suria

Rasa nak pura-pura pengsan! Larian 14km City2Surf di Sydney agak mencabar... Tapi pendakian Heartbreak Hill memang berbaloi

Penulis bersama puluhan ribu peserta Citu2Surf.

SYDNEY Australia sering menjadi destinasi pelancongan ramai terutama buat mereka yang gemar bercuti di bandar tapi sedikit jauh daripada kesibukan kota.

Menariknya saban tahun Sydney akan menyambut kehadiran ramai peminat sukan larian menerusi acara City2Surf yang merupakan The World's Largest Fun Run.

Bagi yang tidak tahu, tahun ini merupakan edisi ke-52 acara larian terbesar itu diadakan selepas kali pertama dianjurkan pada 5 September 1971.

Baru-baru ini, mStar turut berkesempatan terbang ke Sydney untuk berlari bersama-sama 80,000 peserta City2surf yang lain.

Snapinsta.app_367025585_668511858644818_1258478966541151644_n_1080

Penyertaan larian City2Surf penuh debaran.

Ini juga merupakan kali pertama penulis menyertai acara larian terbesar, rasa teruja dan bimbang pun ada sebenarnya.

Mana tidaknya, pada acara ini penulis perlu berlari sejauh 14 kilometer (km), berlainan sekali dengan rutin mingguan penulis yang hanya sekitar 3km sahaja.

Memandangkan ini kali pertama, pelbagai persiapan perlu dilakukan terutama daripada segi stamina.

Beberapa hari sebelum berangkat ke sana sempat juga penulis mempersiapkan diri dengan berlari sekitar taman perumahan agar tidak terkejut urat dan badan nanti.

11111

Ambil nombor penyertaan sebaik sahaja tiba di Sydney.

Penerbangan penulis ke Sydney menaiki AirAsia (D2788) yang berlepas sekitar pukul 12 tengah malam dan tiba kira-kira 7 pagi waktu Malaysia.

Layanan baik dan penerbangan yang menenangkan membuatkan penulis tidak sedar ia mengambil masa tujuh jam untuk tiba di bandar itu.

Selepas segala urusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith selesai, penulis bersama beberapa rakan media dan pelari dibawa ke ekspo City2Surf bagi mengambil nombor larian atau running bib.

Ketika keluar sahaja daripada lapangan terbang terasa sejuk sehingga ke tulang dan ketika itu mula terfikir kemampuan diri untuk berlari dalam cuaca yang begitu.

Di sekitar ekspo tersebut terdapat pelbagai kelengkapan dan persediaan untuk peserta dijual malah AirAsia juga membuka booth di sana yang menyediakan roda hadiah untuk pengunjung.

Selepas hampir seharian berjalan di ekspo, sampailah masanya untuk kami ke hotel yang terletak berhampiran Hyde Park untuk berehat.

1111111

Sebelum bergerak ke tempat permulaan larian.

Tiba pada hari kejadian, seawal tujuh pagi penulis bersama rakan-rakan yang lain berjalan kaki ke Hyde Park yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari hotel tempat menginap.

Di sana, kami dibahagikan mengikut lapan jenis kategori pilihan seperti pelari elit, pelari pantas, mereka yang joging, berjalan kaki dan yang membawa keluarga mahupun golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Cuaca pagi itu sememangnya sejuk ditambah awan mendung membuatkan ramai peserta mengenakan baju tebal sebelum larian.

Namun apa yang mencuri perhatian apabila peserta membuka dan meninggalkan pakaian tebal mereka di pinggir jalan tanpa rasa bimbang sekiranya diambil orang.

114

Pakaian ditinggalkan di pinggir jalan.

Ketika menuju ke garisan permulaan memang tidak dapat dinafikan yang kami perlu berasak dan berhimpit dari arah berlawanan kerana ingin menuju ke garisan pemulaan sesuai pada waktunya.

Kami dilepaskan secara berperingkat bermula dengan pelari elit yang dilepaskan seawal pukul 7.40 pagi.

Bagi penulis sendiri, awalnya terasa indah memandangkan berlari dalam keadaan cuaca sejuk dan tidak berpeluh. Sangat berlainan rasanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Sydney dibanjiri 80,000 pelari! AirAsia X bersama City2Surf gegarkan ‘fun run’ terbesar di dunia

Tapi lama-kelamaan penulis merasakan agak sukar untuk bernafas, mungkin disebabkan cuaca terlalu sejuk.

Sepanjang tempoh larian penulis dapat melihat pelbagai ragam mencuit hati terutamanya pakaian yang dikenakan para peserta.

Mana tidaknya ada yang mengenakan kostum maskot bagi mewakili persatuan mereka, pakaian yang direka sendiri malah ada juga yang tidak berpakaian sehingga susah berlari.

Bukan itu sahaja, sepanjang larian kami juga disajikan dengan tarian dan nyanyian oleh persatuan-persatuan di bandar itu.

Lebih menarik lagi, kawasan kejiranan tersebut juga turut turun padang memberi sokongan kepada peserta dengan menyediakan makanan seperti buah-buahan dan minuman.

Snapinsta.app_367393697_668511495311521_8935185759379427074_n_1080

Antara ragam dan pakaian peserta City2Surf.

Sempat juga penulis berbual dengan penduduk dari Indonesia dan Filipina yang sudah lama menetap di sana semasa berhenti menarik nafas.

Memasuki kilometer keenam, peserta diuji dengan pendakian curam iaitu di Heartbreak Hill di sepanjang Jalan New South Head Road dari Rose Bay ke Vaucluse.

Ketika itu kaki mula terasa sengal-sengal hingga ada kalanya terasa seperti hendak pura-pura pengsan kerana merasakan sudah tidak mampu untuk teruskan.

Tapi orang kata alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, penulis gagahkan diri untuk menghabiskan larian.

Ternyata segala susah payah itu berbaloi kerana pelari disajikan dengan pemandangan di atas Heartbreak Hill yang cukup memukau.

Mana tidaknya kami dapat melihat pemandangan pinggiran laut yang begitu indah dan angin yang cukup menyegarkan.

Snapinsta.app_367143482_668511611978176_1351853806894909536_n_1080

Peserta teruja tamatkan larian.

Dengan keindahan yang memukau membuatkan ramai peserta terhenti seketika untuk bergambar dan merakam video di lokasi tersebut.

Larian diteruskan sehingga ke Pantai Bondi yang turut memukau pandangan.

Pasirnya yang putih dan air pantai yang kebiruab membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk mandi manda di sana. Memang boleh cuci mata orang kata!

Ketika menghampiri di garisan penamat, perasaan teruja semakin membuak-buak sehingga kaki yang letih kembali berlari dengan penuh bersemangat.

Alhamdulillah, penulis berjaya menghabiskan larian sejauh 14km dalam tempoh kira-kira tiga jam.

Bagi sesetengah orang mungkin pencapaian itu adalah biasa, tapi untuk penulis ia sangat luar biasa.

Malah ia memberi satu pengalaman berharga buat penulis sendiri, mana tidaknya bukan senang untuk menyertai acara larian di negara orang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain