SELAIN merehatkan minda dengan mengunjungi pelbagai destinasi menarik dan misi food hunting, tidak lengkap rasanya percutian ke Pahang jika anda tidak mengunjungi lokasi yang menyimpan pelbagai khazanah negeri ini. Bukan sekadar terkenal dengan Mat Kilau, Pahang sebenarnya merupakan antara lubuk yang sarat dengan pelbagai kisah dan keajaiban khazanahnya. Demi memelihara khazanah budaya dan sejarah agar tidak luput ditelan zaman, kerajaan negeri menubuhkan Muzium Pahang bagi menyimpan dan mempamerkan warisan sejarah bukan hanya buat tatapan generasi muda, bahkan menjadi platform pendidikan dan lokasi tarikan pelancongan. Sejak diperbadankan menjadi Perbadanan Muzium Negeri Pahang pada 11 Ogos 2015 dan menjalani proses transformasi, Muzium Pahang kini terdiri daripada Kompleks Muzium Sultan Abu Bakar, Kompleks Muzium Masjid Sultan Abdullah, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Monumen Istana Mangga Tunggal, Istana Leban Tunggal, Muzium Pahang Lipis, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah dan Muzium Pulau Beram. Buat para pembaca mStar, kali ini dikongsikan lokasi muzium popular di Pahang yang wajib anda kunjungi! 1) Kompleks Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan. Koleksi diraja, artifak sejarah dan prasejarah serta peralatan tradisional Masyarakat Pahang ditempatkan di Muzium ini. Pada 1888, struktur rumah kayu dua tingkat ini menjadi kediaman rasmi Residen British. Sekitar 1929, bangunan ini ditambah baik dengan struktur binaan batu dua tingkat. Ia kemudiannya digunakan sebagai ibu pejabat pentadbiran untuk tentera Jepun semasa pendudukan mereka sewaktu Perang Dunia Kedua (1942-1945). Pada 1948, bangunan ini diambil alih dan dinaik taraf oleh KDYMM Sultan Abu Bakar untuk dijadikan istana dan dinamakan Istana Kota Beram. Daripada sebuah istana rasmi, bangunan ini akhirnya diubah suai menjadi muzium pada 1976 dan dikenali secara rasmi sebagai Muzium Sultan Abu Bakar. Muzium ini menempatkan koleksi diraja Kesultanan Pahang, peralatan istiadat, bukti-bukti penting sejarah seperti mata wang dan cop mohor, artifak-artifak sejarah seperti alat batu dan seramik purba, dan peralatan tradisional yang digunakan oleh masyarakat tempatan Orang Asli. Muzium Sultan Abu Bakar kini terdiri daripada Galeri Sejarah Pemerintahan Pahang, Galeri Istana sebagai pusat intelektual Melayu, Galeri Daulat Tuanku, Galeri Peradaban Awal Pahang atau Galeri Arkeologi dan Galeri Personae Inderapura. Waktu operasi: 9 pagi - 4.30 petang Nombor telefon: 09-422 1371 2) Kompleks Muzium Masjid Sultan Abdullah, Pekan. Terletak di Kuala Sungai Parit, Pekan, muzium ini pada asalnya ialah sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Abdullah, dibina pada tahun 1929. Masjid ini kemudian dinaik taraf dan dipulihara pada 2013 untuk menjadikannya sebuah muzium Islam bagi negeri Pahang. "Muzium Masjid Sultan Abdullah" merupakan sebuah jenama yang menggabungkan dua fungsi utama iaitu muzium dan masjid. Muzium sebagai tempat merakam sejarah, cerminan masa lalu, kini dan masa depan; sementara masjid pula sebagai pusat komuniti. Justeru, muzium ini merupakan ruang bagi mempelajari masa silam untuk dijadikan pelajaran berguna dalam usaha membangunkan nilai-nilai kemanusiaan, intelektual dan rasa cinta kepada Yang Maha Esa. Pameran muzium ini menampilkan manuskrip al-Quran, kitab-kitab lama yang digunakan dalam pengajian agama Islam, seramik, dan batu nisan Permatang Pasir sebagai bukti kegemilangan Islam di Pahang. Waktu operasi: 8 pagi - 6.30 petang Nombor telefon: 09-422 1371 3) Istana Mangga Tunggal, Pekan. Istana ini merupakan tempat kelahiran Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, iaitu Sultan Pahang kini. Merupakan kediaman peribadi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Dipercayai dibina pada tahun 1932, istana ini unik kerana mempunyai ciri-ciri rumah tradisional Melayu, dengan ruang pertemuan, ruang perhimpunan kecil dan tempat khusus untuk perhimpunan wanita di bahagian bawah. Selepas kemangkatan Tengku Muhammad pada 1957, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan telah menjadikan Istana Mangga Tunggal sebagai kediaman tidak rasmi bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Untuk makluman, istana ini juga merupakan tempat kelahiran Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, iaitu Sultan Pahang kini. Pada 2021, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar Istana Mangga Tunggal dipulihara bagi memastikan keindahan seni binanya dapat terus dikagumi oleh generasi akan datang. Baginda turut menitahkan istana ini dijadikan muzium dan diletakkan di bawah pengurusan Muzium Pahang, supaya pengalaman dan kenangan hidup baginda dapat dikongsi bersama rakyat dan terpelihara dalam lembaran sejarah. Waktu operasi: 9 pagi - 4.30 petang Nombor telefon: 09-422 1371 4) Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kuantan. Bangunan Pejabat Daerah Kuantan yang dijadikan Muzium Seni Kontemporari (MOCA). Binaan asal Muzium Seni Kontemporari (MOCA) ini sebenarnya merupakan Bangunan Pejabat Daerah Kuantan yang dibina pada 1910 dan siap sepenuhnya pada 1912. Bangunan ini pernah digunakan sebagai Muzium Tokoh Pahang pada tahun 2000; Muzium Seni Pahang pada 2010, sebelum dijadikan Muzium Seni Kontemporari pada 2023. MOCA kini terdiri daripada sembilan ruang pameran yang memfokuskan kepada dua bentuk pameran iaitu pameran tetap dan pameran sementara. Pameran tetap pada masa ini terdiri daripada lima galeri iaitu Galeri Arca, Galeri Seni Etnografi Melayu, Galeri Gesek dan Petik, Fakulti Frekuensi dan Galeri Orkestra Gambus. Pada masa ini, pameran sementara merupakan Pameran Solo Syed Tajudeen - Weaving Love & Faith. Pameran ini berlangsung dari 1 Ogos 2024 sehingga 28 Februari 2025. Waktu operasi: 9 pagi - 5 petang Nombor telefon: 09-513 4891 5) Kutubkhanah Diraja, Kuantan. Binaan asalnya merupakan bangunan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), yang kemudian dijadikan Kutubkhanah Diraja pada 2021. Dibina pada tahun 1915 dengan seni bina neo-classicism, Kutubkhanah Diraja dibuka buat julung kalinya bagi mengadakan Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani MOA Penubuhan Pusat Penyelidikan Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) pada 2021. Kutubkhanah Diraja pada hari ini berfungsi sebagai perpustakaan yang menempatkan buku-buku nadir dan sumber-sumber yang berwibawa serta rujukan, merangkumi pelbagai disiplin ilmu dan juga koleksi buku-buku dari Istana Pahang. Waktu operasi: 9 pagi - 4.30 petang Nombor telefon: 09-513 4891 Menarik bukan? Jadi jika anda berpeluang atau berkesempatan berkunjung ke Pahang, pastikan anda masukkan lima lokasi ini dalam senarai checklist wajib anda. Sambil berjalan, sambil tambah pengalaman dan ilmu pengetahuan. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/MuziumPahangOfficial Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube