SECARA realitinya, bola sepak negara mempunyai ramai pemain muda berbakat yang perlu diberi perhatian. Kehadiran mereka mewarnai dunia bola sepak tanah air membuatkan kita boleh menarik nafas lega memandangkan pemain-pemain muda inilah yang akan membarisi skuad senior negara kelak dengan syarat bakat mereka terus digilap untuk beraksi di tahap lebih tinggi. Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020 membuktikan skuad remaja negara berada dalam kelompok terbaik Asia dan bagi pemain yang terpilih ia dianggap tiket untuk terus mencipta nama.ARTIKEL BERKAITAN: Berlatih di luar negara bukan 'tiket' mudah buat Kudik di tanah air, “Suatu hari nanti jersi negara akan jadi milik saya” Antara yang mencuri tumpuan dalam skuad B-19 negara adalah Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan yang kini berusia 18 tahun. Bekas Pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini dianggap penyerang berbisa selepas gol tunggalnya menewaskan Thailand tahun lalu telah membawa Malaysia ke pusingan final AFC. Umar Hakeem positif dengan kehadiran pemain-pemain baharu dalam sesi kem latihan skuad B-19. Mula aktif Pemain kelahiran Batu Pahat, Johor ini mula aktif dalam sukan bola sepak pada usia 12 tahun. Dia juga pernah mewakili pertandingan di peringkat negeri ketika menuntut di Akademi Tunas Kulai. Bakatnya semakin terserlah ketika mambantu pasukan Malaysia meraih gelaran naib juara dalam aksi Piala Supermokh 2014. Bekas anak buah Lim Teong Kim ini mempunyai karektor yang agak sensitif, namun dengan semangat yang ada, dia berjaya menyelit namanya sebaris dengan pemain-pemain muda hebat yang lain. Pemain Piala Presiden Johor Darul Ta'zim (JDT) ini juga antara watak utama membantu Malaysia muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) tahun lalu. Kembali bersama skuad negara Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19 telah menyekat semua aktiviti sukan tanah air. Namun sinar baharu buat warga sukan negara apabila akhirnya diberi kebenaran untuk kembali menjalani latihan. Ketua jurulatih B-19, Maloney memberi taklimat kepada pemain-pemain sebelum sesi latihan bermula. Umar Hakeem antara pemain bertuah yang kembali dipanggil ke kem latihan pusat skuad B-19 bermula 6 Julai lalu. "Sangat gembira kerana dapat kembali bersama pasukan dalam latihan Fasa Pertama ini selama tiga minggu. "Apa yang penting sekarang adalah untuk mengembalikan kekuatan fizikal. Memang sebelum ini ada berlatih sendiri di rumah, tetapi ia tidak sama. "Saya juga gembira berjumpa dengan kawan-kawan yang dan teringat kembali kejayaaan AFC (kelayakan) dan AFF tahun lalu. "Namun saya ketepikannya dan fokus untuk layak Piala Dunia sahaja," ujarnya. Saingan pemain baharu Menurut Umar Hakeem, kehadiran ramai pemain baharu yang dipanggil jurulatih Brad Maloney bagi sesi latihan ini merupakan sesuatu yang positif. Sebagai tonggak utama skuad B-19, Umar tetap tidak meletakkan keyakinan tinggi mengenai kedudukannya untuk ke Uzbekistan. "Kedatangan pemain-pemain baharu merupakan satu yang positif kerana kami akan bersaing merebut tempat kerana mereka yang dipanggil sudah tentu berkualiti. "Bagi pemain sedia ada, jika tidak ada persaingan mereka akan menjadi lebih selesa... seterusnya apabila tiba pertandingan semangat atau kekuatan mentaliti sudah tidak ada," tambah Umar Hakeem. Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir ini apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir di Phnom Penh, Kemboja pada 10 November 2019. Mengikut jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh AFC, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada Jumaat, 16 Oktober 2020 diikuti aksi kedua menentang Qatar pada Isnin, 19 Oktober 2020 dan seterusnya aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen pada Khamis, 22 Oktober 2020. Umar Hakeem (depan, kiri) bersama skuad B-19 negara pada aksi AFF tahun lalu. Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik. Dua pasukan teratas setiap kumpulan (8 pasukan) seterusnya akan layak ke suku akhir yang mana jika Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D, lawan adalah naib juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos) dan jika Malaysia naib juara Kumpulan D, lawan adalah juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos). Seterusnya, empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan secara automatik layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia. Namun jika Indonesia menjadi salah satu pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff. Pada edisi terdahulu iaitu Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan. Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC ini dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959,1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965. Pencapaian terakhir terbaik dilakukan pasukan Malaysia ialah pada edisi 2004 yang mana ketika itu Malaysia kendalian Datuk K Rajagobal selaku tuan rumah berjaya mara ke suku akhir sebelum tersingkir selepas tewas 3-0 kepada China. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!