PEREKA fesyen Rizman Ruzaini yang dibarisi duo Rizman Nordin dan Ruzaini Jami menerima pujian ramai selepas memperkenalkan koleksi busana 'The Malaya' pada Khamis. Busana khas bertemakan baju Melayu itu akan dipakai oleh kontinjen Malaysia sempena majlis perasmian Sukan Olimpik Paris yang akan diadakan pada 26 Julai. Menurut Rizman Nordin, rekaan itu didedikasikan untuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan mengangkat perwira-perwira negara sebagai inspirasi utama. Rekaan duo pereka terkenal itu menerima pujian netizen. "The Malaya adalah cetusan sangat istimewa yang lahir pada lubuk hati kami sebagai pereka tempatan, yang mendukung nama Malaysia dalam setiap perjalanan memperjuangkan rekaan fesyen di sini juga merentasi sempadan negara "Baju teluk belanga dipilih sebagai tanda junjungan kasih kami buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor. "Koleksi ini adalah dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman," ujar Rizman. ARTIKEL BERKAITAN: Kontinjen negara bakal menyarungkan busana rekaan Rizman Ruzaini ke majlis perasmian Olimpik Paris Menurut Rizman, rekaan dalam rona zaitun dengan motif keemasan itu memberi aura klasik dan menjadi simbolik perjuangan atlet untuk meraih kemenangan di pentas Olimpik. Mereka turut mengangkat songket sebagai motif utama dalam rekaan berkenaan. Selain teluk belanga yang akan dipakai oleh atlet lelaki, wirawati negara pula akan menggayakan baju kurung yang dilengkapkan dengan pemakaian tudung khas. Tudung itu 'ditabur' dengan corak istimewa iaitu cetakan tarikh-tarikh penting berkaitan Malaysia seperti tarikh Kemerdekaan negara. Rizman dan Ruzaini ketika memperkenalkan busana rekaan mereka. Di ruangan komen pada posting di Instagram pereka berkenaan dan @olympicmas, ramai netizen meluahkan rasa gembira dengan rekaan itu yang mengangkat tradisi Malaysia sebagai inspirasi utamanya. "Satu je... mahal. Ini baru cara betul untuk perkenalkan baju. Orang yang nak pakai nanti pun bersemangat dan bangga. "Cantiknya, tak sabar nak tunggu acara pembukaan Olimpik. "Mantap sangat ni, menyala atlet-atlet kita di Paris. "Kualiti, rekaan sangat hebat. Bravo Rizman Ruzaini. "Cantik, klasik dan elegan," tulis beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube