suria

Pilot kongsi panorama pulau ‘Jurassic Park’ dari udara... Tak jauh dari Malaysia, semua orang boleh pergi

Seorang juruterbang kelihatan terpukau ketika melalui ruang udara pulau itu. -Foto Instagram Wibisono Notodirdjo

PULAU fiksyen Isla Nublar yang dipaparkan dalam filem Jurassic Park sebenarnya wujud di Indonesia iaitu Pulau Mules yang terletak di Manggarai, Nusa Tenggara Timur (NTT).

Isla Nublar digambarkan sebagai sebuah pulau dengan hamparan padang rumput yang luas dan mempunyai gunung-ganang di tengahnya.

pulau 4

Panorama luar biasa pulau ini yang kelihatan seolah-olah gambaran dalam filem fiksyen. -Foto Instagram Alif Yuwanda

Pulau Mules dikatakan mempunyai panorama mirip dengan pulau fiksyen dalam filem berkenaan.

Malah, seorang juruterbang dikenali sebagai Wibisono Notodirdjo turut tular apabila dia berkongsi video ketika terbang di ruang udara pulau berkenaan.

Trivia Pulau Mules

1. Pulau Mules atau dikenali sebagai Nuca Molas adalah sebuah pulau yang terletak di perairan selatan Pulau Flores.

2. Pulau ini termasuk dalam wilayah Desa Nuca Molas, Satar Mese Barat, daerah Manggarai.

3. Desa Nuca Molas kini didiami oleh 1,340 penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan penternak.

pulau 2

Tangkap layar video tular yang dirakam daripada sebuah pesawat. -Foto Instagram Wibisono Notodirdjo

4. Pulau Mules mempunyai keluasan sekitar 18,029 hektar yang terbentang di perairan laut Sawu dan terletak di antara dua pulau iaitu Pulau Flores dan Pulau Sumba.

5. Pulau yang cantik ini menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna seperti penyu, burung, gugusan karang dan ikan lumba-lumba.

6. Pantainya mempunyai ombak yang berbeza-beza. Pantai di selatan yang menghadap Pulau Flores dan di barat pulau yang menghadap Laut Sawu cenderung mempunyai ombak yang tenang. Di sini pengunjung boleh melakukan aktiviti snorkeling atau selam (diving).

7. Sementara pantai di timur dan selatan pulau mempunyai ombak yang lebih tinggi. Pantainya menawarkan pasir putih bersih yang bertekstur kasar dengan warna cerah. Pantai ini sesuai untuk sukan luncur ombak.

8. Di Kampung Peji, Desa Nuca Molas yang terletak di pantai utara pulau, pemandangan yang dapat dilihat adalah bukit-bukau yang berumput hijau serta padang rumput luas tempat penduduk mengembala lembu dan kambing.

pulau 6

Khazanah alam yang terletak di Indonesia ini masih lagi bersih tanpa sebarang pencemaran. -Foto Instagram Alif Yuwanda

9. Sementara itu, di Kampung Konggang yang terletak di bahagian barat pulau, terdapat pemandangan batu karang di sepanjang pantai dan pasir yang kasar. Apabila air laut surut, jelas kelihatan binatang seperti landak dan siput laut.

10. Selain menikmati keindahan alamnya, pelancong juga boleh berinteraksi dengan penduduk yang ramah dan mesra. Mengamati kehidupan seharian penduduk pulau ini memberi tafsiran baharu tentang kehidupan masyarakat di pulau kecil yang belum begitu terdedah kepada dunia luar.

11. Secara demografi, majoriti penduduk Pulau Mules beragama Islam. Ia berbeza dengan majoriti penduduk di Pulau Flores yang menganut agama Katolik.

12. Agama Islam yang dianut oleh penduduk di Pulau Mules dibawa oleh nenek moyang mereka yang berasal dari suku Ende, Bima, dan Bugis. Dengan keragaman budaya ini, tidak hairanlah bahasa penduduk di pulau ini berbeza dengan bahasa di daratan Flores.

13. Untuk mengunjungi Pulau Mules, aksesnya cukup mudah. Dari Ruteng, Manggarai, pengunjung boleh menggunakan pengangkutan darat ke Pantai Dintor, di Desa Satar Ruwuk, di Satar Mese. Dari pantai ini, anda boleh menaiki perahu kecil selama sekitar 30 hingga 35 minit menuju Pulau Mules. - Koran Jakarta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain