suria

5 destinasi romantik untuk penggembara solo

Pemandangan indah di Machu Picchu Cusco, Peru.

PERNAH anda terfikir untuk bercuti secara solo di luar negara? Ia sebenarnya dapat memberikan pengalaman baharu yang patut dicuba sekali dalam seumur hidup.

Menggembara seorang diri dapat memberi peluang kepada anda untuk pergi ke mana sahaja malah terdapat beberapa lokasi di seluruh dunia yang sangat sesuai untuk solo traveller merasai suasana romantik walaupun bersendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika kota London dalam bucket list anda, apa kata semak dulu 10 tip ini

Jom baca lima destinasi pilihan ini yang mana tahu bakal menjadi destinasi solo trip anda!

1. Amalfi Coast, Itali

Terkenal dengan makanan seperti piza, pasta dan gelato, Itali juga terdapat pelbagai tempat romantis untuk dikunjungi termasuklah Amalfi Coast.

Lokasi ini merupakan salah satu tempat menawarkan pemandangan yang cukup indah di Itali selain Rome.

Di sini juga terletaknya kediaman yang dibina dilereng-lereng bukit serta dicat dengan pelbagai warna menjadikan ia pemandangan cukup mempesonakan ditambah pantai yang membiru sebagai latar.

Jika anda menggembara seorang diri, di Amalfi Coast cukup sesuai untuk merasai ketenangan.

2. Cuzco, Peru

Jika berkesempatan melawat Peru dibahagian Amerika Selatan, Cuzco adalah lokasi yang harus dituju. Ia terletak di lembah Urubamba di pergunungan Andes.

Terletak pada ketinggian 3,500 meter dari paras laut, kota kecil ini terkenal dengan pergunungan pelanginya. Memang feeling habis!

Di sini juga anda dapat melihat salah satu keajaiban dunia iaitu Machu Picchu peninggalan suku Inca yang cukup bersejarah.

3. Bali, Indonesia

Bali menyimpan pelbagai kekayaan alam yang patut diterokai oleh solo traveller. Terlalu banyak lokasi romantis yang boleh dinikmati tanpa gangguan.

Lupakan lokasi hot spot yang lain, apa kata ke Pantai Canggu yang cukup memukau pandangan. Di sini juga terdapat pelbagai kafe dan pusat hiburan lain.

Lokasi ini juga sesuai untuk melihat matahari terbenam dan jika bertuah solo trip anda akan ditemani oleh seseorang!

4. Paris, Perancis

Pemandangan Menara Eiffel dan sekitarnya saat difoto dari restoran Ciel de Paries, Tour Montparnasse memang cukup menonjolkan sisi romantik kota cinta itu.

Di Paris juga anda boleh menikmati keindahan Istana Versailles yang menempatkan peninggalan bangsawan Perancis yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Bangunan kuno yang masih tersergam indah turut menyimpan pelbagai rahsia negara itu. Selain itu anda boleh juga mengikuti pakej memetik anggur dan memproses keju bagi merasai pengalaman berbeza ketika di Paris.

5. Buenos Aires, Argentina

Kota yang satu ini mendapat jolokan 'Paris Amerika Selatan' - kerana kebanyakan rekaan bangunan di sana adalah rekaan arkitek dari Perancis.

Buenos Aires juga menyimpan pelbagai sejarah yang patut dikunjungi termasuk Obelisco yang mana menjadi tempat bendera Argentina dikibarkan buat pertama kali pada 1812.

Tempat lain yang wajib dikunjungi termasuklah Casa Rosada dan Plaza De Mayo yang juga pejabat Presiden Argentina.

Jika pernah menonton filem Don't Cry for Me Argentina ia juga menjalani penggambaran di lokasi ini. Malah di balkoni Casa Rosada inilah tokoh Evita Peron berpidato di hadapan rakyat Argentina.

Tempat lain yang patut dikunjungi termasuklah La Boca selain menonton teater di Teatro Colon dan pertunjukan Tanggo.

Artikel Lain