suria

Putrajaya lebih mampan tak lama lagi! Bakal tarik ramai penduduk, pengunjung dan pelancong dengan inisiatif bandar pintar, hijau

Bangunan kerajaan dengan seni bina unik menjadi sebahagian daripada identiti Putrajaya.

PUTRAJAYA yang menjadi pusat pentadbiran Malaysia sedang menuju ke arah Bandar mampan seterusnya menonjol sebagai destinasi pelancongan.

Pandemik Covid-19 mungkin telah menjejaskan banyak acara yang dirancang untuk memperingati sambutan kemuncak jubli peraknya, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos tahun lalu, tetapi apa yang dapat dilihat di bandar ini sendiri sudah dapat mencerminkan pencapaiannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh rentas daerah ni, apa kata kita pergi ke Putrajaya? Banyak lokasi ‘best’ boleh diterokai, tenang dan damai pula tu!

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, Putrajaya terkenal dengan imej elegan serta bangunan-bangunan kerajaan yang tersusun rapi, boulevard yang luas, jambatan menakjubkan tanpa meninggalkan elemen kehijauan alam sekitar.

“Semua kementerian dan jabatan kerajaan yang sebelum ini terletak di Kuala Lumpur telah berpindah ke Putrajaya, kecuali Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Kerja Raya.

“Terdapat banyak kawasan hijau yang mana 40 peratus dari 4.931 hektar bandar ini adalah untuk aktiviti outdoor dan Tasik Putrajaya menjadi lokasi untuk aktiviti berasaskan air.

“Putrajaya juga menjadi tempat tumpuan acara nasional dan antarabangsa dengan merekodkan antara 120 hingga 250 acara setiap tahun," tambahnya.

Penukaran fokus

Muhammad Azmi berkata, fasa berikutnya akan memberi fokus kepada peningkatan kecekapan pentadbiran dalam PPj, selain persekitaran, pelancongan, gaya hidup penduduk bandar ini serta kelestarian dan penyampaian perkhidmatan, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Putrajaya 2021-2025.

Katanya, bandar ini, dengan populasi 120,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat awam dan keluarga mereka, telah menyasarkan peningkatan sehingga 350,000 orang dalam tempoh 25 tahun akan datang dan dalam masa sama menyuntik lebih banyak kepelbagaian.

“Satu populasi dinamik yang diterjemahkan kepada kuasa membeli yang lebih baik seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan Bandar.

“Oleh itu, kami perlu menonjolkan kehebatan dan apa yang ditawarkan Putrajaya dalam usaha menarik lebih ramai orang menjadikan bandar ini sebagai kediaman mereka.

"Kami juga berusaha untuk mengukir nama Putrajaya sebagai bandar pentadbiran kelas dunia dan lestari, dan kami telah melancarkan banyak inisiatif pintar dan hijau sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Bandar hijau

PPj telah memulakan pelbagai inisiatif hijau dalam penurunan pelepasan karbon,yang disasarkan akan berjaya dicapai pada tahun 2025.

Muhammad Azmi berkata, organisasi itu melaksanakan inisiatif rendah karbon, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari yang dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai persiapan untuk Putrajaya Bandar Hijau 2025.

Beliau mendedahkan tujuh bidang tumpuan - perancangan dan pembinaan bandar; mengintegrasikan alam semula jadi ke dalam struktur bandar urban; pengangkutan dan mobiliti; penggunaan tenaga; penggunaan air; pengurusan sisa pepejal; serta pentadbiran dan pengurusan Bandar.

"Situasi pandemik ini tidak membantutkan usaha penghijauan kita, termasuk yang melibatkan masyarakat.

"Sebagai contoh, kami telah menjalankan latihan pengurusan tenaga secara dalam talian.

"Anugerah Inisiatif Hijau Putrajaya (AIH Putrajaya), yang bermula tahun lalu untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada inisiatif hijau penduduk bandar akan diteruskan juga pada tahun ini.

"Kami mahu orang ramai menghayati gaya hidup hijau," katanya.

ppj

Putrajaya Command Centre berperanan dalam pemerintahan bandar pentadbiran, terutamanya sejak permulaan PKP untuk memantau keselamatan.

Muhammad Azmi berkata, PPj juga memberi tumpuan kepada projek-projek yang akan mengurangkan kesan pelepasan karbon di bandar ini.

“Kerja-kerja sedang dilakukan untuk membaiki laluan pejalan kaki, lorong basikal, pemasangan tanjakan akses basikal di dua jambatan Putrajaya, penambahan dan pemasangan lampu penjimatan tenaga dan pengoperasian penuh kemudahan inovasi kitar semula baharu.

“Selain itu, material pendidikan khas mengenai amalan hijau dan program penyesuaian perubahan iklim untuk kanak-kanak sekolah rendah seperti buku Green Folio Putrajaya dan siri Putrajaya Children Eco Stories telah diterbitkan di bawah Program GreenROSE@Putrajaya.

“Bagi golongan dewasa dan warga emas, terdapat program CAREton@Putrajaya, yang berasaskan konsep ekonomi sirkular.

"Program ini bertujuan untuk mengurangkan sisa pepejal seperti kadbod minuman terpakai (UBC) dan mengembangkan produk teknologi hijau berdasarkan UBC," katanya.

Tambahnya, sejak 2012, bandar ini telah mempertahankan status kelastariannya, berdasarkan Indeks Bandar Mampan (Jaringan Petunjuk Bandar Malaysia) Murninet.

Tahun lalu adalah kali kedua Putrajaya menduduki tempat ketiga dalam kategori bandar/ perbandaran Murninet daripada lebih 100 pihak berkuasa tempatan yang mengambil bahagian, katanya.

Bandar pintar

Tujuh pangkalan disebut dalam inisiatif pintar bandar ini, iaitu pengangkutan dan mobiliti; kediaman dan persekitaran; perkhidmatan kerajaan; infrastruktur dan utiliti pintar; keselamatan dan sekuriti; ekonomi dan komuniti.

Walaupun berdepan wabak Covid-19, kira-kira separuh daripada sasaran dalam Pelan Pembangunan Bandaraya 2020 berjaya dilaksanakan pada akhir tahun lalu, kata Muhammad Azmi.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif yang paling berjaya adalah perkhidmatan kerajaan dengan penyelesaian lebih dari 90 peratus pemindahan perkara-berkara berkaitan pemerintahan ke platform digital.

“Pencapaian terbaik adalah Sistem Pemantauan Pusat Sehenti 3.0 yang mendapat penganugerahan, yang memungkinkan semua proses melibatkan arahan-arahan pembangunan dilakukan secara digital.

“Putrajaya Command Centre (PCC) yang dikendalikan oleh PPj adalah satu lagi perkara yang kami banggakan.

"Sebagai sebuah pusat kawalan keselamatan, ia juga digunakan oleh polis, Hospital Putrajaya, Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya serta Pasukan Pertahanan Awam Putrajaya untuk memantau keselamatan, tindak balas kecemasan dan kawalan trafik, antara lain.

"Ini sangat berguna, terutama sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan, dan ia beroperasi sepanjang waktu," katanya.

Muhammad Azmi menekankan bahawa tahun lalu sahaja, lebih dari 60km kabel gentian optik ditambah dalam rangkaian Bandar.

Mengulas lanjut, beliau berkata kabel ini akan disambungkan dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik yang akan dipasang di tempat-tempat strategik dalam bandar, begitu juga di PCC dan agensi lain.

azmi

Muhammad Azmi berkata PPj akan mengalihkan tumpuan untuk melaksanakan inisiatif yang lebih hijau dan pintar, sambil mempromosikan pelancongan.

“Penggunaan Analisis Video Pintar, yang secara automatik memberi amaran kepada PCC tentang sebarang bahaya, akan diperluaskan.

"Sejak tahun lalu, kakitangan PCC telah mulai menyebarkan maklumat melalui notifikasi pada aplikasi mudah alih Putrajaya dan Papan Buletin Elektronik Berpusat," katanya.

PCC juga baru-baru ini telah menambah rakan kongsi agensi baharu, Jabatan Pengangkutan Jalan, sebagai sebahagian daripada program advokasi keselamatan jalan raya.

Melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia, PPj telah mengembangkan Rangkaian Akses Radio Teragih di beberapa tapak untuk meningkatkan kualiti rangkaian mudah alih hingga 100Mbps menjelang 2022 dan memperbaiki perhubungan.

PPj juga merancang untuk meningkatkan jumlah CCTV pintar kepada 1,000 unit pada tahun 2025.

Sebagai tambahan, rangkaian dan perkhidmatan 5G, yang dibentuk dengan kerjasama Digital Nasional Bhd, akan siap menjelang 2022.

Bandar bersih

Putrajaya juga diiktiraf sebagai salah sebuah bandar paling bersih di rantau ini, setelah mendapat anugerah Asean Clean Tourist City Standard sebanyak dua kali, pada 2018-2020 dan 2020-2022.

Mahu merebut penghargaan itu untuk kali ketiga tahun depan, Muhammad Azmi berkata, PPj berharap bandar ini terus mendapat pengiktirafan.

Penghargaan itu diberikan kepada bandar-bandar di Asia Tenggara yang memberi penekanan untuk mencantikkan tempat-tempat awam, memperbaiki persekitaran dan pengurusan sampah, mengekalkan kelestarian dan meningkatkan pengalaman pelancong, antara lain.

Katanya, terdapat tujuh indikator yang dipertimbangkan untuk anugerah itu iaitu pengurusan alam sekitar, kebersihan, pengurusan sampah, promosi kesedaran sivik, ruang hijau, keselamatan dan pelancongan.

“PPj juga telah menerapkan dan menguatkuasakan penggunaan produk mudah terurai dan melarang penggunaan polistirena, beg plastik dan straw.

"Menerima anugerah antarabangsa sekali lagi pasti akan mengukuhkan nama bandar ini sebagai salah satu bandar lestari di dunia dan destinasi pelancongan pilihan," katanya.

Rekreasi dan riadah

Walaupun Putrajaya mempunyai banyak kawasan perairan, kehijauan dan seni bina yang indah, ia masih berdepan cabaran dari segi pelancong.

Muhammad Azmi berkata pelancong ditakrifkan sebagai pelawat yang tinggal di bandar itu sekurang-kurangnya selama satu malam.

“Bandar ini menerima ramai pengunjung ketika pra-pandemik, tetapi bukan pelancong.

"Kami mahu mengubahnya. Jadi, produk pelancongan kami perlu diperhebat dan dipelbagaikan, agar sesuai dengan selera mereka.

"Salah satu cara meletakkan Putrajaya dalam peta pelancong adalah dengan mengadakan acara nasional dan antarabangsa. Ini secara tidak langsung akan mempromosikan tasik, taman dan bangunan ikonik indah, yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi tempatan dan menarik pengunjung local.

PPj juga serius dalam mempromosikan aktiviti berbasikal.

Muhammad Azmi berkata selain laluan basikal sejauh 18km yang sedang diuji di jalan raya, PPj juga mempunyai 10 laluan lain untuk dijelajahi penunggang basikal, tiga di antaranya dikategorikan sebagai laluan dengan pemandangan indah.

"Laluan indah ini tidak mencabar, sesuai untuk keluarga dan semua peringkat umur, dengan sebahagian besar laluan melewati persiaran Putrajaya.

"Laluan ini akan dilengkapi dengan 12 perhentian, termasuk yang utama di PitStop@Floria untuk berehat dan pergi ke tandas, serta papan tanda arah untuk merancang perjalanan," tambahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain