PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri terpaksa akur di tempat ke-12 dalam pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024. Atlet berusia 25 tahun ini mencatatkan mata keseluruhan sebanyak 244.80 menerusi lima terjunan. Ketika ditemui pemberita, Dhabitah mengakui dia tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat latihan kerana tidak menyangka layak menyertai Olimpik serta berjaya mara ke final. "Bukan persembahan terbaik, pada awalnya saya tak rasa boleh layak ke final. "(Walaubagaimanapun) saya bersyukur dengan apa yang ada dalam masa yang singkat, jurulatih banyak membantu. "Untuk saya... saya dah capai target kerana berjaya pergi ke final, (tapi) saya tak cukup masa untuk latihan," ujarnya sambil menambah pernah rasa berputus asa kerana tidak layak menyertai Olimpik sebelum diberi peluang atas tiket 'wild card'. Untuk rekod, acara 3 meter papan anjal wanita dimenangi Chen Yiwen dari China dengan catatan keseluruhan 376.00, diikuti Keeney Maddison dari Australia (343.10) dan Chang Yani dari China (318.75). Sebelum ini pada peringkat separuh akhir Nur Dhabitah berjaya melayakkan diri ke final apabila mengumpul 286.95 mata untuk berada di kedudukan kelapan terbaik daripada 18 peserta. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube