JIKA memilih untuk meneroka sejarah Islam dengan menikmati percutian ke Uzbekistan, pastikan antara agenda yang wajib dimasukkan dalam kalender penggembaraan anda ialah lokasi makanan halal dari Malaysia. Di Uzbekistan, rakyatnya tidak begitu terdedah dengan kepelbagaian makanan berbanding sesetengah negara seperti Thailand dan Indonesia termasuk Malaysia sendiri. Makanan utama orang Uzbekistan ialah palov, iaitu beras yang dimasak dengan minyak, dihidangkan bersama daging. Aneka jenis makanan Malaysia dijual di restoran Nur Malaysia, Tashkent. Perlu diingat, negara yang majoritinya umat Islam berfahaman Sunni ini tiada lautan. Makanan seperti ikan, udang, ketam, sotong memang sukar dicari. Makanan laut biasanya diimport dari negara lain. Hargannya tentulah mahal. Namun begitu, kalau nak lepas gian akan kerinduan terhadap makanan dari Malaysia, jangan lupa singgah ke restoran Nur Malaysia yang terletak di Tashkent, ibu negara Uzbekistan. Kamaruldzee Hashim (dua dari kanan) bersama petugas restoran Nur Malaysia di Tashken. Semasa penulis singgah di restoran ini pada awal September lalu, ia sebenarnya baru lapan bulan beroperasi. Pekerja dan tukang masaknya adalah dari Malaysia. Penolong Pengurusnya, Kamaruldzee Hashim, merupakan orang Kedah yang banyak merantau dalam usaha menigkatkan ilmu kulinari. Kata Kamaruldzee, walaupun baharu sahaja beroperasi, restoran Nur Malaysia Tashkent ini sudah mula menjadi perhatian pelancong dari Malaysia yang berkunjung ke negara itu. Bukan itu saja masakan yang disajikan juga turut menarik tumpuan warga asing yang ingin mencuba makanan Malaysia selain menjadi perhatin individu yang mungkin pernah menikmati makanan negara kita sebelum ini. Masak lemak kegemaran rakyat Malaysia tidak dilupakan. “Alhamdulillah, sambutan daripada pelanggan menggalakkan dan pengunjung yang datang biasanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang bekerja di Uzbekistan selain mereka yang pernah menikmati hidangan Malaysia sama ada mereka bekerja atau tinggal di negara kita,” katanya. Antara masakan yang disajikan di Nur MalaysiaTashkent ialah makanan panas dan bergoreng. Hidangan dalam bentuk set pun disediakan seperti nasi beriani, nasi lemak, nasi ayam dan nasi goreng kampung. Kari daging antara yang mendapat permintaan ramai. Turut dijual aneka jenis sate, roti canai serta lauk-pauk lain seperti masak lemak dan masak kicap serta pelbagai jenis kuih-muih Melayu. Tambah Kamaruldzee, disebakankan hidupan laut sukar diperoleh di Uzbekistan ini, mereka mengimportnya dari Dubai dan Arab Saudi serta mana-mana negara berdekatan yang mempunyai cawangan restoran Nur Malaysia. Justeru, harga makanan yang disajikan mengandungi hidupan laut mungkin agak mahal berbanding makanan lain. Tak sah kalau tak singgah ke restoran Nur Malaysia di Tashkent untuk lepaskan kerinduan terhadap masakan Malaysia. Dalam pada itu antara langkah yang dilakukan dalam mempromosikan restoran dan hidangan Malaysia di negara itu dengan cara menjual makanan popular seperti roti canai, roti jala yang menyamai makanan orang Uzbekistan. Mereka lebih sinonim dengan makanan berasaskan roti. Katanya, makanan Malaysia itu dijual di kawasan masjid pada setiap hari Jumaat dan sambutannya cukup luar biasa. “Makanan berasaskan roti senang mendapat perhatian orang di sini kerana ia hampir serupa dengan makana utama mereka. Alhamdulillah, sambutannya baik. Kami juga ada jual air balang seperti air tembikai dan lemon pada setiap Jumaat di kawasan masjid,” katanya. Selain terlibat dalam pengendalian restoran, pihaknya juga menyediakan kemudahan ejen pelancongan bagi memudahkan rakyat Malaysia yang ingin melawat tempat menarik jika ke negara itu. Untuk maklumat lanjut, boleh melawat Instagram restoran Nur Malaysia ini. [Penulis mengunjungi Uzbekistan atas tajaan kerajaan negara itu untuk liputan Festival Antarabangsa Sharq Taronalari ke-13]