BARANG hilang dari bilik adalah perkara biasa yang dihadapi oleh hotel-hotel, tidak kiralah yang kecil atau besar. Namun, terdapat barangan hotel tertentu yang dilaporkan cukup 'laris' berbanding barang lain seperti tuala dan selimut. "Ia dapat dilihat berdasarkan jantina tetamu. Kalau perempuan biasanya barang yang diambil adalah barang dekorasi seperti sarung bantal, bunga, alas tilam atau lilin. "Berbeza dengan tetamu lelaki, hotel biasanya hilang gelas atau minuman beralkohol," kata seorang sumber dari jaringan hotel antarabangsa memetik Traveller.com.au. Barang yang mustahil untuk dicuri tetapi pernah dicuri dari bilik hotel juga ada! Sumber tersebut berkata, pernah ada tetamu yang mengambil seluruh isi mini bar (alkohol), tangki air, sehinggalah televisyen. Paling luar biasa menurut sumber memetik KompasTravel, ada tetamu yang mencuri terus dari stor hotel. Barang percuma yang paling kurang dibawa keluar dari kamar hotel adalah bible dan sandal. Padahal di luar negara terdapat organisasi yang bersedia menggantikan setiap bible yang hilang secara percuma. Sandal hotel juga dibenarkan dibawa pulang. "Semakin banyak hotel yang kini menampal pelekat pada perabot mereka. Penanda ini sangat kecil dan boleh berada pada sebarang barang. "Jadi jika ada tetamu yang 'tidak sengaja' membawa keluar barang hotel ketika check out, ia diketahui oleh pihak hotel," jelas Perunding Hotel dan Pelancongan Peter Hook.