suria

Wanita kongsi 4 cara elak jadi mangsa penyeluk saku ketika melancong, tip pertama sangat berguna!

Lelaki ini (foto kiri) hampir manjadi mangsa penyeluk saku. -Gambar hiasan, Freepik

MEREKA yang panjang tangan sentiasa ada di mana-mana sahaja menanti peluang untuk 'menerkam' mangsa.

Penyeluk saku biasanya mengambil kesempatan ke atas pelancong yang leka dengan persekitaran sekeliling ketika berada di lokasi peranginan.

Baru-baru ini tular di laman Twitter video memaparkan rakyat Malaysia di Oxford Street, London yang hampir menjadi mangsa penyeluk saku.

Kumpulan pencuri jalanan ini sangat tangkas dalam menjalankan 'kerja' mereka dan dapat diperhatikan sering bergerak dalam kumpulan.

Dompet sering menjadi sasaran penyeluk saku. -Gambar hiasan

Modus operandi

Seorang wanita yang pernah menjadi mangsa penyeluk saku ketika melancong di negara luar mendedahkan bahawa akan ada seorang ahli dari kumpulan terbabit ditugaskan untuk mengalih perhatian mangsa.

"Mereka ini sangat 'profesional' dalam kerja mereka. Selalunya orang tak perasan pun sewaktu barangan berharga mereka kena ambil.

"Akan ada seorang datang tanya soalan 'do you know where this place is?' dan waktu kita tengah jawab tu, ahli kumpulan mereka yang lain akan mula seluk poket atau beg kita untuk curi barang.

"Mereka ni hanya perlukan beberapa saat sahaja untuk 'songlap' barang berharga kita. Penyeluk saku boleh jadi sesiapa pun, tua atau muda tak kira usia, susah kita nak agak," kata wanita itu melalui perkongsian di TikTok.

Berikut adalah beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengelakkan barang berharga anda daripada dicuri oleh penyeluk saku.

Elakkan meletakkan kesemua wang dalam dompet. -Gambar hiasan

1) Jangan letak duit di satu tempat sahaja

Letakkan duit dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang dibawa di pelbagai ruang.

Contohnya simpan salah satu barang tersebut di dalam beg sandang, beg galas, poket baju, jaket atau lain-lain ruang yang ada pada diri anda.

Dengan mengamalkan langkah ini, sekiranya dompet anda diambil oleh penyeluk saku, sekurang-kurangnya tidak hilang kesemuanya serentak dan masih ada wang yang disimpan di tempat lain.

Jika kad ATM anda diambil, terus hubungi pihak bank yang berkaitan untuk sekatan dibuat.

Beg silang dapat melindungi seseorang dari penyeluk saku. -Gambar hiasan

2) Pakai beg silang

Beg silang adalah cara yang paling berkesan dan selamat untuk elakkan barangan atau wang anda dari diambil oleh penyeluk saku.

Beg silang yang berada di bahagian perut atau dada menyebabkan ia sentiasa berada di bawah pandangan mata anda dan sukar untuk dicapai oleh penyeluk saku.

Penyeluk saku biasanya akan menyasarkan poket pada seluar dan beg anda kerana ia berada di bahagian belakang badan dan sukar untuk disedari.

Letakkan barangan berharga seperti pasport, telefon pintar, dompet, kad ATM di dalam beg silang ini ketika melancong.

Jalan bertentangan dengan arah orang ramai bergerak. -Gambar hiasan

3) Jalan melawan arus

Kalau berada di bahu jalan atau kaki lima, cuba berjalan melawan arus trafik pejalan kaki.

Ini bertujuan untuk menyukaran gerak geri penyeluk saku yang mungkin akan cuba merampas dompet atau telefon pintar anda dari belakang.

4) Elakkan berada di kawasan sesak terlalu lama

Tempat tumpuan pelancong di bandar-bandar besar merupakan medan 'memburu' penyeluk saku, jadi elakkan berada di kawasan sebegini untuk masa yang lama.

Apabila berada di kawasan yang padat dengan manusia, pastikan anda sentiasa peka dan perhatikan keadaan sekeliling jika ada pergerakan yang mencurigakan daripada sesiapa.

Jika mahu berehat atau mengambil gambar, cuba cari kawasan yang kurang sesak dahulu. - Huzels Traveller

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain