suria

Siapa kata Cherating tak best? Ini 5 aktiviti yang boleh anda lakukan termasuk belajar surfing

Kolam renang di ēRYAbySURIA Cherating yang sentiasa menjadi tumpuan kanak-kanak.

TIDAK dinafikan pantai Cherating pernah melalui saat-saat suram tidak berapa lama dahulu.

Namun, kini pantai peranginan yang terletak di Pahang dan bersempadan dengan Kemaman, Terengganu itu semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang gemarkan aktiviti bermain papan luncur, windsurfing dan kite surfing.

Ombaknya yang tinggi, anginnya yang kuat serta pantainya yang landai menjadikan pantai peranginan ini sesuai untuk aktiviti-aktiviti tersebut.

Jadi tak perlulah ke luar negara jika mahu melakukan aktiviti-aktviti di atas. Jimat duit belanja dan boleh buat road trip sahaja. Bukan jauh pun, hanya lima jam jika memandu dari Kuala Lumpur.

Aktiviti bermain papan luncur semakin digemari di Cherating.

Satu fakta yang anda perlu tahu, penggemar sukan papan luncur memang menantikan musim tengkujuh untuk menghabiskan masa meluncur di sini.

Jadi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengintai ke lokasi percutian ini. Tak kenal maka tak cinta kan? Mana tahu selepas ini anda jatuh cinta dengan Cherating.

Jadi ke mana hendak dituju jika mahu belajar meluncur?

Sebenarnya ada beberapa operator yang menawarkan pengalaman meluncur ini. Antara yang popular ialah Kam’s Surf Shack dan Cheratingpoint Surf School.

Kedua-dua operator ini menyediakan pakej-pakej pembelajaran yang berpatutan. Paling penting, tenaga pengajar mereka cukup berpengalaman.

Buktinya mereka sering terlibat dengan acara meluncur di peringkat antarabangsa. Pendek cerita, anda tidak perlu ragu-ragu dengan keupayaan mereka.

Pantai yang boleh diakses dari hotel.

Jika anda sememangnya bukan berjiwa lasak dan tidak berani mencuba perkara baharu, jangan susah hati, banyak lagi aktiviti pantai yang boleh di lakukan di sini. Boleh berkayak, menaiki banana boat, berkelah serta bermain pasir dengan anak-anak.

Selain aktiviti pantai, boleh juga enjoy tarikan lain. Jadi percutian anda ke Cherating tidaklah membosankan.

Jom semak apa lagi yang boleh dibuat di Cherating:

1)  Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating

Jika bercuti dengan anak-anak, bawa mereka singgah ke Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating. Banyak yang boleh dipelajari di sini. Pasti anak-anak anda teruja, lebih-lebih lagi jika mereka berkesempatan melihat anak-anak penyu yang baru menetas.

Antara program menarik yang boleh diikuti di sini ialah melawat tapak penetasan anak penyu, melihat anak-anak penyu dilepaskan ke laut, dan juga melihat penyu mendarat pada waktu malam.

Waktu operasi pada Selasa hingga Ahad, jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

2) Rimbun Dahan Turtle Hatchery

Satu lagi pilihan untuk melihat dan mempelajari tentang penyu ialah di Rimbun Dahan Turtle Hatchery. Pusat pemuliharaan dan penetasan penyu ini didirikan di dalam kawasan Kasturi Resort dan mula beroperasi secara rasmi pada 2014.

Mempunyai misi untuk mendidik masyarakat supaya memelihara kewujudan penyu, anda dinasihatkan menghubungi pihak pengurusan terlebih dahulu jika ingin melihat anak-anak penyu dilepaskan mahupun ingin melihat penyu bertelur.

3) Melihat kelip-kelip di Sungai Cherating

Boleh juga ikut aktivit melihat kelip-kelip di Cherating.

Mungkin ramai yang tidak tahu, aktiviti melihat kelip-kelip juga boleh dilakukan di Cherating.

Untuk menikmati keindahan semula jadi ini, anda boleh mendapatkan pakej ini daripada kebanyakan hotel atau chalet yang ada di sana. Ataupun anda boleh terus ke jeti yang dimiliki oleh Hafiz’s Cherating Activities.

Waktu terbaik untuk melihat cahaya kelip-kelip ini adalah dari bulan Julai hingga Oktober.

4) Jamu selera di Warung Aziz Satar

Warung Aziz Satar sentiasa dipenuhi pengunjung yang ingin menikmati pelbagai juadah enak terutamanya satar.

Panjangkan langkah ke Kuala Kemaman untuk menikmati hidangan minum petang yang membuka selera.

Bukan jauh pun, lebih kurang 15 minit sahaja untuk ke sini. Boleh makan Ikan Goreng Tepung, Udang Goreng Tepung, Sotong Goreng Tepung, Keropok Lekor, Satar dan banyak lagi makanan tempatan lain.

Warung Aziz Satar merupakan salah satu warung yang sangat popular di kalangan penduduk setempat dan juga pengunjung yang datang dari jauh.

Sebabnya, hidangan Satar yang dijual di warung ini merupakan yang terbaik. Keenakannya menjadi rebutan ramai. Malah, harganya juga murah.

5) Minum kopi di Kedai Kopi Hai Peng

Set roti ban bakar di Kedai Kopi Hai Peng ini mesti cuba.

Kedai Kopi Hai Peng yang terletak di bandar Kemaman ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sesiapa yang sudah sampai ke sini pasti akan teringat-ingat dengan keenakan kopi dan juga makanan yang tersedia. Jangan sesekali lupa untuk memesan set Roti Bun Bakar. Percayalah rasanya cukup istimewa. Tidak ada di tempat lain.

Jika datang pada waktu pagi, boleh menikmati menu sarapan lagi popular di sana seperti Nasi Dagang, Nasi lemak, Nasi Minyak dan kuih-muih tempatan.

Tentang harga, tak perlu risau. Murah banyak daripada kopitiam di Lembah Klang ini.

Di mana mahu bermalam?

Satu kelebihan Cherating ialah ia menawarkan pelbagai jenis penginapan untuk dijadikan pilihan.

Ada yang mewah, ada yang sederhana, ada yang bajet. Salah satu hotel yang boleh dijadikan pilihan ialah, eRYAbySURIA Cherating.

ēRYAbySURIA Cherating yang sesuai untuk percutian keluarga.

Hotel yang menawarkan 114 buah bilik ini menawarkan bilik penginapan yang luas pada harga yang tidak membebankan.

Kolam renangnya yang menghadap ke laut menjadi tarikan utama pengunjung yang bermalam di sini. Lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak.

Jadi jika keadaan laut tidak mengizinkan untuk berenang, bolehlah habiskan masa dengan anak-anak di kolam renang.

Saiz kolam renangnya yang luas boleh menampung ramai tetamu dalam satu-satu masa.

Selain itu, terdapat juga beberapa permainan lain yang boleh dilakukan sekeluarga seperti Karom, Ping Pong, Dart dan Bola Pantai.

Untuk maklumat lanjut mengenai hotel ini anda boleh layari https://www.eryabysuria.com/hotels/cherating/

***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected] 

Cherating, bercuti, meluncur, menarik

Artikel Lain