suria

‘Berperang’ dengan angin kencang di Gaomei Wetland, panorama semulajadi di Jiufen paling tak boleh lupa... Taiwan memang pilihan berbaloi!

Taiwan mempunyai pelbagai lokasi tarikan pelancong yang pasti menjanjikan 1,001 kenangan manis.

SELAIN Korea Selatan dan Jepun, Taiwan merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pelancong dari serata dunia khususnya Asia Tenggara.

Menurut Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) bagi tahun 2022 oleh MasterCard, Taiwan menduduki tangga kedua bagi kategori destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik dalam kalangan negara bukan Islam di dunia!

Antara ciri-ciri yang membolehkan negara ini mendapat penarafan sedemikian adalah; terdapat kemudahan untuk menunaikan solat yang disediakan di merata lokasi tumpuan termasuk lapangan terbang, serta beratus premis makanan halal untuk pelancong Muslim.

Bermula Oktober tahun lalu, Taiwan membuka semula pintu sempadannya kepada pelancong asing selepas lebih dua tahun 'menutup' sempadan negara untuk mengekang penularan Covid-19.

Justeru, inilah waktu terbaik untuk kalian melancong ke negara yang diberi julukan The Heart of Asia!

taipei 101

Pemandangan Taipei 101 dari Military Families Community Park.

Baru-baru ini, mStar dan rakan media daripada pelbagai agensi diberi peluang untuk mengembara ke Taiwan bagi merasai sendiri pengalaman meneroka keindahan dan keunikan pulau ini.

Kunjungan selama enam hari yang dibawakan khas oleh AirAsia dan Lembaga Pelancongan Taiwan (Taiwan Tourism Board) sememangnya meninggalkan kenangan serta pengalaman yang sangat indah dan manis!

Seperti masih terbayang-bayang keindahan semula jadi setiap lokasi yang dikunjungi sepanjang tempoh enam hari lawatan. Pendek kata, rasa macam nak pergi lagi!

Penulis sempat membuat sedikit catatan mengenai setiap lokasi yang dikunjungi iaitu merangkumi ibu kota Taipei, Taichung dan Kaohsiung untuk dikongsi bersama kalian.

1. Taipei 101

Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Taiwan jika tidak ke lokasi wajib ini. Menara ikonik dengan motif rekaan daripada buluh dan pagoda setinggi 101 tingkat ini menjadikannya bangunan ketiga tertinggi di dunia.

Di sini, anda boleh mengunjungi pusat beli belah mewah atau menikmati panorama indah Taipei dari observation deck.

lantern

Salah satu pameran di Taiwan Lantern Festival 2023.

Terdapat taman outdoor dengan landskap yang cantik dan unik untuk pengunjung bersantai serta mengabadikan kenangan, antaranya Military Families Community Park.

Memandangkan ketika itu berlangsungnya Taiwan Lantern Festival 2023, oleh itu sekitar kawasan menara ikonik ini meriah dengan pengunjung tempatan dan luar negara yang tidak mahu ketinggalan merasai kemeriahannya, apatah lagi ia 'kembali' ke Taipei selepas 23 tahun.

Dengan tema 'Sinari Masa Depan', pengunjung pasti terpegun melihat lebih 300 karya yang melambangkan harapan dengan disinari limpahan pencahayaan menakjubkan.

shifen

Keindahan Air Terjun Shifen.

2. Air Terjun Shifen

Meskipun perlu berjalan kaki kira-kira 25 minit untuk sampai ke air terjun, namun kepenatan tersebut berbaloi sebaik sahaja mata melihat keindahan Air Terjun Shifen yang diberi julukan 'Little Niagara Falls of Taiwan'. Terasa tenang dan nyaman saja... betul-betul healing!

jiufen

Menulis hajat pada tanglung.

3. Shifen Old Street

Seni bina lokasi ini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti bangunan kedai lama, menjadikannya begitu unik! Terdapat landasan kereta api di antara kedai-kedai yang menjual pelbagai cenderahati, sekaligus menjadikannya 'port' bergambar yang menarik.

Di sini, pengunjung berpeluang untuk menulis hajat masing-masing pada tanglung sebelum dilepaskan ke udara. Difahamkan, menurut kepercayaan orang tempatan, tanglung tersebut bermaksud harapan dan melepaskan tanglung ke udara adalah simbolik kepada meminta hajat. Ini salah satu antara lokasi yang wajib korang pergi!

jiufen old street

Deretan kedai di Jiufen Old Street.

4. Jiufen Old Street

Merupakan bekas bandar perlombongan emas, lokasi ini terletak di kawasan tanah tinggi yang mana menyajikan pemandangan bukit dan laut yang begitu memukau mata!

Boleh dikatakan, lokasi ini begitu happening kerana terdapat puluhan kedai cenderahati dan street food yang enak dengan seni bina bercirikan tradisional. Pengunjung pasti teruja jika ke lokasi ini walaupun perlu bersesak-sesak dalam lorong yang sempit.

taman bunga

Pelbagai spesies bunga di Chung-she Flower Garden.

5. Chung-she Flower Garden

Terletak di daerah Houli, Taichung, iaitu sekitar 160 kilometer (km) dari Taipei. Terdapat pelbagai spesies bunga yang berwarna-warni, daripada tulip, mawar, bunga matahari, lavender hinggalah kepada spesies bunga liar yang 'rare'.

Di taman yang berkeluasan lebih daripada enam hektar ini, terdapat juga replika piano, dram, kincir angin dan binaan lain di tengah-tengah 'hamparan' bunga. Memang 'Istagrammable-worthy' senang ceritanya!

gaomei

Pemandangan matahari terbenam di Gaomei Wetland.

6. Gaomei Wetland

Dalam banyak-banyak lokasi tarikan pelancong yang dikunjungi, jujurnya Gaomei Wetland adalah lokasi yang penulis takkan lupakan. Sewaktu tiba sekitar pukul 4 petang, cuaca ketika itu bersuhu 11 darjah celcius.

Ditambah dengan tiupan angin petang yang agak kencang kerana ia lokasi lapang, suhu begitu dingin sehingga hampir menggigil.

Sungguhpun 'berperang' dengan tiupan angin dan kesejukan, penulis dan rakan-rakan enggan melepaskan peluang berjalan di atas dock sepanjang 800 meter sambil menikmati suasana sunset dengan dilatari barisan kincir angin. Sangat berbaloi dan wajib repeat!

pasar malam

Makanan, snek dan minuman di pasar malam yang bisa membuatkan pengunjung 'terliur'.

7. Feng Chia Night Market dan Liuhe Night Market

Bagi penggemar street food, tidak lengkap sekiranya anda tidak mengunjungi dua pasar malam ini yang menjadi 'spot' kegemaran pelancong. Feng Chia Night Market terletak di Taichung, manakala Liuhe Night Market terletak di Kaohsiung.

Pengunjung pasti akan terliur dengan variasi makanan, snek, minuman dan pencuci mulut yang enak. Jangan lupa merasai jus buah-buahan yang segar, snek seperti potato ball. Oh ya, di sini jua terdapat deretan kedai pakaian yang sangat trendy pada harga yang berpatutan.

dome

Kubah berwarna warni di Dome of Light.

8. Dome of Light

Terletak di stesen MRT Formosa Boulevard, Kaohsiung untuk Laluan Merah dan Laluan Jingga, Dome of Light menjadi satu lagi tempat tarikan yang patut termasuk dalam senarai untuk dikunjungi.

Merupakan hasil idea artis terkenal Narcissus Quagliata, pengunjung pasti terpegun dengan keindahan kubah terbesar di dunia yang diperbuat daripada kepingan kaca berwarna-warni. Tidak hanya menambah keindahan stesen pengangkutan awam itu, ia juga memberi dimensi baharu kepada landskap seni bandar Kaohsiung.

lighthouse

Rumah Api Cihou yang terletak di puncak.

9. Kaoshiung Lighthouse

Juga dikenali sebagai Rumah Api Cihou atau Rumah Api Cijin, pengunjung pasti terpukau dengan seni bina bangunan serba putih yang dibina pada tahun 1883 ini.

Untuk sampai ke rumah api yang terletak di puncak, pengunjung perlu berjalan dan mendaki sekitar 20 minit sebelum disajikan dengan pemandangan pulau Cijin yang dikelilingi laut sambil ditemani angin sepoi-sepoi bahasa. Terdapat juga kafe comel yang menjual minuman dan ais krim untuk menghilangkan dahaga selepas berpeluh mendaki puncak.

love river

Pengunjung boleh menyusuri Love River dengan menaiki cruise.

10. Pier 2 Art Center dan Love River

Terletak berhampiran Love River, Pier 2 Art Center boleh dikatakan sebagai 'port' untuk pelbagai aktiviti seni. Terdapat pelbagai tarikan di lokasi ini, antaranya replika binaan seni, kafe, tempat pameran dan sebagainya.

Malah apabila tibanya hujung minggu, lokasi ini 'happening' dengan pelbagai aktiviti kesenian yang dipersembahkan di kawasan terbuka. Paling best apabila dapat mencuci mata melihat pelbagai barang atau souvenir unik dan comel yang dijual di flea market.

Bagi yang mahukan suasana romantik, pengunjung boleh menyusuri Love River dengan menaiki cruise.... lebih best kalau menyusuri sungai ketika waktu matahari terbenam.

Oh ya, Taiwan tidak lagi mengenakan sekatan dan kuarantin wajib Covid-19 sejak Oktober tahun lalu, justeru pelancong bebas untuk keluar dan masuk.

Untuk makluman, AirAsia menawarkan penerbangan dengan kekerapan tiga kali seminggu ke Taipei dari Kuala Lumpur.

Untuk menempah penerbangan anda, hanya lawati laman web AirAisa atau AirAsia Super App, pilih tarikh perjalanan dan destinasi anda, dan lengkapkan proses tempahan.

Apa tunggu lagi, selepas raya nanti bolehlah mula memohon cuti dan tempah tiket untuk terbang ke Taiwan!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain