PELUANG menggembara ke negara orang bukan sahaja dapat melawat tempat-tempat menarik tetapi ia juga peluang untuk kita mengenali budaya dan adat masyarakat setempat. Seperti Surabaya, Indonesia ia kaya dengan cerita sejarah penuh dengan nilai kepahlawanan. Malah sejak awal lagi kota ini memiliki sejarah panjang yang berkait rapat dengan nilai-nilai perjuangan. Ia turut bersesuaian dengan nama Surabaya itu sendiri; Sura (berani) dan Baya (bahaya) yang boleh diterjemahkan sebagai sebuah kota berani menghadapi sebarang bahaya. ARTIKEL BERKAITAN: Teruja untuk pergi melancong? Ketahui perkara penting sebelum anda terbang Namun di sebalik sejarah kepahlawanan Surabaya, penulis jatuh cinta dengan masyarakat tempatan yang cukup ramah serta murah dengan senyuman. Benarlah, di jalanan adalah tempat paling sesuai untuk kita kenal sesuatu tempat, budaya dan penduduknya dengan lebih baik. Bersama rakan-rakan dari Surabaya. Paling membuatkan penulis tertarik, penduduknya baik berbangsa Cina atau India berkemahiran berbahasa Jawa selain bahasa Indonesia. Pada penulis ia satu pemandangan yang cukup menarik untuk dilihat dan benarlah bahasa itu dapat menyatukan sebuah negara. Sesuatu yang unik di sini, setiap petang sebelum tiba waktu Maghrib, surau berdekatan pasti akan mengalunkan zikir khas memuji Allah dan Rasul menggunakan bahasa Arab dan Jawa. Kunjungan ke Surabaya tidak lengkap sekiranya tidak melawat beberapa buah muzium yang sarat dengan informasi tentang Surabaya. Pada berhajat melancong ke sana, dua buah muzium ini penulis sarankan untuk dilawati bagi memahami sendiri sejarah, adat dan budaya pahlawan Surabaya. Antara muzium yang dilawati ketika di Surabaya. 1. Muzium Tugu Pahlawan Melalui info grafik yang terdapat di Muzium Tugu Pahlawan, pengunjung dapat merasai serta memahami semangat juang masyarakat Surabaya dalam pertempuran 10 November 1945. Kesungguhan Arek-Arek Suroboyo (sebutan untuk orang Surabaya) yang hanya berbekalkan buluh runcing, berani melawan penjajah ketika itu. Puluhan ribu masyarakat tempatan terkorban bagi membela tanah tercinta yang membuatkan Surabaya dikenali sebagai Kota Pahlawan. 2. Museum House of Sempurna Muzium yang terletak di tengah kota Surabaya ini harus dikunjungi! Ia memiliki reka bentuk pengaruh Belanda dan telah dibangunkan pada tahun 1862. Bangunan ini pada asalnya dijadikan pusat pendidikan oleh pihak Belanda namun sekitar 1932 ia dibeli oleh Liem Seeng Tee untuk dijadikan kilang rokok Sampoerna. Melangkah masuk ke muzium ini, pengunjung akan disambut dengan bau tembakau dan kolam ikan dengan bunyi pancuran air mewujudkan atmosfera menenangkan. Di sini juga ditempatkan koleksi antik mesin pencetakan kotak rokok, peralatan digunakan untuk menguji kualiti rokok dan sebagainya. Antara gambar kenangan di Surabaya. Surabaya syurga makanan, beli belah Pergilah ke mana pun, antara aktiviti wajib yang perlu dilakukan adalah food hunting! Bakso dan Rawon adalah antara menu paling popular dalam kalangan pelancong sekiranya ke Surabaya. Bagi penggemar makanan pedas, Rawon Setan dan Timbel Bakar Jimbaran Teri adalah menu wajib dicuba. Namanya mungkin kedengaran menakutkan tetapi percayalah ia antara menu yang membuatkan anda jatuh cinta! Namun nasihat penulis, sebaik-baiknya pilih untuk makan di restoran berbanding gerai di tepi jalan bagi menjamin tahap kebersihan dan kualiti makanan. Bagi yang ingin mencari ole-ole, Mirota Batik & Handcraft adalah tempatnya! Terdapat pelbagai pilihan cenderamata tempatan yang murah dan menarik. Itu belum lagi Tunjungan Plaza dan Galaxy Mall yang pada perkiraan penulis lebih gah berbanding Suria KLCC dan Pavilion di Kuala Lumpur. Ia bakal jadi syurga kepada pelancong kerana terdapat pelbagai pilihan barangan dan fesyen dengan harga berpatutan.