TERLETAK di dalam rimba yang dikelilingi kehijauan flora dan fauna, tarikan istimewa ini menjadikan kawasan air terjun menjadi pilihan ‘port’ beriadah atau healing buat para pencinta alam semula jadi. Perasaan tatkala mencelupkan kaki dan bermandi-manda dalam air yang dingin memang sukar digambarkan... serta-merta kepala yang berat pun terasa ringan! Maka tidak hairanlah ramai yang sanggup mendaki bukit atau gunung berjam-jam lamanya semata-mata mahu meneroka lokasi air terjun di dalam rimba. Buat para pembaca mStar, kali ini dikongsikan lima lokasi air terjun yang wajib anda kunjungi! 1) Air Terjun Padang Batu, Kuala Rompin, Pahang Keindahan Air Terjun Padang Batu membuatkan pengunjung terpukau. -Foto Visit Pahang Merupakan salah satu air terjun yang tercantik di negeri kelahiran Mat Kilau, Air Terjun Padang Batu terletak di Taman Negeri Rompin, Pahang mempunyai tarikan tersendiri. Untuk ke air terjun ini, perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam pemanduan dari Kuantan ke Felda Selendang, Kuala Rompin. Dari Felda Selendang ke pintu masuk atau drop point, anda memerlukan kira-kira 50 minit hingga sejam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda 4x4, dan perjalanan diteruskan sekitar 45 minit hingga sejam ke tapak perkhemahan dengan berjalan kaki. Kemudian, tambahan 40 minit lagi perjalanan dari tapak perkhemahan ke Air Terjun Padang Batu dengan berjalan kaki. Sungguhpun mengambil masa yang agak lama, namun keindahan pemandangan air terjun setinggi 30 meter ini pasti membuatkan lelah anda benar-benar berbaloi! Untuk makluman, pengunjung perlu membayar permit kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) secara atas talian melalui sistem e-ecopark. Bayaran kemasukan untuk pengunjung dewasa adalah RM30 (bukan warganegara RM50), warga emas pula RM15, manakala kanak-kanak RM10. Pengunjung Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dikenakan bayaran. manakala untuk pelajar secara berkumpulan (melebihi 30 orang) hanya dikenakan bayaran RM100. 2) Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor Hanya sejam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Air Terjun Sungai Chiling. -Foto Selangor Travel Sungai Chiling adalah salah satu daripada air terjun yang menakjubkan dan luar biasa yang terdapat di Negeri Selangor. Tidak terlalu jauh, perjalanan ke air terjun ini mengambil masa kira-kira satu jam dari Kuala Lumpur. Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu menyeberangi anak sungai, melepasi tumbuhan eksotik seperti orkid liar dan buluh, sebelum disajikan dengan pemandangan air terjun berketinggian 80 meter yang menghadap ke lagun yang tenang. Air Terjun dan Sungai Chiling merupakan salah satu dari tapak Perlindungan Ikan Mahseer yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor. Air terjun ini mempunyai tiga tingkat air terjun tetapi pengunjung hanya dibenarkan untuk meneroka hingga tingkat yang pertama sahaja, manakala dua tingkat lagi tidak dibuka kepada orang awam. 3) Air Terjun Sungai Bantang, Bekok, Johor Air Terjun Sungai Bantang terletak di Hutan Simpan Labis. -Foto Majlis Daerah Labis Jika berpeluang berkunjung ke Bekok, Labis, jangan lupa masukkan Air Terjun Sungai Bantang ke dalam senarai destinasi yang wajib dikunjungi. Air terjun yang berada dalam kawasan Hutan Simpan Labis ini terletak kira-kira 64km dari Segamat dan 8km dari Pekan Bekok. Sebaik menjejakkan kaki ke kawasan air terjun ini, pengunjung pasti terpukau dengan kehijauan dan keindahan flora dan faunanya. Ditambah pula dengan bunyi unggas dan deruan air, sekali gus membuatkan mereka terlupa seketika kesibukan dunia luar. Pelbagai aktiviti dapat dilakukan selain mandi-manda, antaranya merentas hutan atau jungle trekking, berkhemah dan berkelah. Jangan risau, terdapat kemudahan asas yang disediakan seperti tempat meletak kenderaan, tempat riadah, tandas awam, tempat persalinan pakaian dan sebagainya. Bagi mereka yang gemar berkhemah, kawasan tapak perkhemahan juga ada disediakan di sekitar hutan lipur ini. 4) Air Terjun Mahua, Tambunan, Sabah Air Terjun Mahua merupakan salah satu destinasi tarikan pelancong utama di pedalaman Sabah. -Foto MySabah Air Terjun Mahua terletak 26 kilometer (km) dari bandar Tambunan, atau sekitar satu jam setengah perjalanan dari Kota Kinabalu, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di pedalaman Sabah. Untuk sampai ke air terjun ini, pengunjung perlu berjalan sekitar 500 meter atau lebih kurang 15 minit. Tapi jangan risau, trek di sepanjang perjalanan dipenuhi kehijauan lumut dan suhunya juga yang agak sejuk. Air Terjun Mahua berketinggian hampir 17 meter (55 kaki). Tetapi jangan cuba-cuba terjun dari atas kerana airnya hanya berkedalaman kurang dari dua meter. Kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan persalinan untuk lelaki dan perempuan juga disediakan. Air terjun ini dikendalikan oleh pihak Taman-Taman Sabah, di mana pengunjung perlu membeli tiket untuk masuk ke sini. Ia dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. 5) Air Terjun Berdebu, Hulu Dungun, Terengganu Air Terjun Berdebu terletak di Batu Hulu Dungun. -Foto Tourism Ketengah Air Terjun Berdebu ini sebenarnya terkenal dengan percikan air halus seperti debu berterbangan dan bersinar apabila terkena pancaran matahari, sekali gus menjadikannya seakan-akan alam fantasi yang mengasyikkan. Keajaiban itulah menjadikan air terjun indah ini dikenali dengan nama Air Terjun Berdebu. Terletak di Hulu Dungun, air terjun ini dikelilingi kehijauan hutan yang belum terusik dengan kepelbagaian flora dan fauna. Kalau nak tahu, ia juga habitat kepada pelbagai spesis ikan air tawar seperti kelah dan tengas, menjadikan kawasan ini menjadi port rahsia kaki pancing. Pengunjung perlu mendapatkan khidmat juru arah yang dikenali sebagai Malim Gunung Perhutanan dan memohon permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kerana air terjun ini berada di dalam kawasan hutan simpan. Perjalanan dari Bandar Al Muktafi Billah Shah ke tapak perkhemahan mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Dari tapak perkhemahan, pengunjung akan berjalan kaki merentasi denai dan menyeberangi lima batang anak sungai sejauh 10km sebelum sampai ke air terjun ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube