BAGI anda yang gemar melancong, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 (KCCM 2024), yang julung kali diperkenalkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Kraftangan Malaysia. Karnival yang bertemakan ‘Crafting Holidays’ bakal berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di Kuala Lumpur, bermula 25 hingga 27 Oktober ini. Ia dijangka menarik minat seramai 10,000 pengunjung dari Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan. Pelbagai pakej pelancongan dalam negara yang menarik ditawarkan sepanjang karnival, antaranya ialah destinasi alam semula jadi, pengalaman budaya dan aktiviti pengembaraan. Majlis Prapelancaran KCCM 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada 8 Oktober lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Masa terbaik bawa keluarga ‘pusing’ Malaysia! KCCM 2024 tawar diskaun sehingga 50 peratus Pastinya pembaca mStar nak tahu apa yang menarik di KCCM 2024. Jom ikuti lima perkara yang anda boleh lakukan sepanjang berada di KCCM 2024. Selam skuba antara tawaran percutian yang menjadi perhatian di KCCM 2024. - Gambar hiasan 1. Nikmati pengalaman secara langsung Bertemakan ‘Crafting Holidays’, KCCM 2024 menawarkan peluang kepada pelancong untuk merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung (hands-on) dalam aktiviti seni, kraftangan dan budaya warisan tempatan. Karnival ini turut memperkasakan produk kraf tempatan serta budaya warisan bangsa. Menariknya, pelbagai percutian meliputi destinasi popular di seluruh negara serta aktiviti unik seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding (memerhati burung), stargazing (mengamati bintang) dan pengembaraan alam ditawarkan kepada para pengunjung. Taman tema merupakan antara wakil industri yang menawarkan promosi pakej pelancongan. -Gambar hiasan 2. Pelbagai promosi pakej pelancongan Berlangsung selama tiga hari, karnival ini memberikan pelbagai tawaran promosi pakej pelancongan yang menarik dengan diskaun antara 15 sehingga 50 peratus. Lebih 100 wakil industri terlibat dalam karnival ini, sekali gus menyajikan pelbagai pilihan unik dan menarik kepada pelancong untuk merancang percutian. Wakil industri terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan, hotel, taman tema, pengusaha kraf dan jabatan pelancongan. Juadah tradisional memeriahkan jualan di Pasar Saloma. - Gambar hiasan 3. Pasar Saloma gamit nostalgia KCCM 2024 membawakan Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik sebagai platform niaga untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Pasar Saloma menghimpunkan lebih 30 reruai yang menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil menawarkan pelbagai jualan seperti juadah tradisional dan produk-produk unik yang digemari turun-temurun. Sebagai salah satu tarikan sepanjang karnival berlangsung, kunjungan ke Pasar Saloma pastinya mencipta suasana nostalgia buat anda. Dayang Nurfaizah antara artis yang menghiburkan para pengunjung. 4. Padat dengan aktiviti menarik Selain menikmati tawaran menarik dari Pasar Saloma, karnival ini turut dimeriahkan dengan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang serta teh tarik. Bukan sekadar itu, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti kuiz pelancongan dan berhibur menyaksikan persembahan artis-artis jemputan. Antara artis yang terlibat adalah Dayang Nurfaizah, Shiha Zikir, Zamani Slam, Suki Low, Wani Hasnita, Hazama, Zynakal dan Haziq Rosebi serta artis ‘Gimme The Mic Malaysia’. Sementara itu, acara juga dimeriahkan lagi dengan pengacara majlis, Izzue Islam, Achey dan Daphne Iking. Selain itu, antara yang menarik disediakan buat pengunjung ialah aktiviti taman tema oleh GL Play, Resort World Genting, Superpark dan OWG (One World Group) di khemah marquee. Perkhidmatan bas KL Hop-On Hop-Off disediakan untuk kemudahan pengunjung. 5. Naik bas KL Hop-On Hop-Off Bagi anda yang tidak pernah menaiki bas KL Hop-On Hop-Off, inilah masanya untuk merasai pengalaman yang menarik dan menyeronokkan. Bas dua tingkat tidak berbumbung ini adalah kemudahan pengangkutan sedia ada yang boleh dimanfaatkan buat para pengunjung untuk ke lokasi karnival. Perkhidmatan shuttle dari Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) turut disediakan untuk ke lokasi acara. Pengunjung juga boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT). Sebuah Klinik Bergerak akan turut disediakan di lokasi sekiranya terdapat kecemasan. Jadi, anda tunggu apa lagi? Jom beramai-ramai berkunjung ke Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 (KCCM 2024) di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di Kuala Lumpur, dari 25 hingga 27 Oktober ini! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube