PERCUTIAN ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu harus memasuki 'bucket list' anda. Selain Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Dubai juga merupakan syurga untuk membeli-belah dan kaya dengan kebudayaan serta makanan. Namun, melihat kepada gaya hidup masyarakat Dubai yang serba mewah, ia boleh memberi tanggapan kepada sesetengah pelancong bahawa percutian ke sana memerlukan kos perbelanjaan yang besar. Keindahan Dubai pastinya memukau sesiapa sahaja yang melihat. -Gambar hiasan Sebenarnya, anda tidak perlu risau kerana ada cara untuk menjejakkan kaki ke Dubai dengan bajet yang berpatutan. Melalui satu perkongsian di Instagram, pencipta kandungan, Irfan Khairi yang merupakan anak perantau di Dubai menceritakan tiga cara untuk bercuti ke Dubai dengan harga yang tidak mencekik darah. Ayuh kita lihat satu-persatu! Penerbangan Air Arabia. -Gambar hiasan 1. Gunakan penerbangan Air Arabia Air Arabia merupakan syarikat penerbangan tambang rendah di Emiriah Arab Bersatu yang seangkatan dengan konsep AirAsia di Malaysia. Air Arabia menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah. Bandar Sharjah terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Dubai dan mempunyai kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Air Arabia berlepas dari KLIA sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Namun begitu, waktu pelepasannya adalah pada pukul 3 pagi, jadi rancang perjalanan anda sebaiknya. Old Dubai. -Gambar hiasan 2. Menetap di bandar lama Dubai Setibanya di Dubai, pasti soal penginapan dan tempat menjamu selera yang menjadi kerisauan. Irfan mencadangkan untuk para pelancong mencari hotel di sekitar bandar lama Dubai atau dikenali penduduk tempatan sebagai 'Old Dubai'. Old Dubai menyajikan tempat makan, gedung beli-belah dan hotel yang jauh lebih murah daripada pusat bandar Dubai. Antara lokasi kunjungan pelancong di Old Dubai yang disyorkan oleh Irfan adalah Bur Dubai, Deira, Al Nahda dan Al Garhoud. Selain itu, jarak Old Dubai ke pusat bandar Dubai juga tidak jauh iaitu kira-kira 10 minit masa perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam. Sistem kereta api di Dubai. -Gambar hiasan 3. Manfaatkan kemudahan kereta api untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain Dubai dan pinggiran bandarnya lengkap dengan rangkaian kereta api yang menghubungkan hampir kesemua tempat tumpuan pelancong, mirip transit aliran ringan (LRT) di Malaysia. Gunakan kemudahan pengangkutan awam ini untuk perjalanan yang lebih efisien dan menjimatkan kos. Pastikan anda menempah tempat penginapan berdekatan dengan stesen kereta api supaya dapat memendekkan masa pejalanan dan lebih banyak waktu yang terluang untuk menikmati percutian di Dubai. - Irfan Khairi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube