suria

Selain Kaabah, kapal terbang tak boleh lintas atas rumah Messi di Barcelona... Ketahui lokasi lain dan sebab-sebab larangan

Lokasi rumah Lionel Messi menjadi salah satu kawasan larangan laluan pesawat.

KETIKA sedang selesa beristirehat dalam kabin kapal terbang, pernahkan anda terfikir tentang ruang udara yag sedang direntasi pesawat?

Kebiasaannya dalam penerbangan jarak jauh ada disediakan ilustrasi peta digital pada skrin LCD (paparan kristal cecair) di kerusi hadapan untuk tatapan penumpang.

Tahukah anda, dalam peta tersebut ada beberapa lokasi yang dilarang sama sekali untuk pesawat merentasi ruang udaranya.

Ternyata perjalanan kapal terbang mempunyai 'sekatan jalan' tersendiri, ayuh kita lihat apakah lokasi tersebut dan sebab di sebaliknya.

Kutub Utara dan Kutub Selatan (Gambar hiasan, Freepik)

1) Kutub Utara dan Kutub Selatan

Kedua-dua kutub yang terletak di titik paling hujung di Bumi menyebabkan ia mempunyai cuaca yang ekstrem dan jarak penglihatan yang rendah.

Banyak risiko keselamatan yang perlu diambil kira untuk menerbangkan pesawat melalui kawasan ini.

Parthenon Greece (Freepik)

2) Parthenon Greece

Parthenon di Greece merupakan tapak warisan bersejarah yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Menurut mitologi Yunani, Parthenon merupakan kuil yang dibina khas untuk dewa Athena bersemayam.

Pesawat tidak digalakkan untuk merentasi ruang udara tapak bersejarah dan jika perlu, ia harus terbang pada altitud sekurang-kurangnya 5,000 kaki dari monumen itu.

Taman tema Disney (Gambar hiasan, Freepik)

3) Taman tema Disney

Larangan penerbangan di ruang udara taman tema Disney adalah khusus untuk cawangan di Florida dan Anaheim, California, Amerika Syarikat.

Pesawat tidak boleh terbang kurang daripada 3,000 kaki di atas kedua-dua taman tema tersebut.

Larangan itu berkuatkuasa selepas serangan pengganas pada 11 September 2001 yang menyasarkan dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Larangan itu dijadikan kekal pada tahun 2003.

Ia adalah untuk tujuan keselamatan dan langkah berjaga-jaga jika kejadian serangan pengganas yang sama berulang.

Macchu Pichu (Freepik)

4) Macchu Pichu

Seperti Parthenon di Greece, Macchu Pichu di Peru juga mempunyai larangan penerbangan kerana ia adalah sebuah tapak bersejarah dan perlu dilindungi dengan sebaik mungkin.

Pergunungan Himalaya (Gambar hiasan, Freepik)

5) Pergunungan Himalaya

Pergunungan Himalaya mempunyai gunung-ganang berketinggian 20,000 kaki yang boleh merisikokan keselamatan pesawat yang melaluinya.

Selain itu, pergunungan Himalaya juga tidak mempunyai tempat pendaratan yang bersesuaian jika berlakunya kecemasan.

Lionel Messi (Freepik)

6) Rumah pemain bola Lionel Messi di Sepanyol

Rumah Lionel Messi terletak di Gava iaitu sebuah bandar kecil di pinggir Barcelona, Sepanyol yang perlu patuh kepada peraturan alam sekitar.

Gava juga berada berhampiran dengan Lapangan Terbang El Prat iaitu lapangan terbang utama di Barcelona.

Rumah Lionel Messi terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Lapangan Terbang El Prat.

Barcelona perlu akur kepada peraturan alam sekitar iaitu lapangan terbang di situ bukan sahaja tidak boleh dikembangkan malah pesawat juga dilarang melintasi Gava.

Namun larangan penerbangan di Gava tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan kehadiaran Lionel Messi.

Taj Mahal (Gambar hiasan, Freepik)

7) Taj Mahal

Taj Mahal di India diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak bersejarah dan larangan penerbangan adalah untuk melindunginya.

Segi Tiga Bermuda (Gambar hiasan, Freepik)

8) Segi Tiga Bermuda

Segi Tiga Bermuda di Lautan Atlantik sebenarnya tidak mempunyai larangan penerbangan yang termaktub tetapi sesetengah juruterbang memilih untuk mengelaknya.

Ia kerana kepercayaan bahawa tempat itu disumpah setelah berpuluh-puluh pesawat dan kapal laut lesap di kawasan terbabit sejak beberapa dekat yang lalu.

Kaabah (Gambar hiasan, Freepik)

9) Kaabah di Makkah

Larangan penerbangan di atas Kaabah yang pertamanya adalah kerana kota Makkah tidak mempunyai lapangan terbang.

Seterusnya adalah kerana ia bertujuan untuk menghormati Kaabah sebagai Tanah Suci untuk umat Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain