BAGI sesiapa yang kerap menaiki pesawat, anda pasti pernah menggunakan poket di bahagian belakang tempat duduk untuk meletakkan barangan kecil seperti telefon pintar, pasport, botol minuman atau beg kantung. Ternyata perbuatan sebegini tanpa sedar boleh membawa mudarat kepada anda, ayuh kita ikuti pendedahan oleh @travelandleisure di laman Instagram. Menurut satu posting yang dikongsi, syarikat penerbangan sering menerima aduan daripada kru pembersihan mengenai penemuan yang menjijikkan di dalam poket tersebut, dipercayai dimasukkan oleh penumpang tidak bertanggungjawab. "Mereka (pekerja pembersihan pesawat) pernah menemukan stoking, seluar dalam terpakai, lampin bayi dan tisu yang sudah digunakan di dalam poket ini. Semuanya disumbat ke dalam satu tempat selagi boleh, dah macam tong sampah. "Bayangkan seseorang itu mengelap hingusnya menggunakan tisu dan kemudian membuangnya ke dalam poket ini, sudah berapa banyak kuman yang bersarang di situ agak-agaknya? Antara sampah dibawa keluar yang meloyakan. "Jadi mulai hari ini, fikir dua tiga kali sebelum meletakkan barangan peribadi seperti tablet atau botol air ke dalam poket ini, anda berisiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit berbahaya," jelas @travelandleisure. Menjengah ke ruangan komen, segelintir warga maya dilihat tidak endah dengan perkongsian tersebut kerana beranggapan ia sebagai lumrah kehidupan bermasyarakat. "Kalau benda macam ni pun nak overthinking, memang payah la hidup. Tiada ruangan di tempat awam yang boleh dijamin 100 peratus bersih, nama pun manusia, mestilah pelbagai ragam. "Ke mana saja kita pergi di luar, sama ada bas, kereta api, restoran, tandas dan sebagainya, mesti akan dicemari dengan kotoran dan mikroorganisma, cuma kita sedar atau tak sedar je. "Jika anda paranoid sangat, duduk dalam rumah diam-diam, hidup dalam bubble sendiri tanpa perlu bercampur dengan dunia luar. "Lagipun jangan risau, badan kita sudah mempunyai imunisasi yang kuat untuk menghadapi semua virus tersebut tanpa menyebabkan tubuh jatuh sakit," demikian kata warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube