PESAWAT Air Canada melalui detik mendebarkan baru-baru ini apabila pergolakan udara (turbulence) yang berlaku menyebabkan 30 penumpang terpaksa dikejarkan ke hospital. Penerbangan dari Vancouver, Kanada yang sedang dalam perjalanan ke Sydney, Australia itu terpaksa dilencongkan ke Hawaii sebelum ia melakukan pendaratan kecemasan. Menurut beberapa penumpang, pergolakan udara yang berlaku menyebabkan sejumlah individu tercampak hingga ke siling pesawat. Detik-detik cemas sewaktu kejadian. -foto Business Insider Inc. Menerusi kejadian pada Khamis lepas, 37 individu mengalami kecederaan dan 30 daripadanya terpaksa dikejarkan ke hospital. Rakaman video kejadian itu turut menjadi tular. "Sewaktu ia berlaku, saya tersedar dan hanya pastikan anak-anak sudah memakai tali pinggang keselamatan. "Apa yang saya lihat, ramai penumpang tercampak hingga menyentuh siling pesawat," ujar salah seorang penumpang. Menurut seorang lagi penumpang, pesawat itu seolah-olah jatuh menjunam secara mengejut. "Ia mesti terjatuh dalam 100 kaki sebab tiba-tiba kami semua macam terkena siling pesawat. Ia menakutkan," ujar individu tersebut. Dalam pada itu, kakitangan pesawat berkenaan turut menerima pujian ramai atas sikap profesional mereka dalam menghadapi situasi cemas itu. - Business Insider Malaysia