MELANCONG merupakan aktiviti kegemaran penulis sejak 10 tahun lepas, tidak kira secara solo atau bersama rakan baik ke luar negara bagi mencipta memori dan menimba pengalaman di bumi asing. Baru-baru ini, penulis bersama dua lagi rakan mengambil keputusan untuk bercuti selama seminggu di Paris yang terkenal dengan jolokan kota cinta. Masing-masing teruja untuk menjejakkan kaki ke Paris bagi merasai sendiri pengalaman berada di kota romantik itu. Penerbangan hampir 14 jam, kami akhirnya tiba di Lapangan Terbang Charles De Gaulle dan cuaca dingin sekitar 11 darjah celsius mula mengigit tulang... Suasana di lapangan terbang ketika itu agak sunyi dan kemudahan sedia ada kelihatan agak usang. Bergambar berlatarbelakangkan Menara Eiffel. Sepanjang seminggu berada di Paris, kami menginap di Campanile Paris Est Porte De Bagnolet Hotel sebelum beralih ke Hotel Niel Elysees. Sekiranya ada yang berhasrat ke sana, kedua-dua hotel ini penulis sarankan sebagai tempat tinggal memandangkan harganya yang berpatutan selain sesuai untuk penggembara. Kami bertuah kerana rakan baik penulis iaitu Illa Melur Nakamura yang sedang menuntut di sebuah universiti di sana banyak membantu urusan kami di sana. Kaji barangan mewah, 'cuci mata' lihat gelagat penggemar fesyen Kunjungan ke Paris bukan semata-mata untuk melawat ke lokasi menarik tetapi penulis mengambil kesempatan untuk mengkaji tentang corak pembelian barangan mewah dalam kalangan penduduk di Paris. Mohamad Idham bergambar dihadapan butik Abercrombie & Fitch yang terletak di Champs de Elyess. Illa banyak membantu penulis menjalankan kajian itu terutamanya dari aspek komunikasi kerana penduduk di sini rata-rata cuba mengelak berinteraksi dalam bahasa Inggeris setiap kali disapa. Tempat paling terbaik untuk membuat kajian itu sudah tentulah di sepanjang jalan Champs de Elyess yang mana terletaknya pelbagai butik mewah seperti Louis Vuitton, Gucci dan Chanel. Ralit dibuatnya 'mencuci mata' melihat gelagat pelancong dan penggemar fesyen beratur untuk mendapatkan koleksi barangan daripada pelbagai butik berjenama di kawasan itu. Secara peribadi, penulis lebih menggemari reka bentuk bangunana dan rekaan dalaman melalui konsep diketengahkan oleh butik Abercrombie & Fitch yang asalnya sebuah panggung wayang. Merakam memori di Musee du Lourve. Sekiranya anda ingin mencari barangan mewah dengan harga berpatutan, La Valle Village yang terletak kira-kira sejam setengah dari Paris adalah lokasi sesuai. Untuk ke sana juga mudah, anda hanya perlu menaiki kereta api menuju ke stesen Val D Europe yang juga satu stesen daripada Disneyland Paris. Suasana di La Valle Village tidak banyak beza dengan Johor Premium Outlet (JPO) di Malaysia namun ia mempunyai lebih banyak pilihan dan jenama terkenal. Namun bagi penulis, dari aspek citarasa, layanan dan suasana, penulis lebih gemar ke Bicester Village, London. Macaroon antara snek yang harus dicuba ketika di Paris. Makan halal tak susah cari, mi segera jadi bekalan! Bagi yang bimbang tentang aspek makanan, ia bukanlah satu masalah di Paris terdapat banyak restoran Arab yang menyediakan makanan halal. Jika masih ragu-ragu, buat seperti penulis - membawa satu beg penuh dengan bekalan makanan dari Malaysia seperti serunding dan mi segera. Memandangkan penulis mempunyai rakan menetap di Paris, kami juga membawa pelbagai jenis rempah dari Malaysia sebagai buah tangan. Alang-alang dah ke Paris, rugi kalau tidak mencuba Macaroon di Laduree iaitu jenama terkenal di sana selain santai di kafe-kafe menikmati kopi panas sambil melihat gelagat masyarakat setempat. Antara gambar kenangan Mohamad Idham ketika di Paris. Musee du Lourve, Eiffel Tower lokasi wajib dilawati Jika ke Paris, tidak sah kalau tak berkunjung ke lokasi ikoniknya iaitu Musee du Lourve yang menempatkan potret Monalisa. Ia lokasi cukup sesuai untuk mengabadikan potret kenangan bersama teman. Memandangkan cuacanya dingin, kami memilih untuk berjalan ke Eiffel Tower. Walaupun perjalanan agak jauh namun ia tidak terasa kerana sepanjang perjalanan terdapat pelbagai pemandangan menarik dan spot untuk mengambil gambar. Untuk ke menara tersebut, penulis dan rakan merentasi jambatan yang merentangi Sungai Seine. Terdapat pad kunci dan nota cinta yang bergantungan di sepanjang jambatan itu. Bagaimanapun jika ada yang tidak gemar berjalan, jangan bimbang - kemudahan bas dan kereta api untuk bergerak di sekitar Paris sangat mudah walaupun pada pandangan peribadi penulis ia masih di tahap sederhana kerana ia kurang mesra pelancong dan untuk kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk aspek kebersihan. Ia turut mengingatkan penulis tentang keadaan kebersihan yang kurang memuaskan di sekitar bandar metropolitan New York, Amerika. Mohamad Idham berharap dapat menggembara ke negara lain bersama rakan-rakannya. Ramai pernah bercerita tentang isu peminta sedekah dan penyeluk saku yang mencacatkan keindahan Paris dan tidak menyangka kami berhadapan dengan situasi getir apabila telefon bimbit rakan penulis hampir diragut! Ketika kejadian itu, kami di dalam kereta api namun tindakan pantas berjaya menumpaskan cubaan penyeluk saku itu. Jadi nasihat penulis, berhati-hati dengan barangan anda malah jangan mudah percaya dengan siapa yang anda jumpa di sana. Pun begitu, insiden buruk yang satu itu tidaklah mencacatkan kegembiraan penulis dan rakan-rakan untuk terus menikmati keindahan Paris sepanjang seminggu. Sejujurnya semua pengalaman baik serta buruk ketika menggembara ia sebenarnya adalah pengalaman berharga dalam hidup selain dapat mengabadikan kenangan bersama sahabat. Tidak terhenti di Paris, kami merancang untuk ke destinasi lain pula di masa hadapan dan berharap percutian ini dapat menjadi tradisi kami dalam mengeratkan persahabatan. ***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected]