MEMILIH untuk menerokai Jepun pada musim luruh merekodkan satu landskap indah dalam kotak hati seorang traveller. Sungguhpun tidak meyaksikan pepohon merah jambu si sakura namun, keunikan musim luruh mewarnai bumi matahari terbit ini dengan pokok-pokok dan dedaun yang pelbagai warna adalah satu panorama yang cukup cantik. Keindahan negara Jepun bukan hanya dapat disaksikan menerusi alam, malah struktur bangunannya, kepantasan teknologinya malah yang sangat mengagumkan adalah masyarakatnya; warga Jepun itu sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Hampir jadi mangsa ragut tak rosakkan percutian 4 sahabat di kota cinta Paris Berada di Jepun selama lapan hari, melawat beberapa bandar seperti Kyoto, Kobe dan Osaka membuatkan saya lebih tertarik menulis berkenaan budaya masyarakat Jepun sendiri. Pemandangan mempesonakan di Arashiyama Bamboo Groove, Kyoto. Bercerita tentang warga Jepun atau orang Jepun, mereka sangat kaya dengan budaya yang sangat unik. Masyarakat Jepun yang lemah lembut dan sopan menjadikan Jepun lebih istimewa dan menarik. Kesemua ini dapat diperhatikan oleh rombongan kami setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai. Benarlah kata-kata yang menyifatkan lapangan terbang adalah cerminan pintu utama negara. Imej dan reputasi sesebuah negara dapat dilihat pada langkah pertama memasuki negara itu. Budaya kerja Melepasi imigresen di Lapangan Terbang Kansai, rombongan kami seramai 12 orang terus bergegas ke kaunter bagasi untuk menuntut bagasi masing-masing. Masing-masing cuba memasang mata memerhatikan nombor kaunter tuntutan bagi penerbangan kami dari Kuala Lumpur. Penulis turut berkesempatan berkunjung ke Universal Studio, Jepun. Setiba di kaunter tersebut perkara pertama yang membuat kami memberi pujian kepada negara Jepun ialah kesemua bagasi kami telah diangkat dan dipindahkan dari trek dan disusun satu persatu oleh petugas-petugas wanita tanpa mengira berapa berat bagasi itu. Ia memudahkan urusan kami seterusnya berbanding dibiarkan ia berpusing-pusing seperti di kebanyakan negara lain. Melihat budaya kerja yang tinggi mereka ini mengingatkan saya kepada pengajaran dalam kelas bahasa Jepun semasa di universiti dahulu apabila pensyarah menerangkan tentang masyarakat Jepun yang mengamalkan budaya kerja Samurai Bushido di mana prinsip-prinsipnya berjaya dihayati sepenuhnya. Antara pegangan prinsip-prinsip tersebut ialah pekerjaan itu satu penghormatan dan amanah berjuang untuk negara dan ketua atau majikan dengan ikhlas dan bersungguh serta buatkan yang terbaik. Mati itu lebih baik daripada mengkhianat atau menghampakan majikan, ketua ataupun negara. Senibina Kobe Mosque dan Osaka Palace. Sepanjang berada di Jepun, kami dapat saksikan tidak kira pekerja pejabat, pelayan restoran, pemandu bas dan sebagainya mereka amat komited dengan kerja masing-masing. Kebiasaannya mereka akan bekerja sehingga melampaui jadual waktu bekerja. Kebersihan Sejurus menerima kesemua bagasi kami akan terus menaiki keretapi laju Aliran Transit Massa (MRT) ke bandar Kyoto. Sebelum ke terminal terlebih dahulu ahli rombongan ke tandas untuk membersihkan diri setelah hampir 5 jam 45 minit berada di dalam pesawat. Kegusaran rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam ketika melancong ke luar negara adalah bekalan air di dalam tandas. Masing-masing sibuk mengeluarkan botol untuk mengisi air bagi tujuan mencuci najis. Kebersihan tandas di Jepun harus diberi lima bintang. Bukan hanya tandas di lapangan terbang, malah jika kita menggunakan tandas-tandas awam di mana sekalipun kita akan dapati tandasnya sangat bersih. Imperial Palace Garden, Kyoto yang dijaga bersih. Kawasan dalam tandas yang bersih dan kering bersinar, seolah-olah boleh tidur di dalamnya. Tidak perlu mengisi air dalam botol. Kebanyakan tandas awam di Jepun telah disediakan kemudahan teknologi bidet. Amat berbeza sekali untuk dibandingkan dengan di negara kita. Alangkah bagusnya jika rakyat negara kita mempunyai minda dan sikap untuk sentiasa menjaga kebersihan. Selain itu antara benda yang susah untuk dilihat di Jepun adalah sampah. Mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata. Cinta mereka kepada negara sangat tinggi dan mengotorkan negara adalah satu amalan yang hina. Masyarakat Jepun sangat menjaga kebersihan. Sukar untuk kita melihat tong sampah di tempat-tempat awam. Sungguhpun di platform atau terminal MRT. Oleh itu, jika tidak jumpa tong sampah, kami simpan dahulu sampah itu sama ada dalam poket atau beg. Bahasa ibunda Penggunaan bahasa Inggeris di Jepun sangat rendah dan bahasa Jepun merupakan bahasa utama pengantaran di sana. Oleh itu, tidak pelik jika hampir semua orang Jepun yang kita jumpa tidak tahu bahasa Inggeris. Penulis bergambar kenangan di Imperial Palace Garden, Kyoto. Mereka akan menggunakan bahasa Jepun walaupun mereka tahu kita adalah pelancong. Ini sedikit sebanyak merungsingkan dan melemahkan komunikasi antara dua masyarakat berlainan negara. Jika tidak tahu berbahasa Jepun, cuba berbahasa Inggeris dengan perlahan bersama isyarat tangan supaya mereka memahami. Belajar sedikit bahasa Jepun ringkas adalah sangat membantu untuk berada di Jepun. Menghormati orang lain Sungguhpun mereka tidak pandai berbahasa lain selain Bahasa Jepun, orang Jepun sememangnya terkenal dengan sikap sopan. Sopan terhadap orang tua, orang yang lebih tua. Begitu juga sikap sopan mereka terhadap pelancong-pelancong asing. Setiap kali memasuki kedai pasti akan kedengaran pekerja-pekerja mengucap “irasshaimase” atau “Selamat Datang”. Jika ada pekerja yang sedang bekerja mengemop lantai sekali pun akan memberi ucapan selamat sambil tunduk menghormati pelanggan. Dan bila keluar pula akan diucap “arigato gozaimasu” atau terima kasih. Satu pemandangan luarbiasa bagi sesiapa yang kali pertama mengujungi Jepun. Budaya membaca masih menebal dalam diri masyarakat Jepun. Perkara yang menarik melihat orang Jepun ini adalah ketika mereka berada di dalam MRT. Mereka tidak dibenarkan bercakap atau berbuat bising di dalam MRT kerana ia dikatakan akan mengganggu ketenteraman orang lain yang turut menaiki kenderaan laju itu. Ini juga antara sikap menghormati mereka sesama masyarakat yang patut dijadikan contoh. Justeru, mereka hanya akan membaca, mendengar muzik ataupun tidur di dalam MRT. Rajin membaca Di mana-mana saja kita pergi baik di dalam kenderaan awam (bas, keretapi dsb), sambil menunggu keretapi, di tepi jalan dan sebagainya kita dapat lihat mereka memegang buku dan membaca. Satu sifat yang murni yang wajib dicontohi oleh semua orang. Kita dapat lihat mereka bersungguh-sungguh menuntut ilmu, maka tak hairanlah masyarakat Jepun ini dapat mencapai kemajuan yang tinggi. Fushimi Inari Temple, Kyoto antara lokasi popular jika ke Jepun. Membaca tidak mengenal usia. Sikap cintakan ilmu dilihat bukan hanya dari kalangan anak muda malah orang tua juga turut mempunyai sikap yang sama. Dan mereka lebih sering dilihat menelaah katakana dan hiragana menerusi buku-buku atau majalah-majalah sendiri (Bahasa Jepun). Sukar juga mencari buku-buku lain dalam bahasa Inggeris di gedung-gedung buku di Jepun.. Budaya tunduk (Bow) Masyarakat Jepun sangat terkenal dengan budaya tunduk atau bow. Amalan bow ini digunakan ketika bertemu dengan individu lain sebagai tanda hormat dan menyapa dengan cara yang baik. Caranya amat mudah, hanya perlu tunduk sedikit kepala bersama badan dan orang yang kita jumpa itu akan buat perkara yang sama. Jangan terlampau tunduk ke bawah kerana ia kelihatan pelik. Menepati masa Ini adalah satu sifat yang sangat sinonim dengan masyarakat Jepun yang sepatutnya dijadikan contoh oleh masyarakat kita. Antara gambar kenangan penulis ketika melancong ke Jepun baru-baru ini. Bukan sahaja si orang Jepun yang menepati masa, malah setiap aktiviti harian seperti keretapi dan bas akan datang tepat pada waktu yang dijadualkan. Di sini kita dapat lihat sikap nihonjin mereka ini terhadap masa. Jika terlewat walaupun seminit, kita boleh ucapkan sayonara dek kerana kereta api tu pun dah merentasi jauh. Shinkazen (bullet train) di Jepun seperti Maglev yang berkelajuan 580km/j sudah tentu akan meninggalkan kita terlalu jauh! Itulah sebab mereka sangat menepati masa. Jujur Kes-kes seperti kecurian amat jarang sekali didengari berlaku di Jepun. Biasa dengar jika terlupa mengunci rumah atau tertinggal barang berharga dalam kereta, jangan risau kerana peratus kehilangan barang sangatlah rendah. Salah seorang daripada ahli kumpulan kami tercicir telefon pintar ketika berada di Mt Rokko, Kobe. Kimono dan Fushimi Inari Temple antara yang sinonim dengan Jepun. Namun setelah beberapa ketika beliau menyedari telefon pintarnya tiada, lalu bergegas mencari dan Alhamdulillah ia berada di tempat yang tercicir itu tapa disentuh oleh siapa-siapa. Negara Jepun mempunyai pelbagai keunikan tersendiri. Selain budaya masyarakatnya, tidak dapat dinafikan bahawa kita pasti jatuh cinta dengan negara ini yang memiliki keindahan alam semulajadi, budaya, adab, senibina mahupun teknologi. Kesempatan selama lapan hari itu membenarkan kami mengunjungi beberapa kawasan seperti ke Fushimi Inari Temple, Arashiyama Bamboo Groove, Togetsu Bridge, Nara Park, Gion, Kyoto Imperial Palace, Mt Rokko, Rokko Garden Terrace, Masjid Kobe, Kobe Mariners Centre, Osaka Castle, Shinsaibashi, Namba, Sakurajima, Kaigandori, Universal Studio Japan dan banyak lagi tempat-tempat menarik di Jepun. Perjalanan ke Jepun in semestinya satu pengalaman yang indah buat semua. Sehingga kini, kami masih lagi throwback kisah-kisah dan momen berada di Jepun. Semestinya setiap traveller mempunyai cerita yang berbeza bagi setiap perjalanan mereka. Ini lah cerita saya. ***Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Media UiTM Melaka ***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected]