suria

Mesra Muslim, sesuai travel berkeluarga atau solo... Ini 8 lokasi patut anda kunjungi jika ke Hong Kong

Pelancong lebih enjoy ke Hong Kong dengan tarikan mesra Muslim yang diperkenalkan.

MASIH tercari-cari lokasi percutian untuk menyambut tahun baharu? Apa kata masukkan Hong Kong dalam senarai anda!

Bukan hanya dapat cuci mata berjalan-jalan di pasar malam meriah dan penuh warna-warni, Hong Kong juga menawarkan pemandangan bukit bukau menghijau yang mendamaikan.

Pendek kata, setiap ceruk Hong Kong ada sesuatu yang menarik untuk dierokai sekiranya destinasi ini menjadi pilihan hati anda.

Sempena Kempen Jelajah Hong Kong, mStar berpeluang merasai sendiri suasana kota yang tak pernah tidur ini bersama Hong Kong Tourism Board.

Menariknya, dengan itinerari mesra Muslim yang disediakan, pengembaraan di destinasi yang diberi jolokan Pearl of Orient ini lebih enjoy, malah semua tarikan utama diteroka tanpa perlu risau soal makanan halal atau kewajiban menunaikan solat.

Untuk segmen travel kali ini, mStar kongsikan coretan pengalaman buat tatapan anda.

Bersedialah untuk jatuh cinta dengan setiap saat di Hong Kong, sebuah destinasi penuh kejutan dan pengalaman seronok yang takkan dilupakan!

Kowloon Mosque Facade

1. Masjid Kowloon

Terletak di persimpangan Nathan Road dan Haiphong Road, Masjid Kowloon adalah masjid terbesar di Hong Kong dan mampu menampung hingga 3,500 jemaah.

Masjid ini merupakan mercu tanda ikonik dengan seni bina yang menakjubkan, menampilkan empat menara setinggi 11 meter dan muka bangunan marmar putih.

Selain sebagai tempat ibadah, ia juga merupakan pusat kebudayaan yang aktif dengan pelbagai acara komuniti dan pendidikan, menjadikannya tempat penting bagi umat Islam di Hong Kong.

Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Centre Facade

2. Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick

Masjid Ammar yang terletak di 40 Oi Kwan Road di Wan Chai adalah sebuah masjid yang penuh sejarah dan budaya.

Ditubuhkan pada tahun 1981 oleh arkitek Muslim Cina, Osman Ramju Sadick, masjid ini boleh menampung lebih daripada 1,500 orang.

Ia juga merupakan pusat aktiviti sosial dan pendidikan yang dikelola oleh Kesatuan Islam Hong Kong, menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memenuhi keperluan komuniti Muslim tempatan.

3. Hong Kong Disneyland

Hong Kong Disneyland adalah destinasi yang sesuai untuk seisi keluarga, termasuk pengunjung Muslim.

Dibuka pada tahun 2005, taman ini menawarkan pengalaman ajaib dengan pelbagai tarikan menarik seperti pertunjukan dan hiburan bertemakan watak Disney yang disukai ramai.

Selain menawarkan pengalaman Disney, taman tema ini menyediakan kemudahan mesra Muslim seperti ruang solat (quiet room) bersebelahan dengan Explorer’s Club Restaurant.

Dari segi makanan pula, terdapat restoran yang diiktiraf halal seperti Tahitian Terrace menyajikan pelbagai hidangan sesuai dengan keperluan dan piawaian halal.

Cheung Chau

4. Pulau Cheung Chau

Pulau ini terkenal dengan Festival Roti Ban tahunan dan merupakan destinasi menarik untuk pengunjung yang gemar aktiviti luar.

Nikmati pantai yang indah dengan menjelajah tapak bersejarah serta meneroka laluan pendakian yang mesra keluarga.

Pulau ini menawarkan pengalaman yang menenangkan dengan suasana tradisional dan keindahan alam semula jadi.

Aqua Luna in the day

5. Aqua Luna

Untuk pengalaman romantik, nikmati pelayaran malam di atas tongkang atau kapal layar ikonik, Aqua Luna.

Pelayaran ini memberi pemandangan menakjubkan pelabuhan Hong Kong dengan latar belakang pencakar langit indah, terutamanya ketika matahari terbenam.

Ini adalah cara paling sempurna untuk menikmati keindahan alam dan budaya bandar ini dari sudut berbeza.

Central Market Facade

6. Central Market

Di Central Market, pengunjung dapat merasai pengalaman membeli-belah yang unik dengan menjelajahi gerai-gerai makanan pelbagai pilihan dan membeli kraftangan tradisional.

Pasar ini memaparkan kemeriahan dan keunikan budaya tempatan, menjadikannya tempat yang ideal untuk merasai kesibukan Hong Kong yang sebenar.

With Big Buddha in the background

7. Ngong Ping Village

Ngong Ping Village adalah destinasi yang ideal untuk pengunjung seandainya anda berhajat untuk mencari ketenangan.

Di sini terletaknya Patung Besar Buddha serta Biara Po Lin yang penuh sejarah.

Para pelancong dapat mempelajari budaya Buddha sambil menikmati pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.

Bilik solat juga disediakan di Holidays 360 Information Centre bagi memudahkan pengunjung Muslim melakukan ibadah.

Tai O Creek Pedestrian Bridge

8. Kampung Nelayan Tai O

Kampung Nelayan Tai O adalah sebuah kampung tradisional terapung yang menawarkan pengalaman 'kembali ke masa lalu'.

Di perkampungan ini, pengunjung boleh melihat cara hidup nelayan tempatan dan menjelajahi budaya mereka yang unik.

Kampung ini memberi peluang kepada pelancong untuk merasai kehidupan tradisional Hong Kong yang masih dikekalkan hingga kini.

Berdasarkan senarai di atas, ternyata Hong Kong adalah destinasi tepat menjadikannya tempat sempurna untuk percutian keluarga atau 'solo traveller'.

Dari masjid yang menakjubkan hingga makanan halal yang pelbagai, Hong Kong pastinya menjadi destinasi memuaskan untuk setiap pengunjung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain