suria

Kerusi depan dapat makan cepat! Pramugara kongsi 8 perkara perlu diambil kira sebelum pilih seat pesawat

Ikuti tip ini untuk memilih kerusi pesawat yang bersesuaian dengan anda. -Gambar hiasan

MUSIM cuti sekolah sudah tiba!

Melancong atau bercuti sama ada di dalam atau luar negara pastinya menjadi kemestian untuk setiap keluarga bagi memanfaatkan sepenuhnya cuti yang ada.

Bercuti ke negara atau negeri orang membolehkan seseorang itu melihat budaya dan cara hidup masyarakat setempat di samping merehatkan minda.

Pemilihan kerusi penting untuk penerbangan selesa. -Gambar hiasan

Berbagai mod pengangkutan boleh digunakan ketika musim cuti ini termasuklah melalui penerbangan.

Walau nampak remeh, namun keselesaan penumpang ketika berada di dalam pesawat adalah sesuatu yang penting dan segalanya bermula dengan pemilihan kerusi yang tepat.

Memetik laporan Insider, seorang pramugara melalui satu temu bual mengesyorkan beberapa kriteria yang perlu diteliti bagi menjadikan kerusi penerbangan itu kondusif.

Kerusi di tepi tingkap. -Gambar hiasan

1) Jika mahu tidur lena, pilih kerusi tepi tingkap

Tip ini khusus untuk mereka yang tidak memerlukan layanan pramugara atau pramugari dan lebih selesa untuk tidur terutamanya ketika perjalanan pulang.

Mengapa kerusi di tepi tingkap lebih selesa dari kerusi yang lain? Kerana risiko untuk kepala anda terlentok di bahu orang lain adalah rendah. Anda boleh menyandarkan kepala di bahagian tingkap.

Selain itu, anda juga tidak akan diganggu dengan orang lalu-lalang. Boleh tidur dengan aman tanpa gangguan serta tidak perlu bangun untuk memberi laluan kepada penumpang yang mahu keluar.

Kerusi di tepi laluan. -Gambar hiasan

2) Pilih kerusi di tepi laluan jika perlu kerap keluar

Kerusi di tepi laluan atau 'aisle seat' sesuai untuk mereka yang kerap pergi ke tandas.

Mudah untuk bangun tanpa perlu meminta laluan daripada orang lain. Mudahkan diri sendiri dan mudahkan orang lain juga.

Kerusi di tepi pintu kecemasan. -Gambar hiasan

3) Elakkan kerusi di tepi pintu kecemasan jika tak tahan sejuk

Menurut pramugara tersebut, ada ruang-ruang kecil di pintu kecemasan yang membolehkan udara sejuk dari luar masuk ke dalam pesawat.

Ini membuatkan kawasan di pintu kecemasan lebih sejuk berbanding ruang lain dalam pesawat.

Jadi, jika tak tahan sejuk, elakkan ambil kerusi berhampiran pintu kecemasan.

Ruang kaki di tepi pintu kecemasan adalah lebih besar. -Gambar hiasan

4) Jika mahu ruang kaki yang luas, kerusi di pintu kecemasan adalah jawapannya

Namun lain ceritanya jika anda mahukan ruang kaki yang lebih luas tanpa sebarang caj tambahan. Untuk mereka dalam kategori ini, kerusi di pintu kecemasan adalah sangat bersesuaian.

Walaupun begitu, perlu diingat ketika berlakunya kecemasan anda perlu peka dan anda adalah individu yang akan memainkan 'watak' penting.

Kerusi di hadapan dinding pemisah. -Gambar hiasan

5) Elakkan kerusi di hadapan dinding pemisah

Kerusi di sini menyebabkan anda sukar untuk lunjurkan kaki ke hadapan jika mahu berehat. Badan akan jadi lenguh.

6) Pilih kerusi hadapan jika tak tahan pergolakan udara (turbulence)

Kerusi di bahagian hadapan pesawat biasanya mengalami gegaran yang paling sedikit ketika situasi cuaca buruk.

Penerbangan anda akan sedikit selesa jika berlaku pergolakan udara.

Makanan di dalam pesawat. -Gambar hiasan

7) Jika nak makan cepat, pilih kerusi di barisan hadapan pesawat

Perut sudah berkeroncong? Duduk di kerusi depan akan mendapat makanan lebih awal sebelum orang lain.

Selain itu, pilihan makanan akan lebih banyak kepada mereka yang di kerusi hadapan.

Kalau duduk belakang, makanan akan sampai lebih lambat dan makanan yag diinginkan mungkin akan habis dulu.

'Dapur' di dalam pesawat. -Gambar hiasan

8) Elakkan kerusi di bahagian 'dapur' pesawat

Di sini tempat pramugari dan pramugara memanaskan makanan, membancuh air, membuang sampah dan sebagainya.

Sedikit bising. Jadi jika anda mahu tidur dengan aman tanpa gangguan, jangan ambil kerusi berdekatan 'dapur' pesawat. - Insider

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain