suria

Di sebalik kepercayaan mistik, pendaki seperti berada di negara 4 musim sebaik jejak Ranu Kumbolo

Suasana pagi di sekitar Ranu Kumbolo yang menjadi pilihan pendaki untuk melepaskan lelah sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Semeru.

RANU Kumbolo yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia merupakan syurga dunia yang sering menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru.

Bagi yang pernah menonton filem ‘5 CM’ pada 2012/2013, pasti anda masih ingat akan keindahan alam yang melatari filem dibarisi pelakon-pelakon popular Indonesia ini.

Bagi yang sudah menyimpan angan -angan untuk sampai ke lokasi ini, pastikan anda membuat persiapan yang sepatutnya.

Bukan setakat memerlukan bajet kewangan, tetapi yang paling penting adalah semangat dan kekuatan fizikal. Tak kiralah sama ada kaki gim atau sebaliknya, kalau persiapan tidak kena cara, pasti mengundang insiden tidak diundang.

Terletak di ketinggian 2,400 meter dari paras laut, perjalanan ke Ranu Kumbolo mengambil masa kira-kira lima jam waktu trekking. Itupun jika anda cukup berstamina dan tidak berhenti terlalu lama di setiap pos rehat.

Keindahan matahari terbit yang menjadi tarikan utama di Ranu Kumbolo.

Jika tidak, pasti masa perjalanan mengambil masa lebih lama.  Satu tip untuk kekal bertenaga, jangan lupa bawa air minuman secukupnya dan beli beberapa paket madu yang banyak dijual di setiap pos rehat.

Satu paket berharga Rp2,000 (RM0.60). Percayalah madu ini memang sangat membantu kerana ia meningkatkan stamina.

Sejujurnya, perjalanan menuju ke Ranu Kumbolo bukanlah perjalanan yang mudah, tapi berbaloi-baloi kerana kanvas alam yang menanti memukau pancaindera. Sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Cukup indah ditambah suasana hening yang mendamaikan fikiran. Cuaca yang dingin membuat diri terasa seolah-olah berada di negara empat musim.

Di pagi hari, anda boleh melihat pemandangan matahari terbit di antara dua bukit yang mengelilingi Ranu Kumbolo.

Ikan emas ini dipercayai merupakan jelmaan dewi penunggu Ranu Kumbolo. Kelibat dewi berkebaya kuning hanya boleh dilihat apabila terdapat kepulan asap ketika bulan mengambang.

Manakala di malam hari, ada pemandangan gugusan bintang yang sinarnya sangat mengasyikkan. Setiap saat ada pemandangan yang mempesona di Ranu Kumbolo.

Tanjakan Cinta dan Dewi Penunggu

Di sebalik keindahan Ranu Kumbolo ini, ada misteri yang menyelubungi lokasi yang menjadi ‘pit stop’ pendaki puncak Semeru ini.

Penduduk setempat percaya air danau Ranu Kumbolo adalah air yang suci. Sehingga kini mereka masih menggunakan air danau ini untuk ritual suci keagamaan.


Dari Landengan Dowo ini anda perlu berjalan sejauh 4.5 kilometer lagi untuk sampai ke Ranu Kumbolo.

Dek kerana itu jugalah, pengunjung dilarang mandi, mencuci, membuang air kecil atau air besar di sini. Semua aktiviti perlu dilakukan dengan jarak 10 meter dari pinggiran danau.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, terdapat mitos tentang ‘Tanjakan Cinta’ yang terletak di  sebelah barat Ranu Kumbolo.

Tanjakan Cinta ini merupakan laluan mendaki ke bukit yang mengarah ke puncak Semeru. Ramai yang percaya, sesiapa yang terus mendaki sambil memikirkan pasangannya tanpa melihat ke belakang, akhirnya akan bahagia memiliki cinta hatinya itu.

Pendakian di Tanjakan Cinta ini memang menguji ketahanan fizikal dan mental kerana ia mempunyai kecondongan 45 darjah. Lebih-lebih lagi jika ada bebanan yang perlu digalas bersama.

Keindahan alam di Ranu Kumbolo memang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Satu lagi mitos tentang Ranu Kumbolo ialah tentang dewi yang dikatakan menjadi penunggu. Menurut penduduk tempatan, terdapat seekor ikan emas yang menghuni danau Ranu Kumbolo.

Ikan emas ini dipercayai merupakan jelmaan dewi penunggu Ranu Kumbolo. Kelibat dewi berkebaya kuning hanya boleh dilihat apabila terdapat kepulan asap ketika bulan mengambang.

Kehadiran ikan emas ini jugalah menjadi penyebab kenapa pengunjung dilarang memancing di sini.

Pendaki bagi kata-kata semangat!

Keterujaan ke lokasi perkhemahan ini sebenarnya bermula seawal perjalanan, iaitu ketika menaiki jip  ke Ranu Pani, pos pendaftaran dan gerbang ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru.

Ambil khidmat porter untuk mengangkut khemah dan bekalan makanan bagi memudahkan pendakian.

Sebelum memulakan pendakian, anda perlu mendengar taklimat keselamatan terlebih dahulu. Banyak info berguna untuk dijadikan panduan.

Dari pos Ranu Pani, anda perlu berjalan kaki sejauh lima sampai tujuh kilometer menyusuri lereng bukit yang ditumbuhi dengan Bunga Edelweis.

Kemudian anda akan tiba di Watu Rejeng. Dari sini anda sudah boleh melihat pemandangan lembah dan bukit yang ditumbuhi pohon cemara dan pines.

Semakin tinggi pendakian, semakin sejuk cuaca, jadi pakai pakaian yang sesuai. Sepanjang perjalanan, terdapat empat  pos rehat yang membolehkan anda melepaskan lelah. Ada gerai-gerai kecil yang menjual minuman, buah-buahan, makanan ringan dan juga madu.

Khemah-khemah hanya boleh didirikan 10 meter dari pinggiran danau.

Satu perkara yang anda perlu tahu, semangat untuk sampai ke Ranu Kumbolo akan berkobar-kobar setiap kali berselisih dengan pendaki-pendaki yang mula turun dari gunung. Mereka memberikan kata-kata semangat agar tidak mudah berputus asa. “Semangat, semangat! Pasti kamu boleh” – itu ucap mereka.

Jika anda bukan seorang pendaki yang tegar, lebih baik ambil seorang atau dua orang porter untuk membawa khemah dan bekalan makanan.

Ini kerana bebanan yang banyak akan memperlahankan pergerakan. Caj untuk seorang porter di antara Rp200,000 (RM57.50) ke Rp400,000 (RM114.80).

Artikel Lain