ALAM dapat menceritakan tentang diri kita dan sejarah masa lalu jika kita meluangkan masa untuk mendengar kisah-kisah yang ingin 'mereka' sampaikan kepada kita. Penulis mengalami hal ini semasa menghadiri Karnival Astronomi (Astro Karnival) selama tiga hari di Lenggong, Perak, yang dianjurkan oleh GoSkyAdventure pada 11 hingga 13 Ogos 2024. Batu-batuan di Lenggong 'menceritakan' kisah berlaku terdahulu, sementara penemuan tulang purba Perak Man membuka mata penulis tentang sejarah peradaban manusia. Penulis ketika berada di Geopark, Lenggong. Redah ladang kelapa sawit untuk ke tapak hentaman meteor “Rupanya beginilah perasaan pekerja ladang kelapa sawit” terdetik di hati penulis serta beberapa peserta yang menyertai Astro Karnival menaiki lori tiga tan menuju ke tapak metorit. Jalan tanah merah yang tidak rata membuatkan penulis dan peserta lain berasa seperti menaiki roller coaster. Setelah lebih kurang 10 minit perjalanan, akhirnya penulis sampai ke kawasan hentaman meteorit yang dinamakan Lenggong Geopark di Bukit Bunuh. Perkara pertama yang penulis fikirkan, ini kelihatan seperti batu biasa dalam ladang kelapa sawit. Dari mata kasar tiada beza dengan batu yang kita boleh lihat di tepi jalan. Pemandu pelancong yang bersama peserta mula bercerita tentang asal usul batu di Lenggong Geopark terbentuk dari hentaman metorit besar dan juga letusan gunung berapi di Indonesia. Ia merupakan bencana alam dalam skala yang besar kerana letusan berkenaan sebelum ini membawa gas beracun ke lokasi. Penulis tidak dapat membayangkan kecelaruan manusia ketika itu di mana masing-masing cuba menyelamatkan diri. Pada ketika itu, penulis tersedar itulah saat paling dekat dengan kosmos alam semesta sewaktu duduk di atas salah satu batu tersebut. Batu yang terhasil daripada hentaman meteor. Tujuh moyang perempuan Perak Man Dilahirkan 10,000 hingga 11,000 tahun yang lalu, Manusia Perak atau lebih dikenali sebagai Perak Man mempunyai kisahnya yang tersendiri untuk diceritakan kepada umum. Rangka Manusia Perak dijumpai pada tahun 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh, di Bukit Kepala Gajah, Lenggong. Apa yang istimewa dengan Perak Man ini adalah rangka tersebut dijumpai hampir sempurna, memudahkan para saintis mengesan salah silah keturunannya sekali gus semua manusia di Asia Tenggara. Setelah melalui beberapa analisis, saintis mendapati Perak Man mempunyai tujuh orang moyang perempuan yang sama dengan tulang purba dijumpai di Eropah. Lantas maklumat diperolehi ini membuatkan penulis terfikir dengan jumlah 8.2 bilion manusia pada ketika ini dan kita semua adalah saudara. Perak Man telah dikebumikan dengan posisi foetal, iaitu kedua-dua kakinya berlipat ke arah dada dengan tangannya memegang beberapa jenis daging. Menurut wakil Planetarium Negara yang menyampaikan ceramah tersebut, ia merupakan simbol bahawa manusia lahir ke dunia dengan posisi tersebut. Maka, apabila kita meninggalkan alam ini, begitulah juga mereka dikebumikan. Sejenak, penulis terasa diri sangat kerdil dan muhasabah diri. Para peserta yang turut menghadiri Karnival Astronomi. Hujan meteorit dan kala jengking di langit Jika berada di Tasik Raban Lenggong pada malam 12 Ogos, anda berpengalaman melihat suasana yang jarang dapat disaksikan. Lebih dari 100 pengunjung berbaring di tanah lapang Tasik Raban dan semuanya melihat ke langit menanti untuk menyaksikan hujan metorit Perseid. Sebelum 'persembahan' hujan meteorit bermula, wakil dari Planetarium Negara memberikan sedikit maklumat mengenai taburan bintang pada malam tersebut. Terdapat Scorpius Constellation di mana titik pertemuan bintang membentuk kala jengking. Di mata penulis, dahulu bintang hanyalah bintang yang bersinar di waktu malam namun malam tersebut telah mengubah persepsi tentang alam kosmos kerana ia penuh dengan keajaiban. Tidak lama selepas itu, semua pengunjung mula menumpukan perhatian ke langit untuk menyaksikan hujan meteor Persied. Para peserta diberitahu penganjur untuk bertepuk tangan sekiranya terlihat hujan meteor sebagai isyarat kepada pengunjung lain yang mungkin terlepas pandang. Penulis berasa cukup bertuah pada malam itu kerana dapat menyaksikan beberapa meteorit melepasi langit malam yang dikelilingi oleh bintang-bintang dan bulan. Penulis seolah-olah berada dalam cerita fantasi Sci-Fi (Sains Fiksyen). Orang ramai masih berpeluang untuk merasai pengalaman ini sendiri melalui acara Astro Karnival yang akan berlangsung di Lenggong pada bulan Disember ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube