suria

Menakjubkan! Pendaki temui tasik indah di Pergunungan Alps yang belum pernah dilihat sesiapa

MONT Blanc (gunung putih) adalah gunung tertinggi di kawasan Pergunungan Alps. Ia juga merupakan gunung tertinggi di Eropah Barat.

Puncak gunung yang dilitupi salji itu dapat dilihat pada jarak belasan hingga puluhan kilometer jauhnya.

Bagaimanapun Mont Blanc sebenarnya tidaklah sejuk seperti yang disangkakan kerana tidak semua kawasan di sekitar puncaknya membeku.

Baru-baru ini seorang pendaki bernama Bryan Mestre melihat kewujudan tasik yang terbentuk di antara Gunung Dent du Geant, Mont Blanc, dan puncak Aiguilles Marbrees, pada ketinggian sekitar 3,400 meter dari aras laut.

Dia kemudian berkongsi foto tasik berwarna kebiruan itu di internet.

Pendaki lain yang pernah berkunjung ke lokasi tersebut kemudian menghubungi Mestre.

Dia terkejut kerana ketika dia membuat rakaman 10 hari sebelum itu, tasik tersebut tidak ada dan dilitupi salji.

Gambar di lokasi sama yang dirakamkan oleh seorang pendaki lain 10 hari sebelum Mestre merakamkan gambar tasik tersebut. -foto Bryan Mestre

Persoalan timbul apa yang menyebabkan tasik ini tiba-tiba muncul?

Ketika gambar itu diambil, Mestre berada di Mont Blanc pada 28 Jun 2019, yang mana rekod suhu tertinggi dicatatkan.

Selama hampir satu hari, suhu di sana meningkat ke sekitar 45.9° celsius. Ini memungkinkan beberapa glacier cair.

Hasilnya batuan gelap menyerap lebih banyak suhu panas, mencairkan salji sehingga membentuk tasik.

Gambar tasik yang dirakamkan Mestre nampak indah, namun menimbulkan banyak persoalan. -foto Bryan Mestre

"Tasik itu benar-benar satu kejutan. Terletak di kawasan setinggi 3,400 hingga 3,500 meter dari aras laut. Anda sepatutnya berjumpa dengan ais dan salji pada ketinggian ini, bukan air," kata Mestre memetik IFL Science.

Menurut National Geographic France, danau biru itu memiliki keluasan sekitar 10 meter X 30 meter dan menampung sekitar beberapa ribu meter kubik air.

Banyak sebenarnya gunung bersalji yang kerap dihiasi oleh tasik, tetapi tidak biasa berlaku pada ketinggian 3,400 meter di atas permukaan laut seperti yang berlaku di sekitar Mont Blanc.

"Saya selalu pergi ke sana, pada bulan Jun, Julai, malah Ogos, dan saya belum pernah melihat limpahan air di sana," kata Mestre.

Selain di sekitar Mont Blanc, Mestre yang telah mendaki puluhan gunung di kawasan Pegunungan Alps, biasanya hanya menemui salji cair pada kadar kecil.

Justeru Mestre menggambarkan suasana di danau biru itu indah untuk dilihat, namun bukan merupakan petanda baik.

Logiknya, kemunculan danau tersebut kemungkinan mempunyai kaitan dengan pemanasan global.

tasik, danau, Pergunungan Alps, Mont Blanc

Artikel Lain