suria

Nasi ganja jangan terlepas! Ini senarai lokasi menarik percutian 4 hari 3 malam di Perak

SEBUT sahaja negeri Perak, pasti kaki food hunter sudah terbayang keenakan nasi ganja ataupun pelbagai hidangan sarapan pagi Chinese style di Restoran Hollywood yang terletak di Taman Canning, Ipoh.

Namun tahukah anda, selain makanan yang sering dicari-cari ini, Perak juga kaya dengan pelbagai port menarik untuk kaki travel yang dahagakan pengalaman pengembaraan sebenar.

Wartawan mStar berpeluang merasai pengalaman luar biasa meneroka ke hampir setiap pelusuk bumi bertuah ini selama empat hari tiga malam dalam program Kembara Media Perak 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia baru-baru ini.

Hari Pertama

Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina yang terletak di Taman Tasek Jaya, Tasek, Ipoh, menjadi lokasi pertama pengembaraan.

Siapa sangka seni bina luarannya yang mungkin disalah erti sebagai tokong sebenarnya ialah pusat ibadah umat Islam yang dikunjungi pelbagai bangsa.

Peserta Kembara Media Perak bergambar di hadapan Masjid Muhammadiah. Foto: Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Masjid Muhammadiah mula dibina pada 24 November 2011 di atas tapak seluas 3,776 meter persegi dan siap pada Julai 2013. Ia mula digunakan pada Ogos 2013.

Lebih menarik, masjid ini menjadi satu-satunya masjid di luar China yang mempunyai seni bina berunsurkan ‘bumbung panjang’ dan ‘bumbung lima’ yang sudah terkenal sebagai seni bina tradisional bangunan di negara tembok besar itu.

Kembara seterusnya menuju ke Taman Rekreasi Gunung Lang menaiki bas Hop On Hop Off Perak.

Terletak hanya lima kilometer dari bandaraya Ipoh, keindahan tersembunyi taman rekreasi ini seakan-akan membawa pengunjung ke satu dunia lain yang tersembunyi di sebalik gunung batu kapur yang mengelilinginya.

Perkhidmatan bot yang disediakan untuk pengunjung. Foto: Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Bukan sekadar taman rekreasi biasa, Gunung Lang terbahagi kepada dua bahagian di mana pengunjung boleh menggunakan khidmat bot untuk menyeberangi tasik buatan tinggalan aktiviti melombong bijih timah untuk ke sebuah pulau yang juga mempunyai zoo mini serta seni landskap yang luar biasa.

Di sini juga pernah menjadi port pilihan sesi fotografi serta pernah beberapa kali menjadi lokasi penggambaran filem Bollywood.

Kembara kemudian menuju ke lokasi ketiga iaitu taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terletak di Meru.

Mula membuka pintu kepada pengunjung pada Jun 2017, MAPS menjanjikan keseronokan luar biasa kepada seisi keluarga dengan 40 tarikan dengan enam zon tema berbeza.

Teater Musikal Tribute P. Ramlee pasti membuat pengunjung tidak kering gusi. Foto: Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Penulis juga berkesempatan menonton persembahan teater musikal Tribute P. Ramlee yang menghiburkan serta persembahan lagak ngeri menggunakan kereta serta motosikal berkuasa tinggi secara langsung yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Lebih menarik, bermula 1 Mac lalu pengunjung boleh memasuki taman tema animasi pertama Asia ini secara percuma dan hanya perlu membayar mengikut permainan yang ingin dicuba (pay to play).

MAPS kini boleh dikunjungi secara percuma! Foto: Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Hari Kedua

Pengembaraan hari kedua bermula dengan kunjungan ke Muzium Arkeologi Lenggong atau lebih dikenali sebagai Galeri Arkeologi Kota Tampan yang juga menempatkan manusia prasejarah Perak Man.

Tulang rangka Perak Man telah dijumpai oleh Malaysian Archaeoligical Research Centre USM yang diketuai oleh Datuk Prof Zuraini Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia di dalam Gunung Runtuh yang terletak di Bukit Kepala Gajah, Lembah Lenggong, Hulu perak pada 1991.


Replika Gua Gunung Runtuh.

Galeri ini turut mempamerkan semua artifak dan maklumat dari ekskavasi Arkeologi Pra Sejarah yang ditemui khususnya tumpuan kepada sekitar Lembah Lenggong dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif.

Pameran dibahagikan kepada beberapa bahagian antaranya arkeologi, teknologi, paleolitik, Gua Gunung Runtuh (lokasi penemuan Perak Man), lukisan gua dan Orang Asli.


Peserta Kembara Media Perak bergambar kenang-kenangan di atas houseboat Foto: Faisol Mustafa.

Kembara seterusnya meneruskan perjalanan menuju Jeti Amanjaya Royal Belum, Grik untuk menaiki boathouse Casuarina 1 yang juga boathouse terbesar menuju Royal Belum.

Memakan masa hampir dua jam 30 minit, kami akhirnya tiba di kawasan Sungai Ruok dan perlu menaiki bot kecil pula untuk sampai ke jeti Air Terjun Ruok.


Anda boleh mandi-manda bersama sekumpulan ikan yang mesra ini!

10 minit melalui trek kecil, penulis terpaku melihat sendiri keajaiban Santuari Ikan di mana anda boleh mandi-manda di bawah air terjun sambil dikelilingi ikan kecil yang boleh dikatakan 'mesra pengunjung'.

Kampung Orang Asli Kampung Klewang menjadi destinasi kedua di Royal Belum. Team kembara juga berkesempatan menghulurkan sumbangan berupa keperluan harian kepada penduduk kampung dengan populasi 105 orang dan 35 buah rumah ini.

Lebih mengujakan kami berkesempatan melihat sendiri beberapa ekor burung enggang yang terkenal di negeri Sarawak secara dekat. Malah Royal Belum ialah satu-satunya lokasi di mana kesemua 10 jenis burung enggang yang wujud di Malaysia dapat dilihat di satu lokasi.

Anak orang asli suku Jahai gembira terima sumbangan daripada peserta.

Hari Ketiga

Gemar minum air mineral? Pastinya anda kenal dengan jenama air minuman Spritzer. Tapi tahukah anda dari mana datangnya sumber air tersebut dan bagaimana ia diproses?

Penulis berpeluang melihat sendiri bagaimana jenama air mineral terkenal dibotolkan di kilang mereka di Jalan Air Kuning, Taiping.

Proses pembotolan air mineral Spritzer.

Daripada proses galian air mineral, membuat botol, dan pembungkusan, semuanya dilakukan di sini!

Anda kaki golf? Jangan risau! Syarikat turut menyediakan padang golf mini 18 lubang yang lengkap dengan sebuah kafe dengan pemandangan indah sesuai untuk seisi keluarga di Spritzer Ecopark. Jangan lupa beli cenderahati di sini!

Kampung nelayan terapung Kuala Sepetang.

Seterusnya kami menuju Kuala Sepetang untuk melihat sendiri ekosistem Hutang Paya Laut Matang yang terkenal dengan hutan paya bakaunya.

Menariknya, 70 peratus pokok paya bakau yang diproses menjadi kayu arang di Taiping sudah ditempah pengusaha di Jepun untuk menghasilkan pelbagai produk di sana.

Hutan Paya Bakau Matang juga dikatakan sebagai hutan paya laut tertua di dunia.

Jika bernasib baik, anda akan dapat melihat kawanan burung helang terbang rendah di dasar laut untuk mencari makan.

Setiap rumah mempunyai jeti sendiri.

Baka kata orang, tidak sah kunjungan anda ke Taiping jika tidak berkunjung ke zoo yang tertua di Malaysia ini.

Penulis berpeluang merasai sendiri pengalaman melihat haiwan yang aktif pada waktu malam menerusi pengembaraan Zoo Taiping Night Safari.

Pengembaraan yang memakan masa hampir satu jam 30 minit menaiki tram ini menjanjikan pengalaman berbeza berbanding meneroka zoo di siang hari.

Ada beberapa haiwan yang aktif pada waktu malam antaranya harimau kumbang, badak air dan juga zirafah.

Gajah juga aktif pada waktu malam.

Hari Keempat

Sebut sahaja Kuala Kangsar, pasti sudah terlintas industri pembuatan labu sayong yang sudah sinonim dengan daerah ini buat sekian lama.

Penulis juga berkesempatan merasai sendiri pengalaman membuat kraftangan kebanggaan negeri Perak ini sambil memahami proses pembuatannya daripada bahan mentah sehinggalah proses pemasarannya.

Proses pembuatan labu sayong secara tradisional yang semakin pupus.

Masjid Ubudiah menjadi singgahan terakhir Kembara Media Perak.

Tersergam indah di Jalan Istana, Bukit Chanda, Masjid Ubudiah dianggap unik kerana kemahsyurannya yang sering menarik minat pelancong dalam dan luar negara.

Keindahan mimbar Masjid Ubudiah. 

Masjid ini dibina atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah, Sultan Perak yang ke-28 (1887-1916) yang bernazar agar sebuah masjid didirikan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Ia menjadi masjid yang menarik kerana mempunyai satu kubah besar dan lima kubah kecil serta dikelilingi empat menara tinggi serta 16 menara rendah.

Perak, lokasi menarik, nasi ganja, bercuti

Artikel Lain