suria

Siapa kata e-sukan selamat? ‘Gamers’ pun boleh cedera, ketahui 5 risiko elak bersara awal

Gamers cenderung mengalami kecederaan kerana menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin. gambar hiasan. Foto: Freepik

MUNGKIN ramai menganggap e-sukan tidak seperti sukan 'tradisional' lain yang berisiko, membolehkan pemainnya cedera kerana banyak melibatkan pergerakan fizikal.

Hakikatnya, para gamers juga tidak terkecuali untuk mendapat kecederaan, bahkan e-sukan sebenarnya memenatkan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi mental.

Bagi sesetengah kes yang tidak bernasib baik, kecederaan yang dialami gamers boleh menyebabkannya terlepas acara atau perlawanan, perlu menjalani pembedahan, malah tidak mustahil mereka terpaksa bersara awal dari dunia e-sukan.

Walau bagaimanapun, kecederaan boleh dielakkan sekiranya gamers mengikut garis panduan dari aspek kesihatan dan jika cedera, ia masih boleh dirawat.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjam-jam dalam pesawat, ini 5 permainan video terbaik hilangkan bosan ketika 'terbang'

Ini merupakan lima kecederaan yang berisiko dialami gamers sekiranya mereka tidak mengendalikan permainan dengan betul:

1) Mata letih

Mata letih adalah kondisi yang paling biasa untuk gamers, daripada kumpulan paling kasual sehingga golongan gamers tegar. Sudah tentu kondisi ini bukan sesuatu yang tidak normal bagi mereka yang menyertai e-sukan kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk fokus pada monitor.

2) Sakit pinggang

Sakit pinggang adalah antara penyakit yang paling biasa dialami oleh gamers dari semua peringkat. Sama seperti ketegangan mata atau mata letih, sakit pinggang lebih kerap berlaku kepada gamers yang menghabiskan lebih banyak masa dengan duduk, tidak kira sama ada mereka sedang bermain atau tidak.

Kalau nak tahu, sakit pinggang merupakan antara yang merekodkan paling banyak kes mendapatkan rawatan perubatan dan cuti sakit bagi kategori e-sukan di Amerika Syarikat (AS).

3) Sakit leher

Kesakitan leher biasanya disebabkan oleh postur duduk yang tidak betul semasa bermain permainan video secara berterusan sehingga berjam-jam. Sakit leher turut disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kecederaan, ketidakseimbangan otot dan tekanan.

4) Sakit kepala

Sakit kepala dalam konteks ini lebih kepada sakit kepala sekunder. Maksudnya, mereka tidak benar-benar sakit di kepala sebaliknya pada otot bahagian belakang kepala, leher dan muka.

Kebiasaannya, ketegangan berkembang pada otot-otot bahagian belakang kepala dan leher apabila postur lemah. Bagi gamers, ini biasanya berlaku apabila kedudukan kepala tepat ke arah monitor dan bahu pula dalam keadaan tidak relaks.

5) Sakit siku

Sakit siku atau dalam konteks ini dikenali sebagai 'mouse elbow' juga dilihat sebagai kecederaan e-sukan yang sering berlaku. Ia terjadi kerana kecederaan kronik pada tendon extensor lengan bawah (yang mengawal pergelangan tangan dan jari) melekat pada bahagian luar (sebelah ibu jari) siku. Disebabkan penggunaan yang tidak seimbang, orientasi gentian tendon extensor di bahagian luar siku menjadi terganggu. - Esportshealthcare

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain