suria

Isinya padat, kuahnya manis berlemak, Maggie Ketam Power memang padu...Tun M pun dah cuba tau!

Maggie Ketam Power bukan sahaja enak tetapi mempunyai rasa tersendiri hasil resepi tersendiri tukang masaknya.

MI segera memang sinonim sebagai makanan yang cepat dan murah! Cukup sekadar direndam selama dua minit dalam air panas, ia sudah boleh dimakan.

Bagaimanapun mi segera kini bukan sekadar makanan mudah dan murah tetapi apabila diolah dengan pelbagai cara ia mampu menjadi hidangan yang cukup menyelerakan apatah lagi ditambah dengan sayur-sayuran, ayam, daging atau makanan laut.

ARTIKEL BERKAITAN: Moh nyinggah Yop! Ikan patin, temoleh, kelah masak tempoyak asli Perak pasti buat kome teringat-ingat

Jika ada yang teringin hendak makan mi segera yang sedap, bolehlah terus berkunjung ke Restoran Sempadan Maggie Ketam Power yang terletak di Kampung Batu Tujuh, Klang, Selangor.



Ilhami memberitahu ketam Nipah yang digunakan juga segar dan mempunyai isi padat.

Bukan sekadar Maggie Ketam biasa, sebaliknya ia dimasak menggunakan resipi khas yang dicipta oleh pemiliknya, Nor Ilhami Abu Bakar, 36, menggunakan ramuan tersendiri selepas mendapat ilham ketika mencuba menu itu di Kelantan.

"Menu ini popular di Kelantan dan ketika berpeluang ke sana, saya sempat mencuba beberapa resipi sama dan menjadikan ia sebagai ilham dan mencipta resepi sendiri," katanya kepada mStar.

Ilhami memberitahu rahsia keenakan menu tersebut terletak pada ketam Nipah yang digunakan. Jelasnya, ia mempunyai isi yang padat dan pejal selain mampu membuatkan kuahnya berlemak dan manis.



Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut pernah merasai keenakan Maggie Ketam Power.

Ketam Nipah digunakan juga bukan sembarangan, sebaliknya kata Ilham ia dipesan khas dari Sabah bagi memastikan keenakan Maggie Ketam Power terjamin dan diingati pelanggan.

Apa yang lebih membuatkan menu itu bertambah enak, kuahnya dibuat bukan menggunakan serbuk perasa mi segera sebaliknya menggunakan bahan-bahan segar termasuk air kukusan ketam yang memberikan rasa manis dan lemak pada kuah. Ia menjadi 'signature' kepada resipi Maggie Ketam hasil air tangan Ilhami.

"Ketam tidak boleh direbus kerana ia boleh merosakkan rasanya. Sebaliknya saya akan kukus ketam tersebut dan menggunakan air yang keluar daripadanya sebagai salah satu bahan untuk menyediakan kuah Maggie Ketam Power.



Chili Crab dan roti mantou antara menu pilihan pelanggan.

"Saya juga hanya menggunakan mi dan bukan serbuk perasanya. Inilah kelainan yang cuba saya tampilkan dengan menghasilkan kuah dengan resipi sendiri. Alhamdulillah pelanggan memang cukup menggemarinya," katanya.

Antara pelanggan yang turut menggemari Maggie Ketam Power hasil air tangan Ilhami adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah singgah menikmati hidangan istimewa itu.

Tun Mahathir turut merasmikan pembukaan restoran itu pada 30 Jun lalu.



Ilhami bersama bapanya, Abu Bakar.

Bagi yang teringin menikmati Maggie Ketam Power, ia ditawarkan dalam tiga saiz berbeza iaitu kecil, sederhana dan besar. Manakala harganya pula bergantung kepada saiz ketam yang digunakan.

Jika anda datang bersama keluarga atau rakan-rakan, boleh membuat pesanan saiz besar dan kongsi bersama mereka. Makan pun jadi lebih berselera!

Sementara itu, di Restoran Sempadan Maggie Ketam Power juga, terdapat lebih 50 menu ala-carte yang boleh dicuba termasuklah masakan berasaskan makanan laut.

Paling mendapat perhatian sudah tentu, ketam cili telur padu, chili crab yang dipadankan bersama roti mantou yang gebu dan lembut.



Ketam cili telur padu antara yang patut dicuba.

Ibaratnya, anda tidak perlu memesan nasi putih kerana roti mantou sudah cukup menyelerakan apabila dimakan bersama ketam dan dicicah bersama kuahnya. Memang tak boleh berhenti dibuatnya!

Memandangkan ketika ini negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelanggan turut boleh membuat pesanan menerusi Foodpanda atau GrabFood.

Bagaimanapun, restoran tetap dibuka seperti biasa setiap hari dari pukul 5 petang hingga 10 malam. Pelanggan juga perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa sekiranya ingin makan di restoran.

Jika ada merancang ingin ke sini, anda hanya perlu taip Restoran Sempadan Maggie Ketam Power di Google Map atau Waze. Tak susah pun!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain