suria

Nasib baik pegawai imigresen Itali tak halau! Wanita terkejut passport Malaysia layak masuk laluan pasport ‘kuat’

Pasport diperlukan ketika perjalanan antarabangsa. -Gambar hiasan

PASPORT Malaysia ternyata disegani di pintu masuk antarabangsa negara-negara Eropah.

Kekuatan pasport sesebuah negara kebiasaannya ditentukan oleh beberapa faktor seperti hubungan diplomatik, kestabilan ekonomi dan keamanan.

Melalui satu hantaran di laman TikTok oleh seorang wanita dikenali sebagai Baetrisyia, dikongsikan pengalamannya menggunakan pasport Malaysia ketika pemeriksaan imigresen di Itali.

Menurut Baetrisyia, dia sewaktu itu sedang dalam perjalanan untuk pulang ke United Kingdom namun tersilap memasuki barisan yang dikhaskan untuk pemegang pasport Kesatuan Eropah (EU).

Barisan yang panjang di pemeriksaan imigresen ketika waktu puncak. -Gambar hiasan

"Saya sepatutnya masuk laluan all pasports (semua pasport), tapi tersilap pergi masuk laluan untuk pasport negara kuat seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.

"Masalahnya apabila dah separuh jalan ke dalam barisan baru saya perasan. Nasib baik masa tu wanita depan saya pun tersilap pilih laluan, dia warganegara Filipina. Maksudnya laluan dekat situ memang mengelirukan.

"Maka lepas bersembang, kami pun teruskan je beratur. Sebab saya dah dekat 15 minit menunggu dalam barisan, sangat panjang dan saya juga dah lambat," ujar Baetrisyia pasrah.

Namun perkara yang mengejutkan Baetrisyia apabila pasport wanita warganegara Filipina itu ditolak manakala pasport Malaysia miliknya pula diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa perangai ‘typical’ Malaysia ke luar negara, keluarga ini ditengking penduduk New Zealand... Nak ‘healing’ tapi tak kena tempat!

"Waktu sampai dekat depan, orang Filipina tu disuruh untuk keluar dan pergi ke barisan all pasport. Saya dah cuak apabila dengar macam tu, tak akan nak kena beratur balik semula, penatnya. Saya reda dan cuba nasib.

"Ketika sampai giliran, pegawai imigresen tu ambil pasport dan kemudian dia tengok muka saya. Lepas tu dia sembang sekejap dengan rakan sekerja dia dalam bahasa Itali, saya cuma boleh faham dia sebut Malaysia.

"Seterusnya dia cop pasport tu dan pulangkan semula dekat saya. Tergamam kejap apabila jadi macam tu. Saya pun bincang dengan kawan saya dari Amerika Syarikat yang ikut sekali dalam trip ni, macam mana saya boleh terlepas?

Warga maya turut berkongsi rasa bangga.

"Kami simpulkan sama ada pegawai imigresen tu diskriminasi atau pasport Malaysia dipercayai. Tapi sepanjang saya merantau ke seluruh dunia, memang pengalaman saya yang baik-baik je dengan pasport Malaysia," kata Baetrisyia kagum.

Untuk makluman, setakat pertengahan tahun 2024, Malaysia menduduki tangga ke-13 dalam Indeks Pasport Henley selain mencatatkan 183 negara yang boleh dilawati tanpa memerlukan permohonan visa.

Visa adalah kebenaran yang diberikan sesebuah negara untuk seseorang itu memasuki sempadan sama ada sebagai pelancong, pelajar atau pekerja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain