suria

Pelbagai makanan, persembahan dari Indonesia ada di TRX! Jom serbu festival Gebyar Nusantara

Hidangan meliurkan yang bakal menemui anda di festival Gebyar Nusantara.

KEPELBAGAIAN budaya di Indonesia menjadi tarikan kepada pelancong dari seantero dunia.

Bagi meraikan kekayaan seni, keunikan warisan dan keindahan pelancongannya, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) mengadakan acara istimewa bertempat di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX).

Dikenali sebagai festival Gebyar Nusantara, program ini menyajikan kepada rakyat Malaysia hidangan auntentik dan hiburan penuh warna-warni daripada Indonesia pada 30 November dan 1 Disember 2024.

Festival Gebyar Nusantara turut dianjurkan senada dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-79, sekali gus mengukuhkan persahabatan antara republik itu dan Malaysia.

Nasi Padang Ampera Jaya.

Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono berkata festival ini diharap dapat menambah baik hubungan perdagangan dan pelancongan kedua-dua negara berkenaan.

"Bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, pelbagai aktiviti sudah disusun untuk menghiburkan orang ramai, kemasukan adalah percuma.

"Tumpuan pengunjung pastinya pada aneka juadah yang menonjolkan cita rasa unik setiap wilayah di Indonesia seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, Ayam Gepuk Top Global, Mama Medan dan Betawi Indonesian Cuisine.

"Tidak dilupakan juga pelbagai variasi kopi yang disediakan daripada Indonesia," ujar Indera menerusi satu kenyataan.

Persembahan oleh Allen Anderson.

Selain makanan yang memenuhi selera semua, festival Gebyar Nusantara turut membawakan hiburan tanpa henti menerusi persembahan muzik tradisional dan kontemporari bertemakan semangat seni Nusantara oleh artis popular Indonesia.

"Menggamatkan suasana apabila penyanyi Indonesia, Allen Anderson membuat kemunculan, serta persembahan lagu-lagu galau daripada Kuereiji dan Patriot.

"Turut menyerikan festival adalah nyanyian oleh Erul Samah dan JZ Vibes.

"Bukan sekadar itu, dalam segmen yang pasti dinanti-nantikan, pengunjung berpeluang bersua muka dengan pelakon utama drama popular Indonesia, Devano dan Maria Theodre di terowong interaktif Zona Merah," kata Indera.

Devano dan Maria Theodre di terowong interaktif Zona Merah.

Tambah Indera, festival Gebyar Nusantara yang menggabungkan bakat besar dari Indonesia dan Malaysia ini akan membantu meningkatkan pemahaman serta penghargaan seni dalam kalangan rakyat kedua-dua negara itu.

"Pengunjung festival ini juga boleh meneroka hasil seni dan kraftangan Indonesia, selain berinteraksi dengan pengkarya yang terlibat.

"Festival ini tidak hanya mempromosikan pelancongan Indonesia, tetapi juga meraikan hubungan erat antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara, sekali gus menjadi platform untuk menjalinkan kerjasama strategik," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain