suria

MAHA 2024 lebih meriah… Ibarat melancong dalam negara, paling best ada pasar terapung! Ini 10 tarikan wajib anda kunjungi

Orang ramai membanjiri MAHA 2024 sejak hari pertama. Foto AZHAR MAHFOF

SIAPA sangka Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) sudah memasuki edisi ke-100 dan ini bermakna sudah satu abad penganjurannya sejak mula diperkenal pada 1923.

Maka tidak hairanlah pameran pertanian tertua di Asia Tenggara ini kembali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor 11 hingga 22 September ini mempunyai tarikan lebih istimewa.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran berkenaan menjadi platform penerokaan kemajuan dan inovasi terkini dalam sektor pertanian.

Menampilkan banyak kelainan dan keunikan tersendiri, MAHA 2024 tidak hanya memberi tumpuan kepada pertanian, tetapi juga kepada penternakan haiwan serta industri perikanan dan akuakultur.

Pastinya pembaca mStar nak tahu apa yang menarik di MAHA 2024. Jom ikuti 10 tarikan yang ‘wajib’ anda kunjungi.

1. MAHA Go Global

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Brunei antara 16 negara yang mengambil bahagian buat julung kalinya di MAHA 2024.

MAHA 2024 menjadi medan bagi para pengunjung berpeluang untuk merasai dan menikmati produk pertanian bukan sahaja dalam negara, bahkan dari luar negara.

Antara 16 negara yang menyertai acara ini adalah Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia dan Hong Kong serta beberapa negara Eropah.

Pastinya anda akan berpuas hati sebaik memasuki ke ruang pameran di Zon 1 Kawasan Perdana kerana pengunjung boleh mencuba kepelbagaian makanan negara-negara berkenaan secara percuma.

ARTIKEL BERKAITAN: MAHA edisi ke-100 dijangka lebih meriah, banyak aktiviti menarik sepanjang 12 hari penganjuran

Bagi pemain industri, MAHA Go Global sudah tentunya menjadi platform yang amat berharga untuk mereka membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu menerusi jaringan antarabangsa.

Selain itu, ia juga dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport serta menggalakkan inovasi.

2. Kedai kopi

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Peladang Outlet antara kedai kopi menjadi tumpuan ramai.

Apabila menyebut tentang kopi, sudah tentu membuatkan pencinta minuman itu kecur air liur! Bayangkan dengan keluasan pameran yang dianggarkan 130 hektar merangkumi enam zon, terdapat puluhan kedai dan reruai minuman untuk dikunjungi.

Antara yang menjadi tumpuan ramai adalah di Peladang Outlet di Zon 1. Beberapa kopi yang menjadi pilihan pengunjung seperti Vanilla Latte, Caramel Latte, Hazelnut Latte, Roasted Hazelnut dan Tiramisu.

Harga? Jangan bimbang serendah RM8 sahaja anda boleh menikmati kelazatan dan kesegaran kopi.

Jika mahu ‘healing’ sambil menikmati secawan kopi, boleh menuju ke Zon 5 kerana terdapat beberapa kedai kopi di kawasan sawah padi dan sungai atau ke Zon 2 untuk merasai hidangan kopi di Kafe Orkid.

3. Pasar terapung

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Pasar terapung antara tarikan terbaru yang diperkenal sempena pameran kali ini.

Pasar terapung adalah tarikan terbaru MAHA 2024. Terletak di Agro-Park di Zon 5, pengunjung yang berada di Pavilion Negeri di Zon 3 perlu menyeberangi Tasik MAEPS menggunakan jambatan untuk sampai ke pasar berkenaan.

Sekali imbas, pasti ramai terbayang-bayang pasar terapung di Hat Yai, Thailand kerana terdapat pelbagai pilihan makanan yang dijual oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Antara menu wajib dicuba semestinya kari ikan temenung, nasi dagang dan ikan celup tepung dan pelbagai lagi makanan yang disajikan di tujuh perahu.

4. Laman Florikultur

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Bunga Matahari antara tarikan di Laman Florikultur.

Bagi mereka yang kaki bergambar dan gemar merakam video, lokasi yang terletak di Gaya Hidup Agro di Zon 2 ini sememangnya wajib untuk anda singgah bersama orang tersayang.

Laman Florikultur ini menempatkan pelbagai jenis bunga dengan bunga matahari paling mencuri tumpuan ramai.

Sebaik melalui terowong bunga orkid, hati anda pastinya terdetik rasa kagum dengan pemandangan dan kecantikan bunga matahari yang kembang mekar dengan saiz paling besar menyamai muka orang dewasa!

5. Jualan tanaman

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis tanaman yang dijual di MAHA 2024.

Tidak lengkap ke MAHA 2024 jika tidak singgah di gerai jualan tanaman. Bagi mereka yang gemar bercucuk tanam, sebut sahaja tanaman yang anda inginkan dan semuanya ada di sini.

Dari buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak, manggis kepada pokok bunga seperti bunga raya, orkid bunga kertas kepada sayur-sayuran semuanya terhidang kepada anda.

Bagi yang belum pernah berkebun, ini masa yang sesuai untuk anda berjinak-jinak melakukan aktiviti ini kerana anda akan diberi penerangan yang jelas jenis tanaman yang sesuai ditanam di kawasan kediaman anda.

Perlu diingatkan, tanaman yang terdapat di rumah membantu pengudaraan lebih baik, meningkatkan produktiviti diri serta memberi ketenangan jiwa dan fikiran.

6. Laman Padi

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Orang ramai berpeluang memenangi hadiah bekalan beras dengan bergambar di Laman Padi.

Perhatian kepada kaki bergambar! Di sini anda berpeluang memenangi hadiah bekalan beras selama setahun. Syaratnya perlu bergambar bersama keluarga dengan latar belakang kawasan sekitar Laman Padi.

Tidak tahu bergambar di mana? Jangan risau, Laman Padi sememangnya dipenuhi dengan ‘port’ menarik untuk bergambar seperti tangga di tengah sawah, jerami haiwan, malah jentera menuai padi.

Jika pengunjung teringin merasai bagaimana susahnya menjadi pesawah, boleh juga mencuba menanam padi. Di sini akan menguji keberanian pengunjung sama ada takut atau tidak berdepan dengan lintah sawah.

Selain itu, di Laman Padi juga mendedahkan orang ramai mengenai proses bagaimana beras dihasilkan, bermula dari menanam hinggalah padi yang masak diambil. Jangan ingat sawah padi berlumpur sahaja tau, di sini juga terdapat padi huma yang tidak menggunakan air.

7. Inovasi

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Dron gergasi antara teknologi yang mencuri tumpuan pengunjung MAHA 2024.

Segelintir masyarakat beranggapan bahawa pertanian hanya melibatkan kaedah konvensional, namun di MAHA 2024 adalah sebaliknya yang turut mengetengahkan teknologi dan inovasi.

Di Zon 1 Kawasan Perdana, pengunjung akan didedahkan dengan perkembangan teknologi masa kini seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan kepelbagaian teknologi yang berupaya meningkatkan produktiviti.

Pendedahan ini dapat menarik golongan muda untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian. Sebanyak 180 syarikat luar negara berkaitan teknologi pertanian serta makanan turut mengambil bahagian.

Secara tidak langsung, ia bukan sahaja menjadi medan menjana serta pertukaran idea, malah membuka peluang potensi pelaburan kepada petani muda dalam sektor agromakanan negara untuk melangkah ke hadapan.

8. Laman Agro Ternakan

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Sekumpulan kanak-kanak gembira meluangkan masa di Laman Agro Ternakan.

Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak, jangan lepaskan peluang dengan berkunjung ke Laman Agro Ternakan di Zon 6. Di sini anak anda bukan sekadar melihat haiwan ternakan di dalam kandang, malah boleh turut bermain bersamanya.

Jika ingin melihat haiwan-haiwan eksotik, anda boleh mengunjungi Petting Zoo. Beberapa ekor gajah turut didatangkan khas sempena MAHA 2024.

Selain itu, terdapat juga jualan dan produk penjagaan haiwan kesayangan dengan harga jualan yang berpatutan.

9. Pavilion Negeri

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Pavilion Sarawak antara Pavilion Negeri yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

Terletak di Zon 3, boleh dikatakan segala-galanya mengenai keistimewaan seluruh negeri di Malaysia boleh didapati di sini.

Seandainya anda tidak berkesempatan melancong ke mana-mana negeri, Pavilion Negeri boleh diibaratkan membawa ke seluruh negara dengan ‘berkampung’ di MAHA 2024.

Anda bukan sahaja boleh menikmati semua makanan tradisi setiap negeri di sini, malah boleh mendapatkan pakaian dan cenderamata serta produk pertanian negeri terbabit.

Selain itu, tradisi, kesenian dan kebudayaan sesebuah negeri turut ditampilkan di Pavilion Negeri menerusi persembahan masing-masing.

10. Agro Business

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Produk Ayam Bismi antara yang mengambil bahagian di Agro Business.

Lebih 150 produk usahawan dari seluruh negara didapati di Agro Business yang memberi jaminan bahawa anda tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Kesemua reruai usahawan ini menawarkan pengunjung untuk merasai sendiri produk-produk yang dihasilkan mereka.

Anda mahu produk makanan ringan, produk yang perlu dipanaskan atau minuman yang berkhasiat, semuanya terdapat di sini.

Lebih menarik, dengan pembelian minimum RM150, pembeli berpeluang untuk memenangi perkakasan memasak.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui berkongsi perasaan teruja mereka terhadap kelainan yang ditampilkan MAHA 2024 berbanding edisi sebelumnya.

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Wei Kee kagum dengan konsep yang diketengahkan dalam MAHA 2024.

Menurut peniaga, Lee Wei Kee, 30, dia mengakui kagum dengan konsep terutamanya di Laman Padi yang dianggap seolah-olah berada di Kedah, negeri Jelapang Padi itu.

"Semua aspek padi ada di sini, bermula dari tanam kemudian berbuah dan masak. Ada juga jerami dengan pelbagai bentuk kesenian yang mendatangkan keterujaan orang ramai untuk bergambar.

"Terdapat juga jentera di sini, secara tidak langsung orang ramai khususnya generasi muda di bandar tahu dari mana asalnya beras ini dan bagaimana ia dihasilkan," katanya yang berasal dari Jitra.

MAHA 2024(11/9/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Seri Dewi berkunjung ke MAHA 2024 kerana gemar berkebun.

Sementara itu, Seri Dewi Baskaran, 53 dari Kepong, Kuala Lumpur pula memberitahu, dia berkunjung ke MAHA buat pertama kali dan tertarik dengan penganjurannya.

"Saya ke sini selepas mengetahui hebahannya di media sosial. Tarikan utama saya ke sini kerana ia berkaitan pertanian dan sudah tentu saya gemar berkebun.

"Di rumah memang kami sediakan kawasan untuk bercucuk tanam, jadi kedatangan saya ke MAHA 2024 bagi mencari pokok limau kasturi untuk dibawa pulang," jelas suri rumah itu.

MAHA 13

Abdul Hakim tertarik dengan teknologi pertanian yang canggih di MAHA 2024.

Bagi pekerja teknologi maklumat (IT), Abdul Hakim Abdul Razak, 37 dari Muar, Johor pula tidak melepaskan peluang bercuti di ibu negara untuk singgah ke MAHA 2024.

"Saya tidak pernah sampai ke sini, tak sangka program ini terlalu mega dengan skala yang besar. Agak menarik pameran ini sebenarnya,

"Menceburi bidang IT, saya akui teknologi pertanian yang digunakan sememangnya canggih dan seiring dengan perkembangan teknologi," kata pemuda berusia 37 tahun itu yang datang bersama tujuh ahli keluarganya.

MAHA 14

MAHA 2024 yang berlangsung 12 hari sehingga 22 September mencipta sejarah sebagai pameran pertanian terulung dan tertua di Asia Tenggara yang melepasi usia satu abad.

Orang ramai boleh berkunjung ke MAEPS Serdang, dengan MAHA 2024 bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Maklumat lanjut boleh layari https://mahaofficial.my/ atau hubungi 603-88701954/1958/1960. Info terkini juga boleh diperoleh di Facebook Expo MAHA dan Instagram mahaofficialmy.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain