TIDAK dinafikan, segelintir dalam kalangan kita gemar menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan setiap kali ingin melancong kerana mahu memudahkan urusan merancang perjalanan. Namun kebelakangan ini timbul pelbagai isu berkaitan agen pelancongan yang tidak bertanggungjawab, termasuk perkhidmatan yang tidak cekap. Inilah sebabnya mengapa semakin ramai memilih untuk merancang perjalanan mereka sendiri (DIY). Selain dapat menjimatkan wang, merancang perjalanan secara DIY juga memberi lebih kebebasan untuk menyesuaikan itinerari mengikut kehendak dan bajet sendiri. Bagi yang ingin travel secara DIY, apa kata anda cuba tip sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang pelayar, @miyabell menerusi akaun TikTok miliknya. Bali adalah salah satu destinasi percutian paling popular dalam kalangan pelancong. -Gambar hiasan. 1. Pilih destinasi dan tarikh perjalanan - Langkah pertama adalah menentukan negara pilihan anda. - Sebagai contoh, Bali merupakan pilihan yang mesra bajet dan sesuai untuk mereka yang baru ingin mencuba travel secara DIY. - Tempah tiket penerbangan pada musim rendah, elakkan musim cuti sekolah, cuti umum, atau musim perayaan kerana harga tiket biasanya lebih mahal pada waktu tersebut. - Buat tempahan tiket secara berasingan (sehala), berbanding pakej pulang-pergi yang biasanya lebih mahal. - Cari tarikh dengan harga tiket yang paling rendah dan tentukan bilangan hari di destinasi tersebut. - Semakin lama tempoh perjalanan, semakin fleksibel anda menyusun aktiviti dan bajet. Aplikasi TikTok merupakan platform yang sering digunakan untuk mencari tempat-tempat menarik. -Gambar hiasan 2. Buat kajian tempat-tempat menarik - Langkah seterusnya ialah melakukan kajian menyeluruh tentang tarikan pelancongan dan aktiviti yang menarik di destinasi pilihan. - Dalam era digital ini, anda boleh menggunakan platform seperti TikTok, YouTube, Google, dan Google Maps untuk mencari informasi tentang tempat-tempat menarik. - Mengikut tip yang dikongsi oleh Miya, di Google Maps, anda hanya perlu menaip 'attractions in (nama destinasi)' dan senarai tarikan akan dipaparkan bersama ulasan dari pengunjung sebelum ini. 3. Pengangkutan paling murah dan sesuai - Di Bali, terdapat beberapa pilihan pengangkutan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan bajet anda. Jika anda berseorangan atau berdua, menyewa motosikal adalah pilihan paling murah. - Namun, perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain di Bali boleh mengambil masa antara 1 hingga 3 jam. Oleh itu, pastikan motosikal yang disewa berada dalam keadaan baik, terutamanya jika anda merancang perjalanan jauh. - Maklumkan kepada penyedia perkhidmatan sewaan motosikal tentang rancangan perjalanan anda supaya mereka dapat menyediakan motosikal yang sesuai dan selamat untuk jarak yang lebih jauh. - Bagi kumpulan yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang, menggunakan supir (pemandu peribadi) mungkin lebih praktikal dan menjimatkan. - Selain itu, aplikasi e-hailing seperti Grab atau Gojek boleh digunakan untuk perjalanan yang lebih pendek dan fleksibel. Elakkan membawa bagasi besar untuk kemudahan yang lebih praktikal. -Gambar hiasan 4. Susun itinerari mengikut kawasan - Agar lebih efisien, susun jadual perjalanan dengan mengumpulkan lokasi tarikan mengikut kawasan berdekatan. - Oleh itu, gunakan Google Maps untuk melihat jarak antara lokasi-lokasi yang ingin anda lawati dan menyusun jadual secara sistematik. Ini dapat menjimatkan masa, tenaga, dan kos perjalanan. 5. Pilihan bagasi - Apabila melancong secara DIY, beg galas belakang (backpack) lebih sesuai berbanding bagasi besar yang biasa digunakan dalam perjalanan dengan agensi pelancongan. Ia memudahkan pergerakan dan menjimatkan ruang, lebih-lebih lagi jika anda bergerak ke banyak tempat. - Selain itu, pastikan bawa pakaian yang tidak memerlukan gosokan seperti baju dan tudung yang ironless - Ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perjalanan anda, menjadikan keseluruhan pengalaman lebih selesa. 6. Berhati-hati memilih makanan - Sebelum memilih restoran, pastikan anda memeriksa kebersihannya, dari segi lantai, meja makan, dan sebagainya. - Pastikan anda membaca ulasan pelanggan di Google atau platform lain sebelum memilih tempat makan untuk memastikan makanan yang dihidangkan selamat dan memuaskan. - Ini secara tidak langsung mampu mengelakkan kita mengalami keracunan makanan. Tinjau terlebih dahulu kedai makan pilihan sebelum menjamu selera. -Gambar hiasan 7. Keselamatan semasa Travel DIY - Keselamatan adalah perkara yang perlu diberi perhatian utama, terutamanya bagi mereka yang melancong sendirian. - Salah satu langkah yang perlu diambil adalah memberitahu keluarga atau rakan rapat mengenai perjalanan anda, termasuk lokasi penginapan dan tarikh perjalanan. - Simpan salinan dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan dan tiket penerbangan dalam cloud storage atau emel, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kehilangan. - Guna sim kad atau internet roaming supaya dapat berhubung dengan orang lain, mencari bantuan jika perlu dan menggunakan peta digital untuk membantu navigasi di negara asing. Melancong ke luar negara tanpa bantuan agensi pelancongan bukan sahaja menjimatkan kos tetapi memberi anda kebebasan untuk merancang perjalanan mengikut cita rasa sendiri. Dengan kajian awal, penyusunan itinerari yang baik, pengurusan bajet yang teliti, dan penerapan tip keselamatan, travel secara DIY boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan dan memuaskan. Paling penting, rancang, buat kajian, dan mula dengan langkah kecil. Selamat melancong dan pastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan anda! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube