suria

Imane Khelif menang emas tinju wanita di Olimpik Paris - “Ini jawapan kepada mereka yang mengecam”

Imane Khelif berbangga dengan kemenangannya di Olimpik Paris. -Foto AP

PETINJU wanita Algeria, Imane Khelif menundukkan lawan dari China, Yang Liu untuk membawa pulang pingat emas dalam acara tinju welterweight di Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Khelif diselubungi kontroversi dalam temasya Olimpik Paris susulan kelayakannya untuk bertanding sebagai kategori wanita dipersoalkan.

Selepas muncul juara dalam final 66kg wanita, Khelif diarak mengelilingi arena di atas bahu ahli pasukannya dengan suasana yang penuh meriah.

ARTIKEL BERKAITAN: Atlet paling kontroversi di Olimpik Paris! Ini 12 fakta tentang Imane Khelif... Perempuan tapi dituduh lelaki

"Ini adalah impian saya selama lapan tahun, kini saya sah bergelar juara Olimpik dan juga pemenang pingat emas. Saya sangat gembira.

"Saya berusaha dengan sangat keras selama bertahun-tahun untuk meraih kejayaan ini, sampai tidak cukup tidur dan menahan lapar.

"Ribuan terima kasih diucapkan kepada mereka yang menyokong saya terutamanya rakyat Algeria, saya sangat menghargainya," ujar Khelif dengan perasaan bangga ketika ditemu bual pemberita.

Tambah Khelif, kejayaannya itu diharap dapat menyepikan kritikan bertali arus terhadapnya.

"Pingat emas yang dipegang ini adalah jawapan saya kepada mereka yang kerap mengecam.

"Saya dilahirkan sebagai wanita dan membesar sebagai wanita, sedikit kecewa apabila wujud pihak yang tidak boleh menerima kejayaan ini," jelas Khelif.

Dalam pada itu, Janjaem Suwannapheng dari Thailand dan petinju Taiwan, Chen Nien-chin meraih gangsa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain