KEGILAAN anak muda terhadap budaya K-pop tidak dapat dinafikan lagi sehingga Korea Selatan menjadi destinasi serbuan pelancong termasuk dari Malaysia. Selain melawat kawasan terkenal seperti Myeong-dong, Nami Island - pasti peminat K-pop berangan-angan untuk sekurang-kurangnya 'terlanggar bahu' dengan selebriti pujaan mereka seperti BTS dan Blackpink ketika bersiar-siar. ARTIKEL BERKAITAN: Menakjubkan! Pendaki temui tasik indah di Pergunungan Alps yang belum pernah dilihat sesiapa Kebarangkalian itu sebenarnya ada memandangkan terdapat beberapa lokasi yang menjadi tumpuan selebriti dan apa kata jika anda yang minat K-pop, masukkan lima lokasi ini dalam senarai tempat yang anda ingin kunjungi ketika ke Korea Selatan. 1. K-Star Road Namanya sahaja sudah menjelaskan segala-galanya malah K-Star Road yang terletak di Apgujeong-dong Galleria Department Store ini adalah sepanjang satu kilometer! Di kawasan itu juga turut menempatkan pelbagai syarikat pengurusan artis terkenal seperti SM, FNC dan YG Entertainment yang mewakili artis seperti Big Bang, BTS, Blackpink, EXO, Twice dan sebagainya. Jangan terkejut jika ke kawasan ini anda akan nampak ramai peminat K-pop berkumpul di hadapan pejabat tersebut dengan harapan dapat melihat kelibat artis kesayangan mereka. K-Star Road dibahagikan kepada empat bahagian termasuk kawasan pejalan kaki menempatkan patung beruang diberi nama GangnamDols yang turut tertulis nama setiap kumpulan K-pop terkenal. Apgujeong juga menempatkan beberapa restoran dan kafe terkenal yang menjadi tempat lepak selebriti. Beribu-ribu padlock di Namsan Tower yang ditinggalkan pelancong. 2. Namsan Seoul Tower Dibina pada 1969 sebagai menara transmisi bersepadu pertama di Korea, landmark ini lebih dikenali hari ini dalam kalangan peminat sebagai lokasi untuk mengambil gambar romantik seperti dalam drama dan filem. Di bahagian paling atas itu juga terletak dek yang menempatkan beribu-ribu padlock yang dikunci pada pagar dan pernah dipaparkan dalam drama bersiri popular My Love From The Star dan Boys Over Flowers. Pengunjung juga dapat menikmati pemandangan menakjubkan termasuk merasai pengalaman melihat seni lampu digital berwarna-warni yang dipasang pada waktu malam pada menara itu. 3. MBC World Pasti anda tertanya-tanya mengenai di sebalik tabir penerbitan program dan drama kegemaran anda? Jangan bimbang, MBC World memberi peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri proses penghasilan sesuatu rancangan. Bukan itu sahaja, anda berpeluang untuk melawat bilik berita selain teater hologram termasuk peluang bergambar di sekitar set program-program popular. Malah anda boleh merasai pengalaman bergelar pembaca berita selain dibawa melawat ke bilik kostum yang menempatkan pakaian untuk drama seperti Moon Embracing The Sun dan The Scholar Who Walks The Night. Suncheon merupakan set penggambaran bagi banyak filem terbaik Korea. 4. Suncheon Open Film Set Terletak di Jorye-dong, Suncheon, kawasan ini dikenali sebagai set penggambaran terbesar di Korea Selatan selain menempatkan 200 buah rumah menerusi tiga perkampungan yang melambangkan tiga buah era dari tahun 1950 ke 1970. Pelawat dibenarkan untuk bersiar-siar dalam set penggambaran seperti East Of Eden dan Baker King Kim Tak-gu, A Werewolf Boy dan Gangnam Blues. Untuk program popular, Running Man juga menjalani penggambaran di Suncheon. Persembahan hologram hanya di K-Live. 5. K-Live Jika anda tidak berpeluang untuk menghadiri konsert artis kegemaran anda, jangan bimbang - persembahan hologram secara 3D di K-Live boleh mengubat duka anda. Terletak di Lotte FITIN Shopping Centre di Dongdaemun, lokasi itu juga menawarkan pelbagai aktiviti bersama artis dari YG dan JYP. - Star2