL, Presiden FAM berhubung isu membabitkan Faisal Halim.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih, pada 10 Mei lalu.

Dalam titah kenyataan Sultan Selangor, baginda menganggap keputusan terbaharu MFL tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.

Malah, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut menegaskan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

Baginda terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung FAS dari 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.

Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada Ahad.

Insiden serangan asid yang menimpa Faisal Halim menggemparkan negara.

Berikut merupakan titah kenyataan Sultan Selangor:

> Berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 (Selangor FC telah memohon penangguhan), Beta mengambil maklum dan telah membaca di media sosial serta suratkhabar.

> Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin. Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.

ARTIKEL BERKAITAN: Faisal muncul di stadium bersama keluarga, wajah penuh kegembiraan

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki menggigil, hati meronta... Faisal Halim menitis air mata, rindu nak main bola

> Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

> Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama. Disebabkan itu, Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan. Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

Faisal Halim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi menyaksikan perlawanan piala FA. -Foto Bernama

Faisal Halim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi menyaksikan perlawanan piala FA. -Foto Bernama

> Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

> Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini. Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

> Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

> Beta kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

> Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi. Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

Untuk rekod, penyerang Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid ketika berada di ruang parkir sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor pada 5 Mei lalu.

Serangan berkenaan menyebabkan Faisal terpaksa menjalani empat pembedahan untuk merawat luka lecurnya. Dia dibenarkan discaj daripada hospital pada 25 Mei lalu.

Pada 9 Mei lalu, MFL mengumumkan perlawanan sumbangsih membabitkan Selangor FC dan Johor JDT bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 10 Mei lalu di Stadium Sultan Ibrahim terpaksa dibatalkan, susulan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan.

Pada 15 Jun lalu, suasana emosi menyelubungi Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat kali pertama di situ sejak insiden disimbah asid awal bulan lepas.

Pada 25 Jun, MFL empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tidak hadir pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 dan wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Selain itu, skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain