KUALA LUMPUR: Kehadiran petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Mohd Haron ternyata melonjak semangat Adli Hafidz Mohd Pauzi yang akhirnya mengesahkan tempat ke final dalam kategori Light Heavy (81kg), petang Selasa. Muhammad Farkhan yang hadir menyaksikan pertembungan separuh akhir itu dilihat seolah-olah memberikan arahan kepada Adli dari tempat duduk orang kenamaan (VIP) di Dewan 8, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (Mitec) di sini. Petinju dari Johor Bahru itu turut beberapa kali bangun dari tempat duduknya untuk memberikan semangat ketika Adli diasak lawannya, Muhammad Dinie Hakeem dari Singapura. Muhammad Farkhan (kemeja hitam) bersemangat menunjukkan sokongan kepada peninju negara, Adli Hafidz. Pada masa sama, gelanggang tinju itu turut digamatkan dengan sorakan kira-kira 50 anggota tentera yang hadir memberikan sokongan kepada skuad tinju negara. Lebih manis lagi apabila Adli merupakan petinju pertama negara yang mara ke final dalam kategori tersebut yang julung kalinya dipertandingkan pada temasya Sukan SEA. Malah, petinju berusia 28 tahun itu turut bertekad menghadiahkan pingat buat negara dalam penampilan pertamanya di temasya dwi tahunan itu. "Saya akan lebih berwaspada pada cabaran final Khamis ini. Ini penampilan pertama saya, jadi sudah tentu saya sasarkan pingat. Andai dapat pingat emas ia satu bonus buat negara. "Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik seperti yang anda saksikan hari ini. Doakan saya rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, petang Selasa. Pada aksi final Khamis ini, Adli akan bertemu petinju Filipina, Marvin John Nobel Tupas. Turut mengesahkan slot ke final adalah seorang lagi petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan selepas mudah menewaskan lawan Lasavongsy Bounpone dari Laos dalam kategori Light Fly 49 kilogram.