PERCUTIAN bersama rakan-rakan sememangnya menyeronokkan. Namun, ia sukar direalisasikan kerana masing-masing mempunyai kekangan dan tanggungjawab yang perlu diutamakan. Situasi sama berlaku kepada seorang pelayar Facebook yang dikenali sebagai Encik Epal sehingga dia mengambil keputusan untuk mengembara secara solo ke Nagano, Jepun. Tambahan pula trip percutiannya kali ini lebih kepada pengembaraan dan aktiviti menyelam, pastinya melibatkan kos yang agak tinggi. Anda yang berhasrat untuk melihat keindahan panorama luar bandar di negara matahari terbit ini, bolehlah mengikut panduan yang dikongsikan Encik Epal. Festival Kamakura Festival di Iiyama, Nagano antara acara yang ditunggu-tunggu. -Foto tokyoweekender Destinasi yang terletak di tengah-tengah pulau terbesar Honshu ini terkenal dengan kawasan pergunungan, landskap semula jadi, tanah ladang yang banyak, hidupan liar dan sudah tentu, banyak pusat peranginan ski. Ia juga merupakan bandar terbesar di Prefektur Nagano dan lokasi paling sesuai untuk meneroka pelbagai destinasi yang ditawarkan di Jepun Tengah. Paling menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan beberapa kemudahan asas Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998 di sekitar bandar yang menjadi kebanggaan mereka sebagai tuan rumah ketika itu selain menikmati sajian unik dari masyarakat tempatan. Tugu Olimpik Nagano yang berlatar belakangkan Stadium Olimpik. Harus diingat, perbelanjaan sepanjang tempoh satu hari adalah sekitar RM450 kerana perjalanan mengelilingi Nagano dilakukan menggunakan kereta sewa yang dipandunya sendiri. 1. Penginapan atau tempat tidur Encik Epal memilih penginapan yang menawarkan bayaran mengikut kaedah per jam dengan kadar sewaan RM100 hingga RM140. Paling menarik, anda boleh daftar masuk dan keluar sesuka hati. 2. Kos perjalanan dan parkir Berdasarkan pengalaman Encik Epal, kos perjalanan selama dua hari adalah RM120 yang mana harga minyak anggaran RM5 per liter. Sebagaimana Malaysia, sesetengah laluan mempunyai tol dan ada yang mencecah RM24 walaupun dalam jarak dekat. Anda boleh gunakan ETC kerana sistemnya seperti smart tag yang memudahkan pengguna lebuh raya. Bagi parkir, terdapat kawasan yang menawarkan sewaan RM30 untuk tempoh 30 minit. Bagaimanapun anda perlu waspada kerana terdapat kawasan yang mengenakan caj sebanyak RM100, manakala percuma di lokasi luar bandar. Encik Epal menggunakan kereta sewa sepanjang pengembaraannya. -Foto Facebook Encik Epal 3. Kadar sewa kereta Kereta mikro jenis Kei-Kar adalah pilihan yang tepat kerana berharga lebih murah. Kebiasaannya kos sewa kereta adalah sekitar RM300 hingga RM350 tetapi kereta Kei-Kar berharga RM120 hingga RM150. Bagaimanapun, ia bergantung pada nilai mata wang masa tersebut. 4. Bajet makan Dianggarkan RM100 hingga RM240 sehari. Kalau anda nak berjimat, beli nasi putih di kedai serbaneka yang berharga RM5 dan panaskan di kaunter. Anda boleh nikmatinya dengan sambal goreng ikan bilis bersama air mineral yang berharga RM3.50 per liter. 5. Dobi pakaian Kebanyakan pengembara tidak membawa pakaian yang banyak kerana menggunakan beg sandang. Jadi, manfaatkanlah dobi layan diri yang ada dengan kos kira-kira RM40 hingga RM60 untuk sekali cucian dan kering. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube