BINTANG tenis Jepun, Naomi Osaka mendedahkan dia tidak sabar untuk turun beraksi selepas berehat sejak awal September. Juara Grand Slam sebanyak empat kali itu mengambil keputusan untuk berehat bagi memberi tumpuan kepada kesihatan mental selepas tewas kepada pemain Kanada, Leylah Fernandez pada pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19, situasi dunia beri tekanan mental buat Naomi Osaka ARTIKEL BERKAITAN: Bintang yang kecundang di Olimpik Tokyo Osaka bergelut untuk beraksi pada tahap sebenar sejak dia menarik diri daripada Terbuka Perancis pada Mei selepas memboikot semua aktiviti media. Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu mengakui dia masih suka kepada dunia tenis dan mahu beraksi semula secepat mungkin. "Saya tahu saya akan bermain semula, berkemungkinan tidak lama lagi kerana saya 'kemaruk' untuk turun beraksi. "Tetapi saya tidak kisah sama ada menang atau kalah, saya cuma mahu menikmati keseronokan bermain semula di gelanggang," kata Osaka dalam program terbitan HBO, The Shop. Ujar Osaka yang kini menduduki tangga ketujuh ranking dunia, perlawanan sukar mula memberi kesan besar terhadap dirinya dan dia memerlukan rehat bagi mengembalikan momentum permainan. "Saya sebelum ini suka kepada persaingan dan suka bersaing. Jika saya terpaksa bermain dalam tempoh masa yang lama, saya semakin seronok. "Namun saya mula berasakan semakin lama perlawanan itu, saya menjadi semakin tertekan," katanya lagi. — Nippon Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI