SELURUH Malaysia berbangga melihat atlet negara segak dan bersemangat melangkah ke pentas Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya secara rasmi pada awal pagi Sabtu. Sukan Olimpik edisi ke-30 melakar sejarahnya tersendiri apabila tuan rumah Perancis menyambut kedatangan delegasi 205 negara dengan Perarakan Negara-Negara mengelilingi Sungai Seine. Menerusi siaran secara langsung pembukaan Olimpik Paris 2024 yang dapat disaksikan di seluruh dunia, kontinjen Malaysia dilihat diwakili enam atlet dan empat pegawai. Masing-masing segak memperagakan pakaian warna hijau zaitun motif keemasan, hasil sentuhan Rizman Ruzaini bertemakan 'The Malaya', melambangkan warisan dan kebanggaan budaya negara. Sebagaimana dijelaskan oleh pereka fesyen terkemuka itu sebelum ini, atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sekali gus mempersembahkan imej perpaduan dimiliki rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mata dunia. Kontijen mewakili Malaysia memperaga rekaan Rizman Ruzaini sempena Pembukaan Olimpik Paris 2024. -Gambar MOM Perarakan kontinjen yang mendapat pujian ramai ini turut diselitkan dengan persembahan nyanyian serta tarian bagi meraikan kehadiran 205 delegasi negara ke 'kota cinta' itu. "Entah mengapa sebak momen jalur gemilang berkibar. Tanah tumpahnya darahku. "Sekejap sangat wey lepas tu tak dapat tengok full outfit. "Terima kasih atlet Malaysia. Kalian sudah buat kami rakyat Malaysia berbangga. "Sakit hati aku. Punya tahan mata. Sekali masa Malaysia berapa saat je lalu. "Saya tengok tadi. Tunggu nak tengok kontijen Malaysia. Cantik baju. Kejap je tunjuknya," komen netizen. Perarakan kontinjen Malaysia diketuai oleh Bertrand Rhodict Lises (terjun) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran) yang mengibarkan Jalur Gemilang penuh rasa bangga ketika melintasi 6 kilometer Sungai Seine. Atlet lain yang kelihatan berarak berlatar belakangkan pemandangan indah dan menumen bersejarah kota Paris adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang). Chef de Mission Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut menaiki bot diiringi Timbalan Chef de Mission, Datuk Nicol Ann David, Ketua Pegawai Perubatan Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan pegawai keselamatan Ang Li Peng. Selain itu juga, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden MOM dan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin turut hadir ke perasmian tersebut. Acara perasmian gilang gemilang ini menyaksikan 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet belayar menyelusuri sungai berkenaan dengan jangkaan 320,000 penonton hadir menyaksikan acara penuh bersejarah itu di kedua-dua tebing Seine. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube