suria

Rancang nak ‘healing’ lepas raya? Ayuh ke Stellar Goldenhill Cameron, boleh tidur dalam caravan

Penginapan di dalam kenderaan rekreasi ditawarkan di Stellar Goldenhill Cameron.

SUDAH menjadi tradisi bagi warga kota untuk kembali ke kampung halaman setiap kali tibanya Syawal.

Namun begitu, ada juga sesetengah daripada mereka yang memilih untuk tidak pulang berhari raya di desa atas pelbagai sebab tertentu.

Bagi kelompok itu, apa kata anda manfaatkan cuti hari raya nanti sebagai peluang untuk pergi bercuti.

Stellar Goldenhill Cameron mula beroperasi pada Julai tahun 2022.

Jadi apa tunggu lagi? Inilah masanya untuk anda kenal pasti tempat yang ingin dilawati dan buat tempahan awal agar tidak gigit jari.

Bagi yang belum punya idea, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk bercuti di Stellar Goldenhill Cameron yang terletak di Cameron Highlands, Pahang.

Percutian di Cameron Highlands mungkin dirasakan seperti mainstream kerana ia menjadi tumpuan pengunjung setiap kali musim cuti, tetapi tempat peranginan ini ada kelainannya yang tersendiri.

Di Stellar Goldenhill Cameron, tempat tinggal anda bukannya di dalam bangunan atau bilik hotel tetapi sebaliknya di dalam sebuah kenderaan!

caravan 9

Konsep penginapan di Stellar Goldenhill Cameron adalah sesuatu yang di luar kebiasaan.

Pernahkah anda menonton filem Barat yang memperlihatkan konsep rumah bergerak di mana di dalam kenderaan itu ada tersedia tempat tidur, tempat makan dan juga bilik air?

Kenderaan sebegini dinamakan sebagai kenderan rekreasi (recreational vehicle) atau caravan dan di Stellar Goldenhill Cameron, anda berpeluang untuk merasai pengalaman ini sendiri.

Pengusaha Stellar Goldenhill Cameron, Darren, 36, berkata selain pakej penginapan berbentuk perkhemahan dan glamping, pakej caravan adalah antara yang menjadi tarikan utama pengunjung.

Tempat bersantai di luar kenderaan rekreasi (caravan).

"Di Stellar Goldenhill Cameron, kami tawarkan dua jenis caravan iaitu The Nest dan The Cozy. Kedua-duanya boleh menempatkan tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

"Reka bentuk caravan ini bersesuaian untuk keluarga atau kumpulan pengunjung yang kecil dan menginginkan percutian di Cameron Highlands sambil menikmati udara segar dan alam semula jadi," kata Darren.

Tambah Darren tempat penginapan di dalam kenderaan rekreasi itu diinspirasikan dari percutian di negara empat musim seperti Eropah.

Walaupun di dalam kenderaan, tetapi tilam yang disediakan tetap empuk.

"Konsep kami di sebalik caravan ini adalah untuk menawarkan pengunjung pengalaman seakan-akan bercuti di luar negara khususnya seperti di Switzerland dan Korea Selatan.

"Di negara-negara itu, percutian di dalam kenderaan rekreasi sememangnya menjadi kebiasaan kerana cuacanya yang nyaman, sejuk dan tidak berkuap.

"Jadi kami fikir ia sangat bersesuaian untuk kami bawa konsep ini ke Cameron Highlands yang iklimnya juga sungguh selesa. Walaupun begitu, caravan kami di sini tidak boleh dibawa keluar untuk bersiar-siar dan hanya kekal di dalam tapak.

"Pengunjung dapat menikmati keindahan Cameron Highlands sambil melalui pengalaman baharu, bermalam di dalam kereta! Ia adalah sesuatu yang unik," ujar Darren.

Pemandangan di sekitar Cameron Highlands dari dalam kenderaan rekreasi (caravan).

Darren menyatakan setiap kenderaan rekreasi itu dilengkapi dengan kemudahan serupa yang boleh didapati di mana-mana hotel.

"Di dalam caravan ini ada katil, bantal, kerusi empuk dan semua kemudahan lain yang sesebuah hotel itu sepatutnya ada. Anda hanya perlu bawa bagasi pakaian tanpa perlu memikirkan apa-apa.

"Penginapan di dalam caravan kami ini adalah sangat selesa dan premium, pemanas juga ada tersedia kalau hari tu menjadi terlampau sejuk.

"Ketika anda tidur di dalam caravan, sambil angin-angin sepoi bahasa di Cameron Highlands memasuki jendela, anda akan dapat melupakan sebentar realiti dan mencari ketenangan diri" kata Darren.

Bilik tidur di dalam kenderaan rekreasi (caravan) ini juga adalah sangat luas.

Selain penginapan kenderaan rekreasi, Stellar Goldenhill Cameron juga menawarkan beberapa lagi tarikan yang bakal menjadikan percutian anda satu kenangan yang sukar dilupakan.

"Aktiviti yang sangat popular dalam kalangan penginap antaranya adalah berkelah sambil melihat pemandangan indah lerengan bukit di bawah. Makanan berkelah yang meliurkan dan lazat semuanya disediakan.

"Selain itu, menonton filem pada waktu malam sambil dipayungi bulan dan bintang adalah satu lagi aktiviti yang ditunggu-tunggu penginap kami di sini, konsep open sky, tak perlu aircond dan tak ada nyamuk.

Ruang terbuka untuk menonton filem secara beramai-ramai di bawah langit malam.

Manakala untuk penginapan glamping dan berkhemah, Darren menyatakan mereka ada menyediakan pelbagai variasi pakej yang bersesuaian dengan bajet perbelanjaan setiap pengunjung.

"Kami sedar setiap pengunjung ada preference dan budget masing-masing, kami ada pakej penginapan yang pastinya sesuai dengan keperluan anda.

"Apa-apa pun pakej yang anda pilih, kami menjanjikan perkhidmatan yang berkualiti dan hospitality yang tiada tandingan.

"Jadi ayuh lawat kami di Stellar Goldenhill Cameron dan cuba sesuatu yang baru, Cameron Highlands kini adalah lebih dari sekadar tempat mengutip strawberi, memakan jem dan ladang teh," kata Darren menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain