suria

Terpalit kontroversi jantina, petinju Imane Khelif mara ke final

Imane Khelif meraikan kemenangannya selepas berjaya melangkah ke pusingan akhir. Foto AP

PETINJU wanita Algeria, Imane Khelif melangkah ke final bagi acara tinju welterweight wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan pemain Thailand, Janjaem Suwannapheng.

Khelif, yang menjadi sasaran kontroversi mengenai jantina sebenarnya semasa temasya itu, meraikan kemenangannya di gelanggang separuh akhir di Stadium Rolland Garros di Paris, Perancis pada Selasa.

Dia menewaskan pemenang pingat perak dunia 2023 dari Thailand, Janjaem Suwannapheng dalam keputusan mata sebulat suara untuk mara ke pusingan akhir pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Atlet paling kontroversi di Olimpik Paris! Ini 12 fakta tentang Imane Khelif... Perempuan tapi dituduh lelaki

ARTIKEL BERKAITAN: Petinju Itali tarik diri, akui sakit terkena tumbukan lawan... Gelanggang tinju wanita Olimpik Paris 2024 dicemari kontroversi

Kontinjen Algeria di tempat duduk penonton mengibarkan bendera negara itu dan bersorak kegembiraan ketika pengadil mengangkat tangan Khelif untuk mengisytiharkan dia sebagai menang selepas tiga pusingan.

Pada penghujung pertarungan di Court Philippe-Chatrier, kedua-dua petinju itu bersalam mesra dan berjabat tangan.

Khelif akan menentang Liu Yang dari China dalam pertarungan merebut pingat emas, membida untuk menjadi pemenang pingat emas tinju pertama Algeria.

Khelif yang terpalit dengan kontroversi jantina sebelum ini merupakan salah seorang daripada dua atlet yang dibatalkan penyertaan daripada kejohanan dunia tahun lalu selepas gagal kriteria kelayakan jantina.

Dia bagaimanapun dibenarkan bertanding di Paris.

Terdahulu, Khelif menjadi bualan hangat apabila pihak lawannya, Angela Carini dari Itali menarik diri daripada pertarungan kategori 66kg ketika menentang Khelif.

Keputusan itu sekali gus menamatkan impian Carini di Sukan Olimpik selepas memberi isyarat dia tidak dapat meneruskan perlawanan kerana kesakitan yang dialami. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain