suria

Jangan bergurau tak kena tempat... Perkataan ‘bom’ paling sensitif di lapangan terbang, pesawat!

Setiap penerbangan mempunyai prosedur keselamatan yang ketat.

PESAWAT merupakan tempat yang berisiko tinggi terutamanya ketika sedang berada di udara.

Oleh itu tidak hairan jika aspek keselamatan ditekankan semaksima mungkin untuk mod pengangkutan ini.

Sebarang perkara yang boleh menggugat ketenteraman penumpang di dalam kapal terbang akan dikenakan tindakan tegas.

Baru-baru ini penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 mengalami ketegangan apabila seorang penumpang lelaki di dalamnya bertindak di luar kawalan.

Dalam kekecohan tersebut, penumpang itu didakwa ada menyebut tentang bom sehingga keseluruhan pesawat menjadi panik.

Pesawat mempunyai peraturan yang tersendiri. -Gambar hiasan

Pesawat itu yang pada awalnya menuju ke Kuala Lumpur berpatah balik ke Sydney, Australia, dan pihak berkuasa tempatan terus menahan penumpang berkenaan.

Penumpang itu bagaimanapun dikatakan hanya memberi ancaman palsu, walaupun begitu, dia akan tetap diiheret ke institusi perundangan Australia untuk dibicarakan.

Jadi adakah benar, dengan hanya menyebut perkataan 'bom' di dalam pesawat, anda boleh dipenjarakan?

Walaupun Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus bagi individu yang menyebut perkataan 'bom', tetapi negara ini ada undang-undang lain yang boleh diguna pakai.

Ia terkandung dalam Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana niat mendatangkan kegentaran yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ancaman bom pasti menanamkan rasa takut kepada setiap orang. -Gambar hiasan

Jika diimbas pada satu insiden tahun lalu, seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditahan kerana menyebut perkataan 'bom' sebagai lawak jenaka.

Ketika sedang mendaftar masuk (check-in) untuk penerbangannya, wanita itu yang destinasinya ke Medan, Indonesia menyebut kepada petugas lapangan terbang bahawa ada bom di dalam bagasinya.

Wanita berkenaan menganggap itu adalah jenaka ringan, tetapi bagi petugas lapangan terbang mereka memandang itu sebagai ancaman serius.

Selain itu, seorang lelaki di Britain juga didenda RM6,000 kerana memuat naik ciapan lawak jenaka yang mengatakan dia mahu mengebom lapangan terbang. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain