suria

Gamit nostalgia, menara jam unik terselit dengan kisah sejarah… Ini 5 lokasi menarik wajib singgah!

Menara jam yang ramai terlepas pandang ketika melancong.

KEDATANGAN bulan Ogos ini bukan hanya sekadar mengenang perjuangan orang terdahulu mencapai kemerdekaan tanah air dengan semangat patriotik, tetapi juga meraikan keunikan lokasi-lokasi menarik di negara kita yang tercinta.

Dari pantai yang indah memukau hingga ke hutan belantara menghijau, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi serta keindahan alam semula jadi.

Terdapat pelbagai destinasi tumpuan yang diperkenalkan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan yang terunggul.

Namun dalam keghairahan ini, jangan pula kita melupakan monumen bersejarah yang pernah menjadi ‘saksi’ pembentukan negara ini.

Salah satu monumen yang dilihat tidak begitu ‘popular’ untuk orang ramai adalah menara jam yang tidak kurang hebatnya.

Selain dari menara jam di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur yang begitu popular dalam kalangan pelancong tempat dan asing, mari kita teroka beberapa menara jam yang terpahat dengan sejarah kemerdekaan yang ada di negeri Perak Darul Ridzuan.

Menara Jam Kampar destinasi wajib dilawati. Foto: Majlis Daerah Kampar

Menara Jam Kampar

Negeri Perak terkenal dengan mercu tanda menara jam, antaranya adalah Menara Jam Kampar di Kampar, Perak, yang juga dikenali sebagai Menara Jam Kemerdekaan Kampar.

Terletak di persimpangan Jalan Gopeng dan Jalan Stesen, menara ini dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya setahun selepas itu pada 1961.

Menara yang tersergam megah ini dibina sempena memperingati kemerdekaan Malaysia yang diperoleh pada 31 Ogos 1957.

Reka bentuk segi tiganya dengan jam di setiap penjuru menyerlahkan keunikannya tersendiri berbanding menara jam lain.

Menara jam ini merupakan simbol perpaduan dan kemerdekaan yang dicapai oleh negara, buktinya apabila penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama berganding bahu menyumbang dana untuk merealisasikan menara jam ini.

Berhampiran menara jam ini, terdapat taman rekreasi yang dipenuhi pokok-pokok yang menghijau. Selain itu, turut disediakan tempat untuk pengunjung berehat dan bersantai sambil menikmati pemandangan indah.

Pastikan anda melawat menara ini jika bertandang ke Kampar dan jangan lupa ambil gambar kenangan yang menakjubkan!

Menara Jam Dataran Ipoh menjadi tumpuan pelancong di Ipoh. Foto: TripAdvisor

Menara Jam Dataran Ipoh

Ipoh yang merupakan ibu negeri Perak, dan telah mendapat pengiktirafan dalam senarai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik.

Menariknya, Ipoh juga mempunyai menara jam yang menarik dikunjungi ramai iaitu Menara Jam Dataran Ipoh.

Dibina pada 1909 bersempena dengan J.W.W. Birch iaitu Residen British pertama di Perak, menara ini mempunyai jam besar berukuran 6 kaki dengan 4 jam kecil yang berbunyi seperti rentak Big Ben di London, United Kingdom.

Menara berdiri gah ini terletak di Jalan Sultan Abdul Jalil, bersebelahan dengan Masjid Negeri Perak.

Setiap tahun pada 30 Ogos, menara ini akan dibanjiri orang ramai yang berkumpul di sini menantikan detik jam 12 malam untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Kemeriahan itu sekali gus menjadikannya simbol perpaduan dan kenangan yang penting dalam sejarah negara.

Di sekeliling menara ini juga terdapat banyak gerai makanan dan kedai cenderamata, menjadikannya tempat yang sempurna untuk para pengunjung meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menara Jam Sungai Siput mendapat sentuhan magis Bapa Kemerdekaan. Foto: MGPerak

Menara Jam Sungai Siput

Perjalanan kita diteruskan ke Sungai Siput, Perak di mana Menara Jam Merdeka Sungai Siput Utara menanti.

Menara ini dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama yang juga Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 20 Januari 1958 sebagai tanda memperingati kemerdekaan negara.

Reka bentuk segi tiganya adalah dengan inskripsi ‘MERDEKA 1957’ bagi memperingati semangat perpaduan dan perjuangan rakyat Malaysia.

Menara Jam Merdeka Sungai Siput Utara yang kini telah diperbaharui, merupakan sebahagian usaha untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Penyelenggaraan yang dilakukan termasuklah proses membaik pulih mekanikal bagi mengembalikan fungsi jam asal dan penambahan pencahayaan berwarna-warni yang memukau pada waktu malam.

Pengunjung boleh menikmati suasana malam yang amat menakjubkan apabila cahaya neon menerangi menara ini.

Menara Jam Parit Buntar menjadi simbol kemakmuran negara. Foto: Tiketmasuk.com

Menara Jam Parit Buntar

Dibina pada 1959, menara yang terletak di Jalan Teh Peh Kong ini telah dirasmikan oleh almarhum Tunku Abdul Rahman pada 1961.

Keunikan reka bentuknya yang menyerupai menara masjid dengan empat jam besar membuatkannya ia tampil berbeza berbanding menara-menara lain.

Menara ini adalah simbol kemakmuran dan kemerdekaan, serta mercu tanda yang penting bagi penduduk setempat, yang menjadikannya sebagai tarikan pelancong.

Selain daripada fungsi utamanya sebagai penunjuk waktu, menara ini juga menjadi tempat yang popular untuk orang ramai mengambil gambar kenangan.

Di sekeliling menara, terdapat banyak gerai yang menyajikan pelbagai hidangan tempatan yang lazat.

Anda boleh menikmati hidangan yang enak sambil menyaksikan pemandangan menara yang begitu menakjubkan.

Menara Jam Besar Kuala Kangsar tersergam indah di Bandar Diraja. Foto: Wikimedia Common

Menara Jam Besar Kuala Kangsar

Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja dan juga terkenal dengan pelbagai kisah sejarah.

Menjadi simbol ikonik Bandar Diraja, Menara Jam Besar Kuala Kangsar adalah menara jam kebanggaan penduduk setempat.

Terletak di Jalan Daeng Selili, menara ini dibina pada 1939 dan dibina untuk memperingati sambutan pertabalan King George VI di England dan diubah sempena memperingati kemerdekaan Malaysia bermula 31 Ogos 1957.

Menara ini bukan sahaja dikunjungi ramai pelancong, malah turut menjadi persinggahan penduduk tempatan. Ia juga berhampiran dengan tarikan pelancong lain seperti Masjid Ubudiah dan Muzium Diraja Perak.

Dengan terbinanya menara ini, ia menaikkan lagi Bandar Diraja Kuala Kangsar sebagai destinasi yang kaya dengan sejarah dan warisan budaya.

Apabila anda sudah menjejakkan kaki ke sini, jangan lupa cari Apam Pasang, makanan tradisi penduduk setempat di Kuala Kangsar!

Bukan sekadar menara jam

Setiap menara mempunyai kisah tersendiri yang mencerminkan semangat perjuangan dan perpaduan rakyat Malaysia, bukan sekadar berfungsi sebagai mercu tanda semata-mata.

Sememangnya menjadi lokasi pilihan untuk keluarga dan rakan-rakan menikmati pengalaman yang mengasyikkan sambil menghayati segala usaha dan pengorbanan yang diambil demi perjuangan kemerdekaan negara.

Selain menjaga keharmonian dan kemakmuran tanah air, setiap menara menarik untuk diterokai dan pastinya mencipta kenangan terindah dan menjanjikan pengalaman ikonik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain